09 November 2021

4,186 pegawai perubatan kontrak dilantik ke jawatan tetap tahun depan

  Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,586 membabitkan lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi membabitkan peruntukan RM377,485,089.

Katanya, semua jawatan itu diperlukan bagi lantikan tetap perkhidmatan tahun depan.

"Perkara itu selaras keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu, membabitkan pegawai lantikan kontrak yang sudah melengkapkan latihan khidmat wajib dua tahun disambung dua tahun lagi demi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran untuk pegawai terbabit," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak dan halangan pelantikan jawatan tetap serta implikasi kewangan pengambilan pegawai tetap.

BHARIAN.

Tiada ulasan: