29 Ogos 2014

PRK Pengkalan Kubor : 13 Sept penamaan calon, 25 Sept hari mengundi.

3 Zulkaedah 1435 . [MOD] -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 September depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 13 September sementara pengundian awal akan diadakan pada 21 September.


Pengumuman ketiga- tiga tarikh itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK DUN Pengkalan Kubor di pejabatnya di sini, sebentar tadi.
Berdasarkan keputusan hari ini juga, tempoh berkempen selama 12 hari diperuntukkan.
Abdul Aziz berkata, kos keseluruhan bagi mengadakan PRK berkenaan adalah RM696,750, sementara 426 petugas akan dilantik.
Katanya, 24,039 pemilih layak mengundi pada PRK itu dengan 23,926 pengundi biasa, 109 pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir (luar negara).
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.
Allahyarham Noor Zahidi adalah ADUN kawasan itu selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
PRK DUN Pengkalan Kubor adalah PRK ketujuh yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu.
Turut diadakan sebelum ini PRK DUN Kuala Besut (Terengganu), DUN Sungai Limau (Kedah), DUN Kajang (Selangor), DUN Balingian (Sarawak), PRK Parlimen Bukit Gelugor (Pulau Pinang) serta PRK Parlimen Teluk Intan di Perak.
BN dijangka menampilkan calon muda pada PRK kali ini, sementara pakatan pembangkang yang sebelum ini meletakkan calon dari PKR sejak dua penggal lalu masih berteka-teki berikutan PAS secara terbuka juga mahu kerusi itu dikembalikan kepada mereka.

Tiada ulasan: