Katanya, perkataan ‘dibatalkan’ merujuk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat jemaah menteri untuk membatalkannya.
“Prosesnya sama seperti kuasa Yang di-Pertuan Agong yang umum berdasarkan Perkara 40 yang memerlukan baginda bertindak berdasarkan nasihat jemaah menteri.
“Manakala perkataan ‘mengungkaikan’ merujuk kepada kuasa Parlimen. Jadi sesuatu ordinan darurat akan terhenti berkuatkuasa jika mana-mana tindakan yang berlaku terlebih dahulu, sama ada oleh jemaah menteri atau oleh Parlimen,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Pada persidangan khas parlimen hari ini Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan membuat keputusan berdasarkan Perkara 150(3) untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat.
“Oleh kerana telah direvoke, maka isu ungkai atau enakmen sudah tidak lagi relevan…,” katanya.
Berikutan itu pembangkang membantah tindakan tersebut yang berkeras mahu membahas unsul mengenai ordinan terbabit.
Dr Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia turut membicarakan mengenai sama ada hanya parlimen yang boleh tamatkan kuatkuasa Ordinan.
“Untuk menjawab soalan ini, perlu dirujuk Fasal (3) Perkara 150. Namun hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu.
“Atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B),” ujarnya.
Oleh itu kata beliau kerana semua Ordinan Darurat (6) yang dibuat dalam tempoh Proklamasi Darurat telah dibatalkan (revoked) pada 21 Julai lepas, maka tidak perlu lagi ‘pengungkaian’ melalui usul di Parlimen.
Menurutnya kuatkuasa ordinan darurat boleh juga tamat melalui penamatan Proklamasi Darurat di bawah fasal (7) Perkara 150.
“Jika berlaku cara ini, beberapa peruntukan seperti yang berkaitan kadar denda akan terus berkuatkuasa sehingga enam bulan.
“Tapi peruntukan berkaitan penangguhan pilihan raya, penangguhan pembubaran Dewan Undangan Negeri dan seumpamanya tetap tamat bersama-sama penamatan darurat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan