01 Julai 2014

Isu Prof Redzuan: Lagi jenayah akademik negara

3 Ramadhan 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Arahan supaya Prof. Datuk Redzuan Othman meletakkan jawatan sebagai pengarah di Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMcedel) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan satu lagi jenayah akademik di negara ini.

"Ia memperlihatkan bahawa campur tangan politik masih berlaku di pusat pengajian tinggi tanah air sekalipun Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda," ujar Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Steven Chong dalam kenyataan media bersama.

Justeru, tegas mereka Pakatan Rakyat Johor mengecam tindakan itu dan mendesak agar keadilan sewajarnya yang bertunjangkan prinsip kebebasan akademik diberikan kepada Prof Datuk Redzuan Othman.

Ini, kata mereka bukan kali pertama kerajaan pimpinan Umno BN bertindak mencabul kebebasan akademik sebagai institusi yang seharusnya bebas dalam menjalankan kajian dan penyelidikan akademik demi kebaikan negara.

Tambah mereka, tindakan pemecatan pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - Prof. Dr Abdul Aziz Bari pada tahun lalu juga turut mencemarkan imej universiti tempatan sebagai institusi ilmu yang seharusnya bebas dari pengaruh politik.

Menurut mereka, Pakatan Rakyat Johor berpendirian, untuk mewujudkan Malaysia yang lebih demokratik, proses pendemokrasian dalam sistem pendidikan merupakan salah satu elemen penyumbang yang terpenting.

Namun, kata mereka dengan tindakan pengarahan pemberhentian Prof. Datuk Redzuan Othman oleh KPM ini, Pakatan Rakyat Johor bimbang usaha kerajaan untuk menjadikan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu akan menemui kegagalan.

"Oleh itu, Pakatan Rakyat Johor mendesak agar menteri di Kementerian Pelajaran memberikan penjelasan serta komitmen yang serius dalam memastikan isu ini dapat ditangani seadilnya tanpa melibatkan pengaruh politik luar dalam memastikan prinsip kebebasan akademik terus dijulang dan kedudukan universiti di negara ini tidak tercalar di kacamata dunia," kata mereka lagi. - HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: