26 Mei 2014

DNA babi: Banyak lagi produk makanan yang diragui

26 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ameerah Wilayah Persekutuan (Ameerah WP) merasa bimbang dengan perkembangan terkini penemuan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung DNA babi (porcine) yang dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.

Coklat Cadbury juga antara yang digemari oleh kebanyakan orang, termasuk umat Islam.

“Penemuan ini pastinya menggemparkan kerana Coklat Cadbury sebelum ini dilabelkan sebagai halal dan ianya dijual berleluasa di kebanyakan kedai serbaneka di negara ini,” ujar ketuanya, Khairi Syutina Mahmood kepada Harakahdaily.

Katanya, Ameerah WP merasa hairan mengapa kandungan coklat yang mengandungi 'porcine' tidak dikesan awal sehingga tindakan boleh diambil termasuk mengharamkannya serta menarik balik jualannya di seluruh negara.

Tambahnya, dalam keadaan sekarang sudah berapa ribu kuantiti coklat tersebut dimakan dan menjadi darah daging kepada umat Islam, dan dikhuatiri memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan keberkatan dalam kehidupan.

Apa yang memusykilkan, ujar beliau entah berapa banyak lagi produk yang mengandungi barang haram dijual dan dimiliki dalam pasaran terbuka.

“Umat Islam pasti merasa was-was membeli produk makanan meskipun memiliki logo halal Jakim kerana bimbang ianya tidak halal,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau Ameerah WP mengharapkan Jakim dan Kementerian Kesihatan membuat kajian menyeluruh terhadap semua produk dan mengisytiharkan produk-produk yang halal atau tidak.

Menurutnya, dalam  media sosial telah tersebar dengan meluas pelbagai produk lain yang dikategorikan sebagai tidak halal.

Kata beliau, kesahihan maklumat oleh Jakim penting bagi mengelakkan keraguan di kalangan umat Islam. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: