10 Februari 2022

Pembalakan di Kelantan hanya 28 peratus keluasan hutan

 

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
 Dalam tempoh tiga tahun lagi pokok Eucalyptus sebagai salah satu langkah mengurangkan kebergantungan sumber hasil kerajaan khususnya aktiviti pembalakan dapat dituai hasilnya.


Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berbanding tempoh penuaian hutan biasa sehingga 25 tahun, penanaman pokok tersebut mampu ditebang dalam tempoh yang singkat iaitu tujuh tahun sahaja.

Katanya projek perintis tersebut ditanam di kawasan seluas 30 hektar di Hutan Simpan Sungai Betis di Gua Musang dekat sini, melibatkan 21,000 anak pokok, di mana satu hektar mampu memuatkan sehingga 700 pokok.

“Sekarang kita dalam usaha untuk mengatasi kebergantungan kepada hasil hutan, jadi kita laksana tanaman pokok Eucalyptus untuk jadikan projek perintis.

“Kita buat kerjasama dengan pelbagai pihak, setakat ini nampak pokok tersebut tumbuh dengan baik,” katanya di sini.

Menurutnya juga Kelantan mempunyai kira-kira 72 peratus Hutan Simpan Kekal (HSK) yang tidak pernah diusik oleh sebarang aktiviti termasuk pembalakan dan penerokaan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin.

Mohd Amar juga berkata, aktiviti pembalakan hanya melibatkan 28 peratus daripada keseluruhan hutan di negeri itu, menyumbang pendapatan ketiga selepas cukai tanah dan perkhidmatan.

Malah beliau berkata sebahagian besar tanah tersebut dikekalkan bagi memastikan sumber air penduduk, Taman Negara termasuk perniagaan kredit karbon yang bakal memberi pulangan alternatif kepada kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

Tiada ulasan: