14 Sya'aban 1435. [MOD] -
Yang berikut ialah kenyataan penuh Pemuda PAS Malaysia.
Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar Pemuda PAS Malaysia (LTPB PPM) mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merobohkan Kampung Chubadak Tambahan hari ini. Penduduk kampung menyaksikan kehadiran petugas DBKL dengan peralatan mereka untuk merobohkan kampung mereka hari ini tanpa mereka dapat menghalangnya.
Saya merasa kesal kerana DBKL tidak memberikan notis dan tempoh secukupnya kepada penduduk kampung serta berunding dengan cara yang baik sebelum mengambil tindakan merobohkan kampung mereka. Semalam, saya dan beberapa orang peguam hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan saman dan kami mendapat kebenaran mahkamah menangguhkan pendengaran saman tersebut sehingga 26 Jun 2014. Menyedari tindakan drastik yang akan diambil oleh pihak penguasa, pada hari ini juga pasukan peguam berdiri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah Injunksi menghalang DBKL dari merobohkan rumah-rumah penduduk sehingga mahkamah selesaikan sepenuhnya kes saman ini dahulu.
Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan perintah injunksi mahkamah selama 14 hari untuk menangguhkan perobohan rumah penduduk kampung. Melalui proses teknikal dan prosedur mahkamah, penduduk dapat bernafas lega buat beberapa ketika. Paling tidak ia adalah kelegaan sementara supaya penduduk Kampung Chubadak Tambahan dapat membuat persediaan rapi sebelum kemungkinan besar yang akan mereka hadapi nanti.
Namun apa yang menyedihkan adalah kehadiran DBKL dalam usaha pembersihan atau perobohan manakala penduduk kampung bakal diusir keluar dari kampung tersebut dalam keadaan yang tidak menentu. Apalah nasib malang yang menimpa warga negara sendiri yang terpaksa merempat di bumi mereka sendiri. Yang untung akhirnya adalah pemaju dan golongan atasan yang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Pastinya DBKL hadir melalui perintah penguasa lebih tinggi dari mereka dan mereka menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan dedikasi. Yang mengecewakan adalah kurangnya sikap prihatin, toleransi, merasa simpati dan perikemanusiaan sehingga tergamak merobohkan rumah yang masih ada penghuni dan barangan peralatan di dalamnya. Sepatutnya, kerajaan memikirkan langkah panjang serta bersikap prihatin memandangkan kesemua penghuni rumah terbabit beragama Islam dan mereka akan berhadapan dengan bulan Ramadhan beberapa minggu lagi. Nampaknya layanan kerajaan UmnoBN terhadap dua ekor panda yang mendapat tempat tinggal yang selesa jauh lebih baik daripada layanan terhadap rakyat yang terbiar merempat di tanah air sendiri.
LTPB PPM mengharapkan penduduk Kampung Cubadak Tambahan tabah menghadapi dugaan dan ujian besar ini dan juga mengharapkan agar mereka bersatu, berpakat dan bekerjasama dalam membuat keputusan terbaik demi kelangsungan hidup mereka.
Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi
Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar
Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan