07 Oktober 2011

Rujuk pakar sebelum komen hudud

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Saya sarankan kepada rakan artis supaya tidak memberikan pandangan mengenai hukum hudud berbentuk peribadi, sebaliknya rujuk kepada pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata pengacara TV3, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.

Itu antara luahan hati Wardina berhubung laporan sebuah akhbar bertarikh 25 Oktober lalu, apabila beberapa selebriti tempatan memberikan pandangan peribadi mengenai hukum hudud sama ada wajar atau tidak dilaksanakan di negara ini.

Antara artis memberikan pandangan mereka adalah Datuk Aziz Sattar, Ayu Raudhah, Enot, Alif Satar, Cat Farish dan Heliza AF.

Menurut Wardina, hukum hudud satu perkara sensitif yang seharusnya dirujuk kepada ulama dan pengamal undang-undang bukannya boleh dikeluarkan pandangan sesuka hati saja.

“Kita (artis) perlu tahu bahawa analogi hudud adalah perkara yang sangat teknikal dan sensitif yang mana sekiranya pendapat yang dikeluarkan salah, maka ia boleh menyinggung hati banyak pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, artis dan selebriti sewajarnya memberikan fokus hanya pada bidang yang diceburi mereka seperti pengalaman, seni, filem, muzik dan lakonan.

Harian Metro

Hasilkan baju dengan gentian susu

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ENAM liter susu diperlukan untuk menghasilkan sehelai baju.

HANOVER, Jerman - Seorang pereka fesyen yang juga merupakan pakar mikrobiologi, Anke Domaske mengejutkan dunia fesyen apabila berjaya mencipta baju daripada gentian susu. Domaske, 28, menemui cara menggabungkan susu tepung dengan bahan lain untuk menghasilkan sejenis fabrik istimewa. Rekaan pakaiannya diberi nama Qmilch.

ANKE DOMASKE bergambar bersama model dan pakaian yang dihasilkan daripada gentian susu.

"Fabrik susu ini mengandungi protein yang berperanan memastikan kulit anda berada dalam keadaan sihat. Pakaian bio merupakan satu trend baharu yang akan bermula dalam industri fesyen dan kami kini berada di hadapan," kata Domaske yang membangunkan gentian susu tersebut dalam tempoh hanya dua tahun.

Dia juga percaya teknik yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Fiber Bremen itu boleh diaplikasikan ke dalam industri lain termasuklah ubat-ubatan.

Sebelum ini, beberapa buah syarikat Eropah seperti H&M dan C&A telah menghasilkan pakaian yang diperbuat daripada kain kapas organik. Tetapi kebanyakan material organik adalah mahal untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa.

Gentian susu tersebut mengandungi 18 asid amino yang memberi faedah kepada kesihatan. Untuk menghasilkan sehelai baju, Domaske memerlukan sehingga enam liter susu. - Agensi

Tujuh Terbunuh Bom Meletup Di Iraq

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam serangan senjata dan bom di Baghdad dan tengah Iraq pada Khamis manakala seorang ulama Syiah cedera, kata pegawai tempatan. Dalam serangan dahsyat tersebut,

bom magnet dilekatkan kepada sebuah kereta di kawasan Al-Utaifiyah utara Baghdad diikuti pengeboman di tepi jalan, menyebabkan lima terbunuh dan 21 lagi mengalami kecederaan. Empat anggota polis adalah antara yang cedera dalam serangan itu. -AFP

Nato akan terus bom Libya

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BRUSSELS - Serangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) ke atas Libya yang kini memasuki tempoh tujuh bulan akan tetap diteruskan walaupun pemerintahan Muammar Gaddafi telah ditamatkan, menurut pegawai Nato, semalam.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet berkata, serangan udara akan diteruskan sehingga semua tentera yang masih menyokong Gaddafi berjaya dihapuskan.

“Kami akan menamatkan serangan di Libya jika diminta kerajaan baru negara itu,” katanya di persidangan menteri pertahanan negara anggota Nato di Belgium, semalam.

Libya kini diperintah pemberontak tetapi beberapa kawasan masih dikuasai Gaddafi.

SINAR HARIAN/-

Penasihat ekonomi persoal kenaikan gaji

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kenaikan gaji yang signifikan bagi 1.2 juta kakitangan awam negara pada pembentangan Bajet 2012 petang ini.

Bagaimanapun, penasihat ekonomi kerajaan mempersoalkan sejauh mana keberkesanan langkah yang bertujuan memancing undi dalam menangani isu kos hidup yang terus meningkat.

"Bagaimana pula nasib mereka yang bukan dalam perkhidmatan awam? Isu gaji lebih mendesak dalam sektor swasta, "kata Mahani Zainal Abidin, anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), semasa menjadi tetamu radio BFM pagi ini.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya sama ada kenaikan gaji untuk kakitangan awam adalah penyelesaian terbaik bagi menangani isu-isu ekonomi yang dihadapi oleh Malaysia.

NEAC adalah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menasihatkannya mengenai dasar-dasar ekonomi. Mahani adalah juga ketua eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), sebuah badan pemikir yang menyediakan perkhidmatan perundingan kepada kerajaan.

Satu lagi tetamu yang diketengahkan pada rancangan pagi ini ialah Teh Chi Chang, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA). Beliau pernah menjadi penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Kedua-dua Teh dan Mahani diminta mengulas mengenai kenaikan gaji perkhidmatan awam yang dispekulasikan akan naik.

Teh mempersoalkan sama ada kerajaan mengambil kira kesan dan akibat kenaikan gaji berkenaan sebelum mahu melaksanakannya kerana tindakan itu akan berakhir dengan jumlah pencen yang besar apabila kakitangan awam terbabit bersara.

“Ini soalan yang mesti kita jawab,” katanya.

Kedua-dua mereka juga ditanya sama ada jumlah kakitangan awam yang sebegitu ramai, iaitu kira-kira 10 peratus daripda tenaga kerja di negara ini perlu dikurangkan.

MALAYSIAKINI/-

Robot cuci rambut warga emas

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TOKYO - Ia kelihatan seperti kerusi salon, tetapi robot terbaharu di Jepun itu boleh mencuci rambut yang sentuhannya seperti jari-jari manusia untuk membantu golongan tua dan kurang upaya.

Robot itu dibangunkan oleh firma elektronik terkemuka, Panasonic. Menurut Panasonic, robot itu mengetengahkan teknologi robotik terkini.

"Dengan menggunakan teknologi tangan robotik dan 24 jarinya, robot ini mampu mencuci rambut golongan kurang upaya seperti seorang manusia. Ini dapat membantu mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna," kata wakil Panasonic, Tohru Nakamura.

Pengguna hanya perlu berbaring di atas sebuah kerusi. Robot itu kemudian akan menyampu rambut, mengurut kulit kepala dan membilas rambut dalam tempoh tiga minit. Meletak perapi dan mengeringkan rambut pula akan mengambil masa lima minit lagi.

Pada masa ini, mesin tersebut masih belum berada di pasaran. Panasonic merancang untuk memulakan jualannya pada tahun depan. Ia menyasarkan produknya itu kepada rumah-rumah penjagaan orang tua dan hospital.

- Reuters

11 penumpang maut bas terhumban ke gaung di Peru

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LIMA 7 Okt. - Sekurang-kurangnya 11 penumpang termasuk empat kanak-kanak terbunuh, manakala 22 lagi cedera, beberapa orang daripadanya kritikal, apabila bas yang dinaiki terhumban ke sebuah gaung di tengah Peru, awal pagi semalam.

"Buat masa ini, kami melaporkan 11 orang maut selepas bas yang dinaiki terhumban ke gaung sedalam 200 meter di Matucana, kira-kira 60 kilomter di timur ibu negara, Lima," kata seorang anggota polis, Luis Diaz.

Katanya, pemandu bas terbabit yang turut terbunuh, hilang kawalan ketika cuba mengambil selekoh di lebuh raya tersebut.

Kesemua mangsa cedera parah, kebanyakan kanak-kanak dan dibawa ke hospital di Lima. - AFP

Derita serangan kutu beras

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MOHD. TAHIR menunjukkan kutu beras yang menyerang penduduk di Pasir Gudang semalam.

PASIR GUDANG - Lebih 5,000 penduduk yang tinggal berhampiran gudang beras Padi Beras Nasional (Bernas) di Jalan Gangsa di sini tertekan dengan gangguan dan serangan kutu beras sejak awal tahun ini.

Lebih merimaskan, kutu beras tersebut turut memasuki bilik tidur penghuni termasuk di Perjiranan 10 dan Flat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE).

Seorang penduduk, Ainon Endud, 65, berkata, setiap hari lebih 100 ekor kutu beras muncul di rumahnya terutama pada awal pagi dan lewat petang.

"Kutu beras berada atas lantai, katil, dinding, dapur, dalam makanan, bekas minuman dan di mana-mana sahaja sehingga kami buntu dan tidak tahu apa hendak dibuat untuk mengatasinya.

"Setiap hari saya terpaksa menyapu dan mengutip kutu beras ini tetapi masalah ini masih berterusan," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Dakwanya, masalah itu pernah diajukan beberapa kali kepada pihak Bernas dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Mohd. Tahir Ibrahim, 59, pula memberitahu, serangga itu bukan sahaja memenuhi ruang rumahnya malah turut merayap dan menggigit badannya sehingga menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.

"Bagi yang alah, gigitannya boleh menyebabkan kulit bermasalah berminggu-minggu lamanya.

"Kutu beras juga masuk ke telinga dan hidung kanak-kanak pada malam hari," terangnya lagi.

Shari Basir, 41, berkata, kutu beras biasanya terdapat di bawah bantal dan tilam dalam jumlah yang banyak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak dan berharap tindakan segera diambil oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPG, On Jabbar @ Jaffar berkata, pihak Bernas telah mengambil tindakan termasuk memusnahkan semua palet di gudang itu yang dikatakan menjadi punca utama pembiakan kutu beras.

"Langkah ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana perlu mengalihkan beras yang berjumlah 32,000 metrik tan.

"Selain itu, Bernas akan memasang jaring dan melakukan proses asapan atau melepaskan gas untuk membunuh kutu-kutu beras," katanya selepas melawat gudang beras Bernas berkenaan.

KOSMO/-

15,993 penderma organ Perak

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

IPOH – Perak menduduki tangga keempat senarai penderma organ negara dengan jumlah keseluruhan 15,993 orang sejak tahun 2000 hingga Ogos 2011.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 179,789 orang yang mendaftar sebagai penderma organ di seluruh negara sejak 1997 hingga kini.

Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Raja Ahmad Lope Raja Ariffin berkata, melalui jumlah itu pesakit buah pinggang adalah yang tertinggi dalam senarai menunggu dengan jumlah 14,015 orang.

Menurutnya, bagi Perak seramai 23 penderma sebenar sudah menjalani pemindahan organ sejak 2008 hingga tahun lalu.

“Selain itu, sebanyak 25 pesakit lagi memerlukan pemindahan hati, jantung dan paru-paru di seluruh negara.

“Bagaimanapun, bagi pesakit jantung kebanyakannya pemindahan organ gagal dilakukan kerana pesakit yang berada dalam senarai menunggu meninggal dunia sebelum sempat untuk melakukan pembedahan itu,” katanya di bilik mesyuarat Pusat Rawatan Harian HRPB, semalam.

Dalam perkembangan sama, umat Islam juga boleh menjadi penderma organ memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum penderma organ adalah harus.

“Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menjadi pengikrar pendermaan organ boleh melayari laman sesawang www.agiftoflife.gov.my atau menghubungi Pusat Sumber Pemindahan Organ HRPB di talian 05-522 2324,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Banyakkan selawat pada hari Jumaat

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (Riwayat Al Baihaqi)

tazkirah/-

Dr Asri : Enakmen boleh dipertikai, tapi bukan hudud

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan umat Islam boleh mempertikaikan undang – undang ciptaan manusia tetapi bukan hukum hudud yang digariskan di dalam Al-Quran.

“Saya tengok, dalam laporan media sejak kebelakangan ini, mereka mempertikaikan hudud, mereka tidak boleh mempertikai asas hukum hudud yang ada, dibawa oleh al-Quran. Namun mereka boleh mempertikaikan enakmen yang digubal oleh manusia, yang membabitkan hukum hudud, misalnya yang digubal oleh Kelantan, Terengganu atau Arab Saudi, mana-mana negara lain,” katanya.

Beliau menjelaskan hukum hudud perlu dinilai dengan lebih komprehensif di mana ianya mampu mengurangkan kadar jenayah yang berlaku. “Kalau hendak mempertikaian enakmen, kita boleh mempertikaikan, misalnya prosedur, tidak lengkap, tidak mengapa.”

MALAYSIA TODAY/-

Berlian 110 karat bakal dilelong

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HONG KONG - Salah satu berlian terbesar di dunia akan dilelong bulan depan di Geneva, Switzerland dan dijangka mampu dijual pada harga AS$15 juta (RM45.3 juta).

Berlian berbentuk seperti buah pear berwana kuning seberat 110.3 karat itu disifatkan oleh firma lelongan, Sotheby's sebagai berlian terbesar yang mempunyai bentuk dan berwarna sebegitu.

"Berlian ini benar-benar mengagumkan. Ia juga merupakan berlian paling besar yang pernah dilelong," kata pengerusi bersama Sotheby's, David Bennett dalam satu sidang media di Hong Kong.

Hong Kong menjadi lokasi pertama dalam siri jelajah antarabangsa pameran batu berharga yang dipanggil Sun-Drop itu sebelum ia dilelong pada 15 November depan. - AFP

Pemandu ambulans ditumbuk didakwa lambat tiba dirumah pesakit

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BESUT - Seorang pemandu ambulans dari Hospital Daerah Besut lebam mata kiri setelah ditumbuk seorang lelaki kerana didakwa lambat tiba untuk membawa isteri lelaki itu ke hospital.

Kejadian di Taman Abdullah, Alor Lintah, dekat Jerteh pada 2.45 pagi tadi, disaksikan seorang Pegawai Perubatan dan dua jururawat yang datang bersama dalam ambulans itu yang dipandu Mahadi Mohd Jaafar, 39.

Mahadi, yang turut cedera di pipi kiri, memberitahu pemberita bahawa pada 2.30 pagi beliau menerima arahan daripada pegawai bertugas untuk mengambil seorang wanita yang sakit untuk bersalin di kawasan perumahan itu.

Katanya sebelum ke rumah berkenaan, beliau terlebih dahulu mengambil seorang Pegawai Perubatan serta dua jururawat dan tiba di rumah pesakit 15 minit kemudian.

"Sebaik tiba di rumah itu, seorang lelaki terus marah dengan mengatakan kami lambat sampai dan dia secara tiba-tiba menumbuk muka saya sekali di bahagian pipi dan mata kiri," katanya.

Katanya lelaki itu bagaimanapun ditenangkan anggota keluarganya yang lain. Ketika kekecohan berlaku, Pegawai Perubatan dan dua jururawat itu membantu wanita berkenaan melahirkan sepasang anak kembar.

Mahadi berkata beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Jerteh 40 minit kemudian selepas menghantar wanita dan dua bayi kembar itu ke hospital.

Ketua Polis Daerah Besu, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian.- Bernama

Tentera, pembelot bertempur, 12 maut di Syria

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

DAMSYIK 7 Okt. - Kira-kira 12 orang terbunuh dalam pertempuran membabitkan tentera Syria dan pembelot di perkampungan di wilayah Idlib, barat laut Syria hari ini.

"Tujuh tentera dan lima pembelot terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di kampung di barat Jabal al-Zawiya," kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.

Sementara itu, di GENEVA, Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan lebih daripada 2,900 orang terbunuh sejak enam bulan lalu apabila demonstrasi anti kerajaan tercetus di Syria.

Menurut jurucakap suruhanjaya tersebut, Rupert Colville, jumlah tersebut mungkin meningkat kerana 'lebih ramai orang' dilaporkan hilang di Syria sejak tunjuk perasaan menentang Presiden Bashar al-Assad bermula pada pertengahan Mac lalu. - AFP

Pakar: Mustahil bagi Anwar meliwat kerana keadaannya

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberitahu, berdasarkan ujian ke atas ketua pembangkang itu dan keputusan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), adalah tidak mungkin bagi tertuduh meliwat.

Menurut pakar bedah orthopaedik Dr Thomas Hoogland yang menyambung keterangannya hari ini, penilaiannya dibuat dengan mengambil kira usia Anwar.

"Bekalan darah adalah masalah utama apabila berlaku kerosakan kepada saraf...

"Apabila kita andaikan hubungan seksual, ia tidak mungkin boleh dilakukan.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas Anwar dan keputusan MRI, ini mustahil dilakukan (tindakan meliwat) kerana usianya," kata Hoogland.

Menjawab soalan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Hoogland berkata meskipun pembedahan dijalankan dan terdapat perubahaan, namun ia tidak sembuh sepenuhnya.

malaysiakini/-