07 Mei 2014

RPT Perwira : Janji di tagih

7 Rejab 1435. [MOD] -
Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Saya mengikuti rakaman sidang media Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Negeri Perak yang mengulas tentang pemberian tanah ataupun perlaksanaan projek perumahan di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Perwira Negeri Perak yang akan dibangunkan bersama Koperasi Perumahan Angkatan Tentera Berhad (KPATB) masih ‘indah khabar dari rupa’ amat mengecawakan bekas pesara tentera dan juga polis.

Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan 10 tapak projek yang telah dikenalpasti termasuk di Sungai Tumboh, Seri Iskandar, Mukim Blanja, Batu Gajah, Suak Pelang di Sungai Siput dan juga Sitiawan, projek RPT Perwira akan dibiayai oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Koperasi Perumahan Bekas Angkatan Tentera, selain koperasi di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di Perak telah ditawarkan lebih 7,849 lot kediaman kepada pesara tentera dan polis pada kadar premium serendah RM500 dan turut menawarkan skim perumahan seumpama itu kepada pesara tentera dan polis dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran serta bagi mendiami rumah termasuk jenis banglo setingkat pada kos tidak melebihi RM150,000 seunit rumah turut ditawarkan.

Pada 11 Oktober 2012, RPT Perwira ini telah dilancarkan di Seri Iskandar, Daerah Perak tengah sebelumnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13, 5 Mei 2013 yang lalu, akan tetapi sudah hampir setahun lebih masih ‘menyeksa’ pesara tentera dan polis yang telah membuat permohonan semenjak ianya dilancarkan Oktober 2012 yang lalu dan kini masing-masing ‘menuding jari’ antara satu sama lain.

Melalui Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) pernah mencadangkan agar pesara tentera dan polis agar diberikan 20 ekar tanah bagi mengenang jasa mereka selama ini dan sudah tentu bagi melaksanakan tindakan ini dan yang mempunyai kuasa adalah sebuah kerajaan negeri yang di pilih oleh rakyat terutamanya juga bagi anggota Tentera dan Polis yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara sebagai pemilih.

Kini, Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa projek RPT Perwira telah tergendala oleh kerana KPATB telah gagal melaksanakan projek tersebut mengikut jadualnya dan Kerajaan Negeri telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengkaji bagi membatalkan perjanjian sebelum ini kerana pihak KPATB tidak mampu mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi meneruskan projek tersebut.

Bagi saya, apa yang penting bahawa ‘manusia berpegang kepada janji’ dan perasaan serta kesedihan semua pesara tentera dan polis yang telah memohon masih ‘kebingungan’ apakah nasib yang sedang ‘menghantui’ mereka setelah Kerajaan Negeri menjelaskan keadaan sebenar dan sehingga bilakah mereka perlu lagi menunggu sehinggakan projek RPT Perwira tersebut dilaksanakan sepertimana yang dijanjikan.

Kerajaan Negeri perlu bertindak tegas dan segera bagi mengatasi masalah ini dan perlu satu perancangan rapi bagi mencari pemaju baru dan berusaha mengurangkan kos sampingan yang akhirnya akan ditanggung pula oleh peserta projek RPT Perwira tersebut dan perlu jaminan Kerajaan Negeri bahawa kos tambahan yang bakal wujud tidak akan dikenakan kepada mereka dan bukannya salah mereka yang terlibat.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak dan juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Bandar DiRaja

Tiada ulasan: