15 September 2021

Kerajaan tambah kuota jemaat solat di masjid

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menambah kuota bilangan jemaah bagi solat fardhu dan solat Jumaat dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut kesesuaian masjid.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, keputusan itu dibuat tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) dan Majils Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, persetujuan itu disepakati bagi mengelakkan timbul sebarang isu ‘double standard’ terhadap jemaat solat Jumaat seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Kita tidak mahu lagi timbulnya isu ‘double standard’ terhadap jemaah solat Jumaat seperti yang hangat diperkatakan sekarang.

“Sebagai agensi agama, kita hendaklah bijak mengawal situasi agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.

“Semua usaha ini sudah pasti akan mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, perkara itu telah di bawa ke dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), hari ini.

Katanya, beliau dan timbalannya, Datuk Marzuk Shaary berasa teruja atas kehadiran dan komitmen yang diberikan pelbagai pihak.

Terutamanya, Ashabus Samahah Mufti-Mufti, Ahli-Ahli Yang Dilantik Majlis Raja-Raja, Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) dan Bahagian Penyelidikan (BP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI ini.

“Jelas agenda yang cukup besar untuk umat Islam kembali normal dalam melaksanakan ibadah dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim pasca pandemik Covid-19 untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau yakin umat Islam sangat menantikan langkah terbaru meneruskan hidup setelah berjuang setahun lebih untuk hidup di dalam norma baharu.

Katanya, beliau juga terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan daripada semua pihak supaya khidmatnya dapat tambah baik dari masa ke masa.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya dikelilingi mereka yang sanggup bekerja bersama-sama dalam usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.

“Insya-Allah, saya akan memberikan komitmen sepenuhnya bersama pasukan agensi-agensi untuk memastikan kesejahteraan kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

Tiada ulasan: