28 Januari 2010

P'raya kampus: Pro-M kalah teruk di UPM

12 Safar 1431H

Calon pro-Aspirasi menang besar dalam pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Ini ekoran kejayaan mereka memenangi 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Kumpulan pro-Mahasiswa pula memenangi 11 kerusi - merosot dua kerusi berbanding prestasinya pada tahun lalu.

Keputusan tersebut diumumkan kira-kira jam 7.30 malam ini di Kolej Kediaman Ke-13 UPM.

Khamis ini, empat univerisiti utama akan menghadapi pilihanraya kampus masing-masing.

Kampus tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di UM, pro-Aspirasi UM setakat ini menang lapan kerusi tanpa bertanding manakala pro-M memperolehi empat kerusi.

Pilihan raya kampus di UKM pula akan menyaksikan pertandingan di hampir semua kerusi umum dan fakulti.

UKM mempertandingkan 35 kerusi, tetapi kerusi fakulti pengajian Islam telah dimenangi tanpa bertanding calon pro-M.

Malaysiakini/-

Reman lapan lelaki bakar gereja dilanjutkan

12 Safar 1431H

Tempoh tahanan reman lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembakaran Gereja Metro Tabernacle di Desa
Melawati di Kuala Lumpur awal bulan ini dilanjutkan selama seminggu lagi bermula hari ini.

Pegawai penyiasat dilaporkan memohon perlanjutan kerana siasatan masih belum lengkap.

Semua suspek berusia dalam lingkungan antara 21 hingga 26 tahun dibawa ke mahkamah majistret bagi melanjutkan perintah tahanan reman mereka, hari ini.

Suspek pertama, 25 bekerja sebagai penghantar cepat dan ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital Kuala Lumpur akibat kesan kebakaran di dada dan lengannya pada 19 Jan lalu.

Penahananya itu membawa kepada suspek lain yang termasuk dua adik beradiknya dan bapa saudaranya serta kawan-kawan keluarganya.

Sementara itu, Bernama memetik Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa sebagai berkata polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman lapan orang itu sehingga 1 Feb ini bagi melengkapkan siasatan.

Siasatan adalah mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah atau sebagainya, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

8 Januari lalu, bangunan tiga tingkat Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, diserang dengan bom api yang menyebabkan bahagian bawah bangunan itu musnah.

Malaysiakini/-

PAC: Kehilangan enjin jet kecurian terancang

12 Safar 1431H

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah selesai menjalankan siasatannya mengenai kes kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2007 dan mendapati tiada pembabitan pegawai peringkat tertinggi.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata, siasatan jawatankuasa itu mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi.

Bagaimanapun, katanya, PAC mendapati ia merupakan satu kecurian yang terancang dan dilakukan dengan rapi.

Azmi juga menolak dakwaan dalam media bahawa kos enjin tersebut melebihi RM50 juta.

Sebaliknya, kata beliau, kadar pertukaran wang sekarang menunjukkan kos kedua-dua enjin tersebut ialah RM400,000 tiap satu.

"PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi kita tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua PAC dengan Kementerian Pertahanan dan TUDM berhubung kes berkenaan di Bangunan Parlimen hari ini.

Bernama melaporkan antara yang dilihat hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Pada mesyuarat hari ini, PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan.

Azmi berkata berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar.

Katanya enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan.

Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam.

"Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut," katanya.

Beliau berkata MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi berkata TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya.

"Kita difahamkan mereka sedang dalam proses mempertingkatkan sistem pentadbiran mereka termasuk bertukar daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Selain itu Azmi turut menegaskan bahawa nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu.

Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.

Malaysiakini/-

Anwar dibenar pinda pembelaan saman KPN

12 Safar 1431H

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenar membuat pindaan dalam pembelaannya pada kes saman yang difailkan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan berhubung siasatan insiden mata lebam
Ketua Pembangkang itu pada 1998.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A.Kaveeta dalam kamar.

Peguam Anwar, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa anak guamnya itu akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Anwar membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis kontingen Selangor pada 1 Julai, 2008 mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan kes kerangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim
Noor, pada 1998.

Musa dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 21 Julai 2008 mendakwa tuduhan itu adalah tidak berasas dan tidak benar dan telah menjejaskan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya terjejas di kalangan masyarakat umum dan dalam kapasiti profesional beliau.

Beliau menafikan berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum.

KPN nafi salahgunakan kuasanya

Beliau juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat terhadap Anwar.

Musa berkata Anwar telah secara berniat jahat membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani selepas menghadapi tuduhan liwat.

Ketua Polis Negara itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah sebanyak lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh Mahkamah.

Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutannya.

Selain ganti rugi, Musa juga memohon satu perintah injunksi menghalang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu atau ejennya daripada mengulangi menerbit perkataan-perkataan berunsur fitnah tersebut.

Anwar dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 24 Okt 2008 berkata laporan polis dibuat adalah bersifat perlindungan mutlak dan justifikasi.

Malaysiakini/-







Siasatan lawatan Disneyland diserah ke Putrajaya

12 Safar 1431H

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiapkan siasatan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (bawah) ke taman tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Mahad berkata kini terpulang kepada peguam kanan persekutuan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk mengambil lanjut.


"Saya dimaklumkan SPRM Putrajaya telah menyelesaikan siasatannya mengenai itu dan (hasilnya) telah dihantar ke peguam kanan persekutuan.

"Sekarang, peguam kanan persekutuan akan menyiasat perkara itu dari semua sudut perundangan, berdasarkan keterangan yang diberikan," katanya dalam sidang di pejabatnya di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Mohd Khir didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk membuat dua "lawatan teknikal" ke taman tema di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007, yang dikatakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.7 juta wang anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Bhd.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor telah menghantar 'rombongan' ke pejabat SPRM di Shah Alam, dengan membawa replika 'Disneyland'.

Ia merupakan satu 'ingatan' kepada SPRM supaya membuka segera kes lawatan Khir ke Disneyland, pada 2004.

Dalam satu kenyataan, Abdul Razak Ismail - pegawai kepada exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata pejabat baru bahagian aduan SPRM kini terletak di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin ketika berucap di perkarangan bangunan PKPS berkata, mereka kesal dengan penahanan Hussein Ahmad, pegawai khas exco kerajaan Selangor, Yaakob Sapari, yang didakwanya dibuat tanpa sebarang bukti kukuh.

Katanya, Hussein direman selama lima, sedang SPRM tidak menahan reman Khir Toyo semasa siasatan dilakukan.

Kira-kira 30 anggota AMK Selangor turut memakai telinga ala 'mickey mouse' sebagai satu peringatan kepada SPRM supaya jangan berat sebelah dan melalukan 'pendakwaan terpilih' dalam mendakwa mana-mana pihak.

Malaysiakini/-

Saman RM546 juta terhadap BN didengar 10 Mei

12 Safar 1431H

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan lima hari bermula 10 Mei untuk mendengar saman RM546 juta terhadap Barisan Nasional (BN)
oleh sebuah syarikat pengiklanan papan iklan kerana menamatkan kontrak papan iklan.

Timbalan Pendaftar Nur Yusliana Yusoff menetapkan tarikh itu setelah peguam BN, Abu Bakar Isa Ramat berbincang dengan peguam Syarikat Pentas Permata Sdn Bhd (PPSB) Catherine Durai dalam kamar.

Nur Yusliana juga menetapkan 18 Mac untuk berbincang dengan kedua-dua pihak untuk pengurusan kes akhir.

Saman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Komersial (Hakim Mahkamah Dagang) Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Syarikat Pentas Permata memfailkan saman itu pada 7 Dis, 2007, terhadap BN kerana menamatkan kontrak bertarikh 5 Jan, 2006 untuk membekal dan memasang papan iklan pengiklanan di kawasan terbuka bagi mempromosikan BN bagi pilihan raya umum akan datang.

Syarikat itu, yang dilantik sebagai ejen untuk memasang papan iklan tersebut untuk BN, menamakan BN yang diwakili pada ketika itu setiausaha kerjanya Datuk Yaakob Mohammad sebagai defendan.

PPSB dalam pernyataan tuntutan, antara lain mendakwa bahawa menurut kontrak itu, BN berhak menamatkannya pada bila-bila masa dalam masa enam bulan ketika ia ditandatangani tetapi notis penamatan kontrak tersebut dikeluarkan selepas enam bulan.

Syarikat itu mendakwa bahawa ia mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM546,552,800 akibat tindakan itu dan memohon amaun pembayaran balik, kos, faedah dan relif lain yang wajar diputuskan mahkamah.

BN dalam jawapan afidavitnya mendakwa bahawa penamatan kontrak itu adalah sah kerana PPSB gagal menunjukkan sebarang kemajuan dalam tugas-tugasnya yang perlu dilaksanakan seperti dalam terma kontrak.

Ia menambah bahawa BN bukanlah pihak yang bersalah untuk disaman dan saluran betul ialah menerusi setiausaha kerjanya.

Malaysiakini/-

Penulis blog hina Almarhum Sultan Johor direman 4 hari

12 Safar 1431H

TERKINI Mahkamah Majistret Kota Bharu memerintahkan penulis blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, ditahan reman selama empat hari.

Penulis blog itu
yang dikenali sebagai Aduka Taruna (berbaju perang), menyerah diri kira-kira pada jam 4.40 petang semalam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu, lapor The Star Online.

Selepas kemangkatan Sultan Johor Jumaat lalu, Aduka didakwa menyiarkan artikel di blognya www.adukataruna.blogspot.com yang didakwa menghina Almarhum.

Tulisan berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai. Sekurang-kurangan 25 laporan polis dibuat terhadap penulis blog itu.

Malaysiakini/-

Azan: Saya diberi tugas baru di PKR pusat

12 Safar 1431H

Ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata, beliau melepaskan jawatannya sebagai timbalan pengerusi PKR Pahang, antaranya bagi menumpukan perhatian kepada tugas barunya di peringkat pusat.

"Saya diberikan tugas baru di peringkat pusat," katanya menjawab teka-teki sebab sebenar beliau melepaskan jawatan secara mengejut semalam.

Azan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung jawatan dan tugas baru yang bakal disandangkan dalam parti itu.

Kenyataan terbaru Azan itu dilihat sebagai usaha untuk mengendurkan ketegangan dalam PKR negeri ekoran tindakannya melepaskan jawatan semalam..

Azan semalam dilaporkan turut melepaskan jawatan pengerusi biro keahlian PKR negeri kerana kecewa dengan pentadbiran parti yang didakwa tidak mematuhi peraturan pendaftar pertubuhan serta diurus seperti sebuah syarikat perniagaan.

Beliau juga dilaporkan berkata, tegurannya berhubung pengurusan kewangan, kutipan derma dan isu 'cah keting' tidak diendahkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azan berkata beliau tetap berpegang dengan kenyataannya semalam kerana ia merupakan "teguran biasa."

"Itu adalah teguran biasa. Kalau tidak boleh tegur, kita tidaklah lebih baik daripada Umno," katanya yang beranggapan isu tersebut sudah selesai.

Bagaimanapun, ibarat "rumah siap, pahat berbunyi", terdapat pihak dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang berpendapat, peletakan jawatan Azan dibuat ekoran rasa terpinggirnya dalam beberapa aktiviti parti kebelakangan ini.

Pemimpin tersebut yang tidak mahu namanya disebut berkata, selepas PKR menganjurkan konvensyen parti peringkat negeri awal minggu lalu, Azan merasakan dirinya dipinggirkan.

Katanya, Azan dilihat tidak mempunyai banyak peranan, malah tidak diberikan peluang berkongsi pentas bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam kemuncak program tersebut pada 17 Januari.

Azan bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Itu saya tidak dapat hendak kata apa. Kalau macam itu saya kena berusahalah (supaya tidak terpinggir)"

Sementara itu, seorang lagi timbalan pengerusi PKR Pahang, Mohd Nor Jaafar ketika dihubungi menafikan dakwaan Azan semalam.

Beliau berharap Azan dapat 'berbincang' dengan PKR negeri mengenai perkara tersebut bagi menjernihkan keadaan.

"Kalau beliau hendak bincang, kita boleh bincang. Tetapi kalau beliau hendak tegakkan benang yang basah, kita pun boleh tegakkan benang kita," katanya.

Malaysiakini/-

Zambry serta exconya bagai cacing kepanasan

12 Safar 1431H
Love Perak

Keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan dibuat pada 9 Februari ini, Seluruh rakyat Perak hatta Malaysia sendiri kini tertumpu untuk mengetahui perkembangan terkini isu itu.

Rakyat sudah bosan menyaksikan apa yang berlaku di depan mata mereka sekarang. Soalnya sekarang, apakah akan berlaku jika benar telahan semua pihak keputusan itu akhirnya berpihak kepada Datuk Seri Ir.Mohd Nizar Jamaluddin?.

Ramai dikalangan pemimpin UMNO BN Perak yang tidak suka ini berlaku. Malah Exco Perak Hamidah Osman sendiri mengatakan bahawa satu penghinaan kepada institusi raja dan kehakiman bagi mereka yang membuat spekulasi bahawa mahkamah akan berpihak kepada Nizar dalam kes ini.

Itu bukti jelas bahawa mereka amat takut jika MB Zambry Kadir tumbang pada kali ini. Jika dulu, Mahkamah Rayuan menidakkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar adalah MB yang sah. Kini mereka amat gusar dengan keputusan yang akan dibuat itu sebenarnya.

Zambry Kadir dan barisan exconya kini "tidur tak lena mandi tak basah" gara-gara menanti satu keputusan yang bakal menggugat kedudukannya sekarang ini.

Apapun keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, ternyata kini bahawa Zambry Kadir adalah "MB Haram" yang telah memerintah Negeri Perak tanpa amanat rakyat.

Maka, atas undang-undang mana yang beliau gunakan untuk luluskan Bajet Negeri yang mencecah billion ringgit itu agaknya.

Walhal beliau bukanlah MB Perak yang sah lagi sebenarnya. Mahkamah tertinggi negara belum memutuskan perkara ini, sewajarnya Zambry tidak boleh terkinja-kinja mengatakan BN menang di Perak dan beliau MB yang sah.

Cara perlantikkan dan kemenangan yang cukup memalukan itu jelas sekali menipu rakyat. Hak rakyat untuk pilihanraya semua dinafikan atas berbagai alasan yang tidak munasabah. Walhal BN takut untuk berhadapan dengan suara rakyat itu sendiri sebenarnya.

Mereka tahu, bahawa majoriti rakyat Perak tidak mahu lagi UMNO BN mentadbir negeri itu. Mereka mahu Pakatan Rakyat berkuasa kerana yakin dengan corak kepimpinan dan masa depan mereka.

Sungguh memalukan, gara-gara terlalu kemaruk untuk berkuasa maka Zambry Kadir membelakangkan perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Mengaku beliau adalah MB yang sah, sedangkan keputusan mahkamah tertinggi masih belum dimuktamadkan.

Rakyat juga amat terkejut, dalam keadaan MB Perak yang masih "tergantung" itu, pihak polis sanggup bertindak keras terhadap ADUN Pakatan Rakyat ketika Sidang Dewan Undangan Negeri di adakan sebelum ini.

Akhirnya berlakulah berbagai peristiwa yang cukup memalukan negara di mata dunia seperti membenarkan pihak polis masuk ke dalam DUN, mengangkat dan mengheret speaker keluar dewan serta bertindak kejam terhadap ADUN Pakatan Rakyat hingga berlakunya Mesyuarat DUN di bawah pokok selepas itu.

Semua ini adalah satu rentetan daripada penghinaan buat Kerajaan Negeri Perak itu sendiri. Anehnya suara rakyat terus dinafikan, sehingga ke hari ini.

Dan kini, nampaknya keputusan yang sudah pasti cukup menggemparkan akan berlaku. Siapakah MB Perak yang sah akan diketahui 9 Februari ini.

Jika Zambry menang, maka beliau akan terus kekal sebagai MB Perak. Namun, bayangkan jika Nizar menang?

Bukankah satu episod yang lebih memalukan akan berlaku di Perak selepas ini. Apapun sama-sama kita nantikan episod terakhir ini.

Difahamkan Pakatan Rakyat telah mengarahkan jentera pilihanraya mereka bersiap sedia sekarang ini. Ini berikutan terdapat spekulasi Nizar akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekiranya beliau menang dalam kes ini.

Jika ini berlaku, sudah pasti ramai pemimpin UMNO BN akan bertambah terluka sebenarnya. Mereka amat takutkan suara rakyat, malahan mereka tahu rakyat akan menghakimi mereka selepas ini.

Justeru itulah mereka tidak mahu suara menentukan siapakan MB dan kerajaan yang mentadbir Perak diserahkan kepada rakyat.

Apa yang penting, sudah pasti ramai ADUN dan Exco Perak sedia ada sekarang ini bakal berputih mata sekiranya pilihanraya negeri diadakan semula.

Kemungkinan besar Zambry dan Hamidah juga akan tumbang di kawasan mereka sendiri. Inilah yang amat ditakutkan sangat oleh puak mereka.

Harakahdaily.net/-

Zulkifli Nordin diserah kepada Lembaga Disiplin

12 Safar 1431H
Dzulfikar Mashhor

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini memutuskan untuk menyerahkan nasib anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin kepada Lembaga Disiplin parti itu.

Pemimpiin PKR dalam sidang media selepas mesyuarat berakhir jam 3.30 petang tadi memberitahu, Lembaga Displin diberikan masa sebulan untuk memutuskan kes tersebut disamping mengemukakan cadangan tindakan kepada majlis pimpinan pusat (MPP).

Zulkifli didakwa melampaui batas perbezaan pendapat apabila membuat laporan polis ke atas anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam isu penggunaan nama Allah.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataannya di sidang media itu berkata, Biro Politik PKR memandang berat dan menyesali tindakan anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin yang membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bagaimanapun, menurut Saifudin yang membacakan keputusan itu, PKR menerima hakikat bahawa Zulkifli berhak untuk memberikan pandangan dan ia akan dihormati.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Zulkifli itu dianggap biro paling berkuasa dalam PKR itu sebagai membelakangkan mekanisma parti.

Sehubungan itu, katanya, mereka telah bersetuju mengambil tindakan berikut:-

1) Setuju kes ini dibawa kepada Lembaga Disiplin parti dan ia perlu bersidang secepat mungkin iaitu tidak lebih dari satu bulan.

Tindakan yang perlu diambil adalah mengkaji aduan, menyiasat aduan, mendengar penjelasan Zulkifli dan membuat keputusan.

Keputusan yang boleh dibuat adalah memberikan amaran, mengantung keahlian atau memecat taraf keahlian Zulkifli Nordin dalam PKR.

2) Menyuarat itu juga mengarahkan Zulkifli agar jangan membuat sebarang kenyataan berkait dengan hal ini sehingga proses ini diselesaikan mengikut saluran parti dengan cara yang baik.

Sementara itu, Zulkifli seperti dilapor Malaysiakini memberi jaminan akan akur dengan apa jua keputusan PKR.

"Dalam mana-mana parti, termasuk PKR, berhak ambil tindakan jika perlu untuk maslahah (kebaikan) parti. Tetapi saya juga berhak pertahankan diri," lapor web itu.

Sepanjang siasatan dijalankan juga, Zulkifli diarahkan menutup mulut dan dilarang membuat kenyataan media.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, perkara itu tidak boleh dihalang kerana ia dibuat berdasarkan peruntukan parti.

Bagaimanapun, beliau akan terus bercakap berhubung isu kalimah Allah jika dirasakan perlu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR adalah Syed Kamaruzaman.

Harakahdaily.net/-

Adun Triang menitiskan air mata mengenangkan sokongan Presiden PAS

12 Safar 1431H
Buletinonline

KEMAMAN 26 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang, Pahang dari parti DAP, Encil Leong Ngah Ngah, menitiskan air mata apabila mengenangkan kesahnya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

”Saya menangis bila ingat kesah dengan Tok Guru Hadi Awang, waktu itu sepuluh tahun lalu, Tok Guru pergi ceramah di tempat saya di Triang, semua orang Melayu, saya satu orang Cina,”katanya memulakan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Masyarakat Tionghua DUN Chukai, disini Sabtu lalu, 23 Januari.

(gambar: Leong dua dari kanan dalam majlis di Chukai)

berkempen dalam memperjuangkan ketuanan Melayu dan memburuk-burukkan orang Cina, khususnya DAP.

Katanya, Umno sedang bersiap sedia untuk membawa 10,000 orang pemudanya ke Kuala Lumpur, bagi menunjukkan kekuatan.

”Tok Guru Hadi Awang kata, dia jamin keselamatan orang Cina, dia kata kalau Umno bawa 10,000 orang pemuda untuk melakukan sesuatu kepada orang-orang Cina, beliau akan mengerahkan 10,000 pemuda PAS, melindungi orang Cina,”ujar Leong, dihadapan 150 orang Tionghua yang hadir pada malam tersebut.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada orang-orang PAS khususnya dalam kawasan DUN Triang.

”Orang-orang PAS banyak tolong saya, sejak mula-mula saya bertanding, orang PAS yang banyak tolong, tidak minta upah dengan saya walau satu sen pun,”terang Leong lagi.

Justeru beliau berharap Pakatan PAS dan DAP serta PKR akan kekal bersama Pakatan Rakyat, bagi masa depan Malaysia yang lebih baik.

”Pada tahun 1999, saya mula nampak satu harapan, saya kata harapan Malaysia masih ada, apabila pada tahun itu, semasa pilihanraya wanita (muslimat) PAS minta bendera DAP dan wanita DAP tidak takut pegang bendera PAS,”katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Penolong Setiausaha PAS Terngganu merangkap Pengarah DUN Chukai, Haji Hanafiah Mat, ADUN Simpang Pulai, Cahn Ming Kai dan Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing. --Buletinonline.net


Harakahdaily.net/-

Politik: Tidak daftar pemilih, menentang demokrasi

12 Safar 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir 2009.

Lebih memeranjatkan 65 peratus daripada jumlah itu adalah bumiputera khususnya golongan remaja dan belia.

Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000), Kelantan (240,000) dan Perlis (32,000).

Pendedahan itu juga turut menjadi topik perbincangan bukan sahaja parti-parti politik, malah gologan anak muda yang tergolong dalam kategori layak mengundi tetapi tidak mendaftar tersebut.

Dalam komen-komen mereka khususnya di Facebook, mereka beralasan tidak berminat terlibat dengan politik kerana mendakwa politik sesuatu yang menyusahkan.

Pengasas Zentrum Future Studies, Dr Abu Hassan Hasbullah berpendapat, mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih itu sebenarnya telah tidak berfungsi sebagai warga negara yang baik.

Ini kerana mereka telah menentang dan tidak menghormati dasar-dasar demokrasi negara ini.

"Setiap warganegara yang layak mengundi, harus mendaftar dan wajib mendaftar.

"Jika mereka tidak mendaftar mereka telah menentang sistem negara yang menjunjung semangat demokrasi, dan perilaku ini juga bertentangan dengan akhlak warganegara yang baik," jelasnya yang juga Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya.

Namun yang lebih besar katanya, golongan ini perlu sedar bahawa keengganan terlibat dalam proses memilih pemimpin negara memberi kesan yang besar kepada kehidupan mereka.

Menurut Abu Hassan, kehidupan golongan ini sebenarnya hanya menumpang atas hasil usaha orang lain yang telah menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin bagi kesejahteraan negara.

Sikap sebegini jelasnya adalah merupakan satu sikap primitif dan tidak bertamadun yang hanya suka berada di 'zon selesa' menikmati hasil kerja orang lain.

Sehubungan itu, golongan ini jelas Abu Hassan sebenarnya tidak layak menerima apa-apa kelebihan atau insentif dari kerajaan dan juga tidak berhak mengkritik jika dasar-dasar kerajaan membebankan mereka.

Ini kerana mereka tidak mempedulikan tanggungjawab mereka dalam proses pembetukan sebuah kerajaan.

"Jika terjadi apa-apa kepada negara ini sama ada berlakunya masalah ekonomi, sosial dan politik, maka yang sebenarnya merekalah yang bertanggungjawab menyebabkan perkara ini terjadi.

"Mereka tidak bersama-sama dalam proses demokrasi untuk memilih kepimpinan yang baik menerajui negara, jadi mereka tidak boleh merungut," jelasnya.

Harakahdaily.net/-

Adun Melor ceria kembali bertugas

12 Safar 1431H
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 Jan: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor boleh berurusan seperti biasa melalui wakil rakyatnya bermula hari ini setelah Wan Ismail Wan Jusoh pulih seperti biasa daripada penyakitnya sejak pulang dari Mekah, akhir tahun lepas.

“Saya amat berterima kasih kepada seluruh warga di Dun Melor yang selama ini memahami masalah penyakit yang saya hadapi dan alhamdullillah, hari ini saya boleh menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat seperti biasa dan kena mengambil ubat yang telah ditetapkan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui di Majlis Taklimat Tertutup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim.

Sebelum ini, Wan Ismail telah menghadiri mesyuarat yang berkaitan dengan hal-hal soalan dewan dan petang ini pula di taklimat SPRM.

Beliau juga berkata, pada malam esok akan bersama AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dalam siri ceramah.

Ketika ditanya berkaitan kesihatannya, beliau berkata setakat ini telah dibenarkan keluar dan menjalankan tugas seperti biasa dan akan ke Kuala Lumpur untuk rawatan biasa sahaja.

“Di sini juga saya ingin rakamkan terima kasih saya kepada Badan Perhubungan PAS Negeri yang memantau perjalanan parti di Dun Melor dan kepada seluruh rakyat Kelantan amnya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, taklimat khas yang diadakan kepada seluruh Adun, Ahli Parlimen Kelantan dan Pegawai Kerajaan Negeri itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pembentangan dan Penjelasan Akta SPRM 2009 telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah II SPRM, Datuk Haji Zakaria Jaafar dan hadir sama ialah Pengarah SPRM negeri, Mohd Jaafar Hussin.

Harakahdaily.net/-

SPR perlu bersih daftar pemilih, guna dakwat kekal

12 Safar 1431H

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Wanita Keadilan menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menumpukan usaha ke arah pembersihan Daftar Pemilih dan penguatkuasakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang untuk meningkatkan keyakinan orangramai terhadap SPR sebagai badan bebas yang menjalankan pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Biro Pilihan Rayanya, Rodziah Ismail memandang serius kenyataan Timbalan Pengerusi SPR berhubung kajian untuk melaksanakan pengundian awal bukan sahaja kepada anggota keselamatan tetapi juga meliputi doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan.

“Adakah ini jawapan SPR kepada kontroversi Undi Pos yang mengalami krisis kewibawaan akibat Daftar Pemilih yang tidak diyakini bersih, proses pengundian yang tidak telus dan undi yang tidak rahsia?

“Bila pula terdapat laporan bahawa golongan pekerja ini menghadapi kesulitan untuk membuang undi sebelum ini sehingga SPR mengambil langkah yang sebegitu penting ini sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-13?” tanya beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga Atau juga mempersoalkan adakah tindakan itu diambil berdasarkan ’khabar angin’ semata-mata sama seperti keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lepas.

Sehingga kini, katanya SPR masih membisu apabila Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lepas dengan hanya bersandarkan ’khabar angin’ dan bukan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurutnya, SPR sepatutnya berusaha untuk meningkatkan kewibawaan kepada proses pengundian pilihan raya yang dijalankannya dengan belajar dari pengalaman negara-negara lain tentang proses pilihan raya yang lebih telus dan cekap.

Harakahdaily.net/-

Pilihan raya kampus, sistem e-Undi yang mengecewakan

12 Safar 1431H
Siswa Kesal

Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia bagi sesi 2009/2010 telah pun berakhir diadakan minggu lalu. Berbanding kampus-kampus lain yang ‘panas’ dan menjadi tumpuan pihak luar, proses pemilihan MPP di USIM berjalan dalam keadaan tenang dan tanpa sebarang kekacauan oleh pihak tertentu.

Sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu, sistem e-Undi dikatakan memberi banyak kelebihan, antaranya menjimatkan masa para petugas dan pelajar, mudah untuk sesi pengiraan undi, menjimatkan masa pelajar serta petugas, memudahkan pengiraan dan sangat praktikal untuk dilaksanakan.

Benarkah kenyataan tersebut, atau ianya hanya menguntungkan pihak Jawatankuasa pemilihan MPP bagi memudahkan urusan mereka? Ternyata, dalam proses pemilihan MPP pada kali ini sudah dikesan beberapa kelemahan sepanjang proses pemilihan berlangsung:

1. Lanjutan tempoh mengundi. Waktu pemilihan yang sepatutnya sudah berakhir pada jam 4.30petang , telah dilanjutkan setengah jam hingga ke pukul 5.00 petang. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya di kalangan para pelajar yang dimaklumkan lebih awal berkenaan tempoh pemilihan. Sepatutnya tempoh pengundi tidak boleh diubah sewenangnya. Menampakkan pihak pentadbiran memanipulasikan PRK.

2. Wujudnya undi rosak. Jika difikirkan secara logik, agak mustahil akan berlaku undi rosak dalam aplikasi IT secanggih sistem e-Undi. Apabila ditanya kepada seorang pensyarah bahagian pengajian teknologi, beliau menyatakan aplikasi e-Undi sudah diguna pakai sejak dulu. Sepatutnya tidak wujud undi rosak kerana sistem tersebut akan sentiasa dinaiktaraf setiap tahun dan diuji beberapa kali dalam siri simulasi sebelum hari pemilihan.

Kami kesal dan kecewa dengan sikap sesetengah pegawai di Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang seolah-olah ingin mempermain serta memperkecilkan peranan mahasiswa.

Mungkin kelemahan yang berlaku dipandang kecil saja di peringkat pentadbiran. Hakikatnya ia melambangkan betapa tidak profesionalnya pihak HEP dalam mengendalikan proses pemilihan MPP, serta melunturkan kepercayaan kami kepada pihak HEP yang hanya menganggap pelajar sebagai ‘pak turut’ bagi mereka. Situasi yang berlaku sudah cukup membuktikan bahawa pihak HEP tidak berintergriti dalam proses PRK.

Selaku mahasiswa yang matang, kami cuba bersikap prihatin dengan proses pemilihan kepimpinan pelajar yang sangat penting bagi kami, kerana calon yang dipilih bakal menjadi penghubung dan penyalur suara kami ke pihak atasan.

Kami juga cuba menghormati perjalanan pilihan raya kampus di sini walaupun ‘kemeriahan’ tidak begitu dirasai. Sekiranya perkara sebegini terus terjadi, tidak mustahil selepas ini akan ada mahasiswa yang memboikot pemilihan MPP pada tahun depan dan membantah secara keras penggunaan sistem e-Undi.

Pihak Jawatankuasa Pemilihan MPP sepatutnya tidak memikirkan kepentingan mereka sendiri. Jangan semata-mata untuk menyenangkan urusan mereka, kepentingan dan hak pelajar cuba dihakis dan dipinggirkan.

Siswa Kesal,

Bandar Baru Nilai, N. Sembilan

Harakahdaily.net/-