16 Oktober 2021

Ronaldo bakal pecah rekod lagi?

 

CRISTIANO RONALDO

LONDON: Biarpun ramai pemerhati bola sepak melihat kepula­ngan Cristiano Ronaldo ke Old Trafford telah mencipta ‘masalah’ kepada Manchester United, namun peminat tetap teruja dengan kehebatan pe­nyerang Portugal itu.

Menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City hari ini, kaki pertaruhan memilih bintang berusia 36 tahun itu akan meledak gol sekali lagi.
Sebahagian besar bertaruh dia akan menjaringkan gol pembukaan Red Devils.

Sejak kembali ke Old Trafford bulan lalu, Ronaldo telah menjaringkan tiga gol EPL dan dua gol Liga Juara-Juara. Dia juga meledak empat gol dalam dua perlawanan bersama Portugal.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu belum menunjukkan tanda akan berhenti menjadi ‘mesin gol’ selepas muncul pemain pertama meledak 10 hatrik bersama skuad kebangsaan ketika Portugal membenam Lu­xembourg 5-0 pada kelayakan Piala Dunia 2022, Rabu lalu.

Berdepan Leicester di Stadium King Power, Ronaldo turut menjadi pilihan untuk memecah satu lagi rekod – pemain pertama menjaringkan gol ke atas lawan yang ke-120.

Selepas meninggalkan Old Trafford pada 2009, Ronaldo tidak pernah berdepan Leicester kerana The Foxes hanya naik ke liga utama pada 2015, iaitu musim di mana mereka memahat sejarah muncul juara EPL.

Ronaldo sudah membolosi gawang 119 pasukan sepanjang kariernya (kelab dan negara).

Buat kali pertama juga, ­Ro­naldo bakal berganding dengan Marcus Rashford yang kembali selepas tiga bulan berehat akibat kece­deraan.

Bersama Rashord, Bruno Fernandes dan Jadon Sancho, Red Devils bakal membentuk serangan ampuh, malah mereka juga mempunyai satu lagi pilihan, Mason Greenwood.

VARDY SANDARAN THE FOXES

JAMIE VARDY

Leicester mengharungi ke­mpen tidak menentu de­ngan mengalami tiga kekalahan, dua kemenangan dan dua seri untuk menghuni tangga ke-13.

Bagaimanapun Jamie Vardy konsisten meledak gol selepas berkongsi penjaring terbanyak bersama Mohamed Salah de­ngan enam jaringan daripada tujuh perlawanan.

Vardy akan berganding de­nganKelechi Iheanacho di bahagian depan, sambil dibantu empat pemain tengah, Harvey Barnes, Youri Tielemans, Hamza Choudhury dan ­Ademola Lookman.

Mampukah The Foxes menyekat United? Di atas kertas sukar, namun di atas padang tidak mustahil, apatah lagi mereka beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.

Utusan/-


Tiada ulasan: