Oleh AIN MANAF
JELI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah meneliti tindakan ‘Raja Bomoh’ yang didakwa membuat ritual yang dilihat mempunyai unsur bercanggah dengan ajaran Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, penelitian perlu dilakukan ke atas individu yang terlibat sebelum diambil tindakan sewajarnya.
Katanya, tindakan itu perlu dilakukan memandangkan amalan atau ritual yang dilakukan tersebut jelas membawa unsur bercanggah dan dipercayai mempunyai unsur khurat dan tahyul.
“Individu terbabit dilihat sentiasa mencari publisiti sebegitu walaupun ia tidak mendapat sambutan.
“Namun, tindakan itu bagaimanapun jelas membawa unsur yang bercanggah dengan ajaran agama dan mempuyai unsur khurafat dan tahyul,” katanya selepas mengagihkan bantuan Musaadah Banjir di Pasti Nur Fatihah, Kuala Balah, di sini hari ini.
Pada program itu setiap mangsa banjir menerima wang RM200 dan barangan. Manakala 300 pelajar dalam kalangan asnaf menerima sumbangan peralatan persekolahan.
Pada Rabu lepas tular di media sosial Raja Bomoh melakukan ritual kononnya untuk menolak musibah banjir di Dataran JPS, Teluk Intan.
Video berdurasi 25 minit itu turut menampilkan seorang wanita membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. Mereka menggunakan bahan termasuk beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu.
Difahamkan Jabatan Agama Islam Perak membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam. – HARAKAHDAILY 6/1/2022
Tiada ulasan:
Catat Ulasan