18 April 2022

Fahami konsep kemampuan, subsidi mengerjakan haji

 Bangunan Tabung Haji. - Foto hiasan

Bangunan Tabung Haji. - Foto hiasan

Oleh Prof Madya Dr Hasanulddin Mohd - April 18, 2022 @ 11:51am

Keputusan kerajaan mengekalkan subsidi haji kepada semua jemaah sudah tentu melegakan umat Islam, terutama bakal haji yang sedang menunggu-nunggu nama mereka tersenarai sebagai tetamu Allah pada tahun ini.

Sebelum ini banyak pihak mencadangkan pemberian subsidi bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40 bagi menangani kenaikan kos mengerjakan ibadat haji setiap tahun, terutama pada era pandemik COVID-19.

Cadangan pemberian subsidi bersasar itu sudah tentu berkait rapat dengan konsep istito'ah atau berkemampuan dalam ibadat haji, sama ada dengan diri sendiri atau dengan bantuan orang lain seperti disepakati dalam kalangan ulama fiqh. Bentuk kemampuan itu merangkumi kemampuan perbelanjaan, fizikal dan masa.

Walaupun kerajaan sudah membuat keputusan untuk mengekalkan bayaran jemaah kepada RM9,980 yang tidak berubah sejak 13 tahun lalu, umat Islam perlu memahami kedudukan istito'ah dalam pelaksanaan ibadat haji dan umrah.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan Baitullah, iaitu sesiapa mampu sampai kepadanya." (Ali 'Imran: 97)

Istito'ah dalam ayat ini bermaksud berkemampuan yang terbahagi kepada dua, iaitu secara langsung atau mampu mengerjakan ibadat haji atau umrah dengan sendiri dari segi sihat jasmani dan kewangan serta mempunyai kenderaan pergi dan balik. Kemampuan secara tidak langsung pula adalah mengupah orang lain mengerjakan ibadat haji atau umrah kerana sakit atau mati.

Berkemampuan boleh diterjemahkan dalam beberapa aspek. Pertama, sihat tubuh badan, iaitu tidak menjejaskan perjalanan pergi dan pulang daripada melakukan ibadat haji. Kedua, mempunyai sumber kewangan mencukupi, sama ada pergi dan pulang melebihi keperluan diri sendiri dan keluarga. Ketiga, mempunyai kenderaan, baik di daratan atau di lautan. Akhir sekali perjalanan aman pergi atau balik, iaitu tidak berlaku peperangan, rusuhan atau darurat.

Imam al-Nawawi menyatakan terdapat lima syarat bagi merealisasikan kewajipan haji Islam yang hanya perlu dilakukan sekali dalam seumur hidup. Ia merangkumi syarat Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.

Berkemampuan bagi Imam al-Nawawi pula, mempunyai dua bentuk, iaitu berkemampuan melaksanakan haji sendiri dan berkemampuan menghasilkan haji dengan bantuan orang lain. Bagi berkemampuan sendiri, ia meliputi lima perkara, iaitu kenderaan bagi perjalanan melebihi dua marhalah (kira-kira 90 kilometer), bekalan, perjalanan selamat, kesihatan tubuh badan dan mempunyai masa mencukupi untuk melakukan perjalanan haji.

Daripada kelima-lima perkara itu, semuanya menuntut komitmen kewangan tinggi. Justeru, sesiapa sahaja tidak mampu menyediakan satu daripadanya, maka kewajipan haji akan gugur pada tahun berkenaan.

Bagaimanapun, jika dia berusaha juga memenuhi semua keperluan itu dengan susah payah dalam keadaan kemiskinannya sebagai contoh, haji tetap dikira sah dan melepaskannya daripada tuntutan haji Islam. Namun, ia bercanggah dengan roh syarak yang menginginkan kemudahan dan kesenangan dalam beribadah dan kehidupan secara umumnya selagi ia bertepatan dengan syarak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (Al-Baqarah: 185)

Walaupun ayat ini berbicara dalam konteks pensyariatan rukhsah (kelonggaran ketetapan hukum syarak kerana darurat) dalam ibadat puasa Ramadan, ia tetap sesuai diaplikasikan dalam ibadat lain, termasuk ibadat haji kerana ia kaedah syarak bersifat umum.

Dalam berinteraksi dengan lafaz al-Quran atau al-Sunah yang umum, ulama berdalilkan kaedah syarak: "Penetapan sesuatu hukum adalah berdasarkan lafaz yang umum, bukan sebab khusus."

Tuntutan memilih perkara paling mudah dalam hidup Muslim bersumberkan hadis diriwayatkan Sayidatina Aishah RA bahawa: Nabi SAW tidak diberi pilihan antara dua perkara melainkan Baginda akan memilih paling mudah antara kedua-duanya selagi tidak mendatangkan dosa. Sekiranya ia mendatangkan dosa, maka Nabi SAW adalah sejauh-jauh manusia daripada perkara itu. (Muttafaq 'alaih)

Ibnu Hajar al-'Asqalani ketika menghuraikan hadis itu menyatakan pilihan diberikan kepada Nabi SAW itu adalah dalam perkara dunia. Ia bukan berupa perkara agama kerana tiada dosa padanya. Jika kedua-dua perkara ini perkara dunia atau membabitkan ritual kehidupan semata-mata dan terdapat satu daripadanya lebih ringan, maka Nabi SAW akan memilih perkara berkenaan. Andai satu daripada atau kedua-duanya mendatangkan dosa, maka Nabi SAW akan berpaling daripadanya dan mengambil pilihan lain, meskipun ia lebih sukar dilakukan.

Ibnu Battal berkata: Pilihan ini bukannya datang daripada Allah SWT kerana Dia tidak akan memberikan pilihan mempunyai dosa kepada Rasul-Nya. Melainkan dalam perkara agama yang boleh menjerumuskan ke dalam dosa seperti berlebih-lebihan atau melampau dalam urusan agama, maka ia adalah dicela.

Contohnya seseorang memaksa dirinya melakukan urusan sukar dalam ibadatnya yang menyebabkan dia tidak mampu melakukannya. Justeru, Nabi SAW melarang sahabat Baginda beribadah seumpama paderi atau rahib kerana ia membawa kepada kesusahan dalam hidup.

Hakikatnya, pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia menjejaskan hampir keseluruhan negara, termasuk Arab Saudi yang menjadi destinasi mengerjakan ibadat haji dan umrah setiap tahun.

Justeru, kerajaan Arab Saudi mempunyai hak untuk mengadakan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti diadakan dalam pelaksanaan ibadat haji dan umrah sebelum ini demi maslahah rakyatnya dan umat Islam seluruhnya.

Pada masa sama, fardu kifayah dalam pelaksanaan ibadat haji dan umrah boleh terangkat walaupun ia dilakukan dalam kapasiti terhad. Namun, kesan daripadanya ialah kenaikan kos tidak dapat dielakkan. Hal ini turut memberikan kesan kepada tahap kemampuan kewangan seseorang yang ingin menunaikan haji.

Walaupun tuntutan menunaikan haji sebagai kemuncak rukun Islam kelima perlu diutamakan, kekangan dalam kemampuan kewangan individu berkenaan perlu diambil kira dalam menjaga nyawa dan keperluan lain untuk meneruskan kehidupan hariannya.

Justeru, umat Islam di negara ini perlu melihat keutamaan perlu dilakukan dalam hidup mereka dalam tempoh gawat dan mencabar ini. Jika kadar perbelanjaan haji dan umrah melebihi tahap kemampuan mereka, maka ia tidak wajib dilakukan.

Mereka masih boleh melakukan tabungan dan simpanan dengan harapan peluang berkenaan akan menjelma pada masa akan datang, sekali gus sama-sama berdoa agar pandemik dapat ditangani segera dan sebaiknya hingga umat Islam dapat kembali melakukan ibadat seperti biasa.

Penulis adalah Penyelaras Jaminan Kualiti, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)



Tiada ulasan: