14 Julai 2021

PPN: Negeri beralih Fasa Dua tidak akan kembali ke Fasa Satu

 PUTRAJAYA, 14 Julai -- Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) beramah mesra dengan seorang peniaga ketika melawat kiosk pada program Tinjauan Mesra ke Kiosk D'Harmoni@9 dan Medan selera Presint 9 hari ini. 
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 14 Julai -- Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) beramah mesra dengan seorang peniaga ketika melawat kiosk pada program Tinjauan Mesra ke Kiosk D'Harmoni@9 dan Medan selera Presint 9 hari ini. 
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA: Negeri yang beransur pulih daripada Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Dua tidak akan 'berpatah balik' ke Fasa Satu, kata Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata adalah tidak mampan bagi negara untuk 'buka dan tutup' sesebuah negeri dan PPN adalah pelan perancangan khusus bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

"Sekiranya angka jangkitan COVID-19 di negeri yang beralih fasa adalah tinggi, hanya lokasi atau kawasan tertentu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bukannya seluruh negeri.

"Kalau kita beransur pulih dari Fasa Satu PPN ke Fasa Dua sebagai contoh, kita tak boleh balik ke Fasa Satu dan kembali ke Fasa Dua. Sebaik sahaja beralih ke Fasa Dua, kalau ada kes (COVID-19) di kawasan atau lokasi tertentu, ia akan ditutup atau (dikenakan) PKPD, bukan lagi seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kiosk D'Harmoni@9 dan Medan Selera Presint 9, di sini, hari ini.

Lapan negeri beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Tengku Zafrul berkata negeri-negeri lain juga bakal menuruti langkah untuk beralih ke Fasa Dua dan seterusnya ke Fasa Tiga.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD perlu dipertingkatkan kerana terdapat juga kilang dalam kategori 'essential' yang dibuka.

"Contohnya, ujian saringan COVID-19 perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Yang penting, kita kena kurangkan kes di kawasan PKPD yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara," katanya.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata beliau mengadakan sesi libat urus berkenaan PPN dengan beberapa parti politik dan pihak berkepentingan pada minggu ini dan akan meneruskan sesi berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, sesi libat urus berkenaan amat produktif dan pelbagai input diterima khususnya berkaitan aspek kesihatan dan bantuan untuk mereka yang terjejas di kawasan PKPD.

Menurutnya, perbincangan mengenai PPN diadakan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seterusnya dengan Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR, DAP, Bersatu, MCA dan MIC. – BERNAMA

Tiada ulasan: