20 Jun 2021

Lebih 500,000 mohon tunai haji

Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60,000 warganya dan warga asing yang menetap di negara itu untuk menunaikan haji musim ini

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerima lebih 500,000 permohonan mengerjakan haji daripada penduduk negara itu sejak pendaftaran dibuka 3 Jun lalu.

Kementerian itu turut memaklumkan permohonan dibuka sehingga Rabu depan dan senarai mereka yang layak akan diumumkan 25 Jun ini.

Sebelum ini Arab Saudi mengumumkan akan hanya membenarkan 60,000 warga negara dan warga asing yang menetap di negara itu untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Selain dibuka kepada mereka yang sudah menerima vaksin, bakal jemaah juga mesti bebas daripada penyakit kronik dan berusia antara 18 hingga 65 tahun.

Memetik laporan Saudi Press Agency, Kementerian Haji dan Umrah turut mengingatkan penduduk di Arab Saudi supaya tidak berurusan dengan syarikat haji yang tidak berdaftar.

Senarai syarikat haji yang sah boleh dilawati di https://localhaj.haj.gov.sa.

Kementerian itu juga mengingatkan penduduk di negara itu supaya tidak terpengaruh dengan tawaran mengerjakan haji di media sosial dan perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak yang mendakwa boleh mengeluarkan permit mengerjakan haji.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Umrah Abdel-Fattah Bin Suleiman Mashat mengesahkan portal berkenaan adalah portal sah bagi permohonan mengerjakan haji tahun ini.

Ia juga cara untuk menempah perkhidmatan daripada syarikat dan institusi untuk jemaah haji domestik yang sah, sekali gus memastikan ketelusan antara kedua-dua pihak selain memastikan pengawasan dan kawalan ketat terhadap penularan COVID-19.

Katanya, jawatankuasa pemantauan dan tindakan lanjut kementerian menyaksikan beberapa kes kempen haji yang tidak sah memaparkan iklan kononnya boleh mengeluarkan permit untuk mengerjakan ibadah itu. - AGENSI

Tiada ulasan: