26 Ogos 2014

PAS maklum keputusan kepada Pakatan Rakyat

30 Syawal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS telah memaklumkan keputusan terbaru Mesyuarat PAS Pusat semalam kepada Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Sekretariat Pakatan Rakyat sejurus selesai mesyuarat semalam.

"Ya, kita telah maklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Sekretariat Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Semalam, PAS membuat keputusan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan jawatan Menteri Besar di negeri itu

Keputusan tersebut diputuskan pada menyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 2.30 petang ini bagi menjelaskan kedudukannya.

Beliau dijangka akan mengadakan sidang media jam 4 petang ini bagi memaklumkan berhubung pertemuan itu.

Sidang media hari ini dilihat penting dalam melihat apa perkembangan baru dalam isu kemelut jawatan menteri besar ini.

- HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: