02 Ogos 2021

OLIMPIK: Pingat Olimpik ada nilai tersendiri

 Pingat Olimpik Tokyo adalah hasil rekaan Junichi Kawanishi. - Foto AFP

Pingat Olimpik Tokyo adalah hasil rekaan Junichi Kawanishi. - Foto AFP

TOKYO: Memenangi pingat di Olimpik adalah impian setiap atlet selepas penat lelah memburu tempat untuk bersaing di temasya sukan terbesar dunia itu.

Atlet British Kelly Sotherton yang memenangi gangsa acara heptathlon di Athens 2004 dan gangsa 4x400m di Beijing 2008, berkata pingat-pingat itu mengingatkannya tentang usaha yang dicurahkan untuk temasya berkenaan.

"Saya tidak akan menjual pingat-pingat saya. Ia amat bermakna. Kadang-kadang saya akan memakainya," kata Sotherton.

Reka bentuk pingat berubah pada setiap edisi, dan di Olimpik Tokyo ia adalah hasil ciptaan Junichi Kawanishi.

Setiap pingat emas, perak dan gangsa mempunyai diameter 85 mm dan ketebalan dari 7.7 mm sehingga 12.1 mm.

Pingat emas diperbuat daripada perak yang disadur emas, dengan sekitar 6 gram emas daripada keseluruhan berat 556 gram.

Pingat perak diperbuat daripada perak tulen dengan berat sekitar 550 gram, manakala gangsa sekitar 450 gram dan dibentuk daripada 95 peratus tembaga serta 5 peratus zink.

Nilai fizikal pingat jika dileburkan berdasarkan kadar semasa ialah sekitar AS$800 (RM3,380), perak sekitar AS$450 (RM1,901) dan gangsa AS$5 (RM22).

Bagaimanapun nilai sentimental setiap pingat berbeza, bergantung kepada cerita di sebalik setiap kemenangan.

Pingat emas paling bersejarah ialah milik Jesse Owens yang dimenangi di Olimpik Berlin pada tahun 1936.

Ia adalah pingat paling penting dalam sejarah Olimpik dan salah satu daripada empat pingat dimenangi Owens, atlet Afrika Amerika yang mengecewakan hasrat Adolf Hitler untuk menunjukkan keunggulan bangsa Aryan.

Salah satu pingat emas itu dilelong pada harga AS$1.46 juta (RM6.17 juta) dalam tahun 2013. - AGENSI

Tiada ulasan: