09 Mei 2014

Raikan Hari Kebebasan Akhbar bersama Pak Samad, 10 Mei

8 Rejab 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY | .
BATU: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan PAS Kawasan Batu akan meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2014 pada 10 Mei ini, jam 9.00 malam di Dewan Orang Ramai, Taman Gombak bersebelahan Taman Gombak Ria.

Program yang dikenali sebagai "Temu Mata Dato' A Samad Said Bersama Facebooker, Bloggers, Wartawan & Penulis" turut mengundang Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Yang DiPertua PAS Batu, Ishak Surin sebagai gandingan panelis dalam "gebang-gebang santai" mengenai kebebasan media di negara ini, selain tokoh Sasterawan Negara.

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang telah diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diraikan pada 3 Mei setiap tahun.

Menurut Ketua Penerangan PAS Batu, Marzuki Zakaria, semua facebooker, bloggers, wartawan, penulis dan orang ramai yang berminat sekitar Lembah Klang dijemput hadir bagi menggerakkan satu perbincangan media menuju PRU14 akan datang.

"Mereka yang datang awal, ada disediakan nasi Arab kambing.

"Lokasi dewan masuk ikut Greenwood menuju ke Taman Melewar. Dewan betul-betul berhadapan SMK Taman Gombak selepas selekoh tajam," ujarnya.

Mereka yang berminat boleh hubungi penganjur 019-2310109 (Rosden) dan 013-3847899 (Ismail).

Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman, selain mengalu-alukan kehadiran orang ramai, mengharapkan isu kebebasan akhbar dapat dibahaskan secara lebih serius memandangkan ia begitu penting dalam sebuah negara demokrasi.

"Malaysia tergolong sebagai sebuah negara yang tidak bebas medianya. Lebih buruk lagi, indeks kebebasan akhbar yang diterbitkan oleh badan pemantau antarabangsa meletakkan kedudukan Malaysia pada paras terendah dalam sejarah, iaitu 147 daripada 180 negara," tambah Ahmad Lutfi. - HARAKAH

Tiada ulasan: