26 Julai 2012

Dera hingga pecah usus

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUANTAN: “Saya tidak akan memaafkannya dan tidak sesekali menerimanya semula,” kata Norhidayah Ahmad, 22, ibu kepada bayi berusia lapan bulan yang disahkan doktor pecah usus dipercayai akibat didera teman lelaki ibu kandungnya itu.

Norhidayah yang juga ibu tunggal berkata, dia tidak menyangka teman lelakinya berusia 19 tahun itu sanggup mendera Mohamad Adam Mikhail Abdullah kerana kekasihnya itu sangat menyayangi anaknya.

“Selepas apa yang berlaku, dia tidak boleh terlepas daripada perbuatannya.
Saya mahu dia rasa azab yang Adam rasa,” katanya yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Norhidayah berkata, dia hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap Adam apabila anaknya itu kelihatan tidak bermaya dan muntah-muntah ketika dia pulang dari tempat kerja, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, Norhidayah meninggalkan Adam kepada suspek ketika keluar bekerja di tapak ekspo di hadapan Terminal Makmur, di sini, jam 8 malam Isnin lalu dan pulang semula ke bilik sewa pada jam 3 pagi kelmarin.

metro/-

'Water torture' Selangor jangan berulang di Johor

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menggesa MMC Corporation Bhd mengemukakan kepada umum rancangannya untuk mengambil alih konsesi air di Johor untuk dinilai oleh semua pihak terutama rakyat negeri itu.

"Kita berharap dokumen berkaitan boleh dikemukakan untuk dinilai oleh semua pihak terutama rakyat Johor yang akan menjadi pengguna dan tidak diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya.

Salahuddin juga berharap keinginan MMC untuk mengambilalih aset air di Johor hendaklah tidak mengulangi tragedi dan politik air Umno di Selangor.

"Sebagai rakyat Johor, saya berharap keinginan MMC untuk mengambilalih konsesi air di Johor dari AIRB (Aliran Ihsan Resources Bhd) tidak mengulangi apa yang berlaku di Selangor.

"Di Selangor, awal-awal lagi rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan telah didera dengan urus janji yang sungguh tidak adil dan tidak wajar apabila Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) diberi habuan lumayan oleh kerajaan Umno BN (Barisan Nasional) di negeri itu sebelum ini apabila diberi hak untuk menaikkan tarif air sehingga lima kali," katanya sambil berharap perkara itu tidak berlaku dalam cadangan MMC untuk mengambilalih konsesi dan aset air di Johor.

Salahuddin juga berharap pengambilalihan oleh MMC itu tidak berlanjutan sehingga ke peringkat krisis air palsu yang sengaja direka-reka oleh Umno dan pihak yang memegang konsesi air seperti yang berlaku di Selangor.

"Saya bersetuju sangat dengan (bekas Ketua Penerangan Umno Pekan) Datuk (Mohd) Ariff Sabri (Abdul Aziz) yang menyifatkan apa yang berlaku di Selangor itu sebagai water torture dan saya benar-benar berharap perkara itu tidak berlaku di Johor jika benar MMC akan mengambilalih konsesi air di Johor dari AIRB," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin berkata, PAS akan memastikan rakyat Johor mendapat urus janji yang wajar, adil dan munasabah jika berlaku pengambilalihan konsesi air di negeri itu oleh MMC.

"Kita mahu pastikan apa yang berlaku di Selangor berlaku lagi di Johor," katanya.

Menurut The Malaysian Insider, kira-kira dua minggu lalu, Pengarah Urusan MMC Datuk Hasni Harun mengumumkan persetujuan untuk mengambil alih AIRB yang merupakan pemegang konsesi air terbesar di Johor.

Bagi menjayakan rancangan itu, sebuah syarikat tujuan khas (special vehicle company) akan ditubuhkan dengan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, lapor The Edge Financial Daily.

MMC dilaporkan memegang 62.82 ekuiti saham dalam AIRB yang merupakan pembekal air dirawat yang ketiga terbesar di Malaysia.

Sebuah akhbar lain, Business Times melaporkan awal bulan ini, urusniaga tersebut dianggarkan bernilai RM181.12 juta.

harakahdaily/-

25 Julai 2012

Peserta Bersih 3.0 dipukul khabar angin polis mati

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang peserta Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa sekumpulan polis memukulnya dalam keadaan marah kerana khabar angin seorang anggotanya mati pada 28 April lalu.

Karam Singh, 50 berkata, kira-kira jam 7 petang, beliau masuk ke A&W Jalan Pudu selepas polis mengejar peserta Bersih sebelum kakitangan A&W mengunci pintunya apabila melihat situasi huru-hara di luar.

Polis mengetuk pintu A&W dan menjerit kepada kakitangan agar membuka pintu apabila nampak beliau yang memakai kemeja T Bersih di dalamnya.

"Saya minta staf A&W jangan buka pintu kerana saya bimbang melihat keadaan polis yang nampak dalam keadaan marah.

"Staf buka pintu kerana takutkan polis dan polis terus berlari ke arah saya dan memaksa saya menanggalkan T-shirt. Saya tanggalkan T-shirt tapi tetap dipukul.

"Sebelum polis tinggalkan A&W, polis cakap 'lu orang punya pasal, anggota kita mati," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Tambah beliau lagi, khabar angin mengenai anggota polis mati mula kedengaran sekitar jam 3 hingga empat petang.

"'Mood' polis dalam keadaan marah, bukan 'mood' berunding ketika di A&W," katanya yang merupakan seorang pemandu pelancong.

Menurut Karam juga, beliau melihat sekumpulan pemuda melakukan provokasi terhadap polis yang melakukan sekatan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Bagaimanapun katanya, kumpulan pemuda tersebut tidak kelihatan seperti peserta Bersih.

"Mereka kelihatan berbeza dengan kumpulan peserta lain dan menggunakan isyarat tangan ketika berkomunikasi sesama mereka," katanya di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

HARAKAHDAILY/-

Elak dicekup, beri alasan tertidur selepas berbuka puasa

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

AMPANG - Seorang wanita sanggup menyorok di dalam almari bagi mengelakkan diri dicekup dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, di sebuah apartmen, di sini awal pagi semalam.

Wanita yang hanya berkemban itu ditahan bersama pasangannya pada jam 1.40 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuainya memeriksa kediaman berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu bilik tidur pasangan terbabit, seorang lelaki hanya berseluar pendek membuka pintu.

“Lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan hanya dia seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berusia 23 tahun menyorok di dalam almari pakaian,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditahan wanita itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik teman lelakinya selepas berbuka puasa.

“Wanita berkenaan bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota, manakala lelaki terbabit bekerja di sebuah syarikat pembasmi serangga,” katanya.

Dalam operasi yang berasingan, sepasang kekasih dicekup khalwat di apartmen sama.

Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka.

“Wanita yang berpakaian lengkap itu menyorok di belakang pintu bilik air ketika serbuan dijalankan, manakala pasangannya hanya berseluar pendek sedang baring di dalam bilik tersebut,” katanya.

Kedua-dua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) (a) (b), Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SINAR HARIAN/-

1,500 anak muda tamu Ramadan di Masjid Beijing

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG: Seramai 1,500 anak muda di kawasan parlimen Rantau Panjang menyertai program Tadarus Anak Muda Tamu Ramadan di Masjid Beijing semalam.

Antara yang hadir pelajar-pelajar sekolah agama, pusat pengajian pondok, maahad tahfiz dan golongan belia tempatan.

Setiap mereka yang hadir diberi senaskah al-Quran sebagai cenderahati. Program tersebut dianjur Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Beijing.

Program berkenaan bermula jam 10 pagi dan berakhir selepas solat Zohor, dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Anak muda terbabit turut diraikan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Gual Periok, Mohamad Awang, Pengarah TATOK, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Penolong Kanan Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Hariff Ghazali.

Husam berkata, al-Quran dianggap sebagai peti rahsia kepada manusia yang mengandungi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai hal-hal dunia dan akhirat.

“Membaca al-Quran bukan setakat untuk mengetahui pelbagai cerita, tetapi untuk mengetahui rahsia tertentu mengenai khazanah Tuhan berkaitan dengan kehidupan manusia.

“Pelajaran yang kita dapat dari al-Quran lebih tinggi jika dibandingkan dengan ilmu yang dipelajari daripada saluran lain,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurutnya al Quran juga menceritakan sebuah kerajaan Islam yang canggih boleh kita jadikan model hari ini, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sangat besar, hebat dan masyhur.

Nabi Sulaiman menggalakkan manusia mempelajari pelbagai bahasa bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan.

“Hatta bahasa burung dan semut sekali pun digalakkan belajar dan difahami,” ujar beliau.

Nabi Sulaiman juga menggalakkan kakitangan pentadbiran melakukan gerak kerja dengan cepat dan pantas.

Ini dapat dilihat bagi mengangkat istana Puteri Balqis, Nabi Sulaiman a.s memilih Jin Efrit yang menawarkan diri untuk mengangkatnya dalam tempoh sekelip mata.

Sementara itu, Mohd Khir Zahri berkata, program berkenaan merupakan siri kedua, di mana tahun lepas diadakan di Qaryah Ramadan, Dataran Stadium, bertujuan mendekatkan anak-anak muda dengan masjid.

HARAKAHDAILY/-

Tangan hancur tersepit mesin

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Hasrat seorang bapa untuk mencari pendapatan tambahan pada Ramadan dengan menjual air tebu, musnah apabila tangannya terperosok ke dalam mesin pengisar tebu ketika melakukan kerja memproses air tebu, dekat sini, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu dipercayai berlaku ketika Anan Ali, 58, yang juga Timbalan Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balai Besar bersama seorang anak lelakinya, Mohd Osman, 25, sedang memproses air tebu menggunakan mesin pengisar di hadapan rumahnya di Jalan Intan, dekat sini.

Menurut Mohd Osman, ketika bapanya itu sedang memasukkan batang tebu ke dalam mesin pengisar, tiba-tiba dia terdengar ayahnya menjerit meminta tolong.

Dia terkejut apabila melihat sebahagian daripada pergelangan tangan bapanya telah terperosok di dalam mesin pengisar itu.

Mohd Osman berkata, dia menerpa ke arah suis mesin pengisar itu lalu mematikannya dan cuba menarik tangan bapanya, namun gagal.

Menurutnya, dia sempat mencapai telefon bimbit lalu menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan kecemasan.

Mohd Osman berkata, melihat darah terus keluar dari tangan bapanya sehingga memenuhi mesin pengisar, dia nekad membuka gerigi mesin pengisar itu dengan menggunakan spanar.

“Sebaik tangan ayah berjaya dikeluarkan dari mesin pengisar itu, saya terus membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, ayah terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaannya serius,” katanya.

Menurutnya, berikutan kecederaan dialami, pergela-ngan tangan bapanya terpaksa dipotong melalui proses pembedahan di HSNZ, jam 12.30 tengah hari semalam.

Mohd Anan, bapa kepada enam anak yang juga pemandu di Pejabat Pertanian Dungun kini menerima rawatan lanjut di Wad 4EF HSNZ.

SINAR HARIAN/-

Semakin banyak udang karang berwarna-warni ditangkap

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GAMBAR yang bertarikh 26 Jun lalu menunjukkan udang karang pelbagai warna di syarikat New Meadows Lobster di Portland pada 21 Julai lalu.

PORTLAND, Amerika Syarikat - Para saintis kini mendapati terdapat banyak udang karang yang berwarna biru, oren, kuning dan berwarna-warni yang tersangkut pada jaring nelayan sejak dua tahun lalu di sini.

Pada kebiasaannya, udang karang yang ditangkap nelayan di sini berwarna coklat kehijauan.

Sebelum ini terdapat penulisan yang menyatakan kebarangkalian untuk menangkap udang karang berwarna biru ialah seekor bagi setiap dua juta ekor.

Kebarangkalian untuk menangkap udang karang berwarna oren pula ialah seekor bagi setiap 30 juta ekor.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Pemuliharaan Udang Karang di Friendship, Maine, Diane Cowan menyatakan terdapat peningkatan tinggi dalam jangka hayat haiwan itu.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana bilangan haiwan pencari mangsa untuk menjadikan udang tersebut sebagai makanan telah berkurangan.

Beliau berkata, bilangan haiwan pencari mangsa yang berkurangan itu menyebabkan semakin banyak udang tersebut yang dapat meneruskan kehidupan sekali gus terperangkap dalam pukat nelayan. - Agensi

Tolak Selangor ambil Syabas untuk jaga kroni Umno

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Keputusan Kerajaan Pusat untuk menghalang pengambilalihan Syabas jelas menunjukkan kerajaan BN lebih menyebelahi syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan Umno bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Demikian kata Exco kerajaan negeri Selangor, Elyzabeth Wong (GAMBAR) dalam satu kenyataannya hari ini.

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin menolak keputusan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih Syabas.

Bagi Elyzabeth, Kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih Syabas mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

Menurut Elyzabeth, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tiada keperluan untuk membuat catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa sekarang jelas membuktikan isu air dijadikan gimik politik untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan Selangor.

UGUT KERAJAAN NEGERI

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno untuk mengugut Kerajaan Selangor supaya memberi kelulusan pembinaan Loji Pembersihan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Menurut Elyzabeth, Kerajaan Pusat sebenarnya tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat.

Malah, mereka cuba mensabotaj usaha Kerajaan Selangor melakukan perkara yang betul demi melindungi kepentingan rakyat, katanya.

"Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM225 juta.

"Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas yang akan menentukan projek mana yang lebih efektif menyelesaikan kekurangan air terawat tetapi pada kos murah," katanya.

Bagi beliau, Kerajaan Pusat Barisan Nasional perlu mengakui kesilapan ketika menandatangani Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 dan kesilapan itu tidak boleh diperbetulkan sehingga sekarang.

"Kita menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempertahankan hak mereka dan mengelak dimanipulasi pihak berkepentingan yang mahu mengaut keuntungan atas kos yang ditanggung rakyat," ajak beliau.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet, Muhyiddin, sebenarnya tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air.

Malah, ketika beliau menjawat Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tariff air di negeri itu antara tertinggi di negara ini, dakwanya.

Elyzabeth juga mendakwa, ada juga usaha untuk menswastakan air kepada syarikat korporat MMC Corporation yang dimiliki Syed Bulkhari dan ini sudah tentu akan meningkatkan beban rakyat.
Rakyat Johor berdepan dengan tariff air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor, katanya.

"Kerajaan Barisan Nasional mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat," tegas beliau lagi.

HARAKAHDAILY/-

Ismail Sabari arah batal mesyuarat KPF?

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) perlu menjelaskan kepada peneroka benarkah beliau mengarahkan mesyuarat agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) diisytihar tidak sah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Ismail menjelaskan perkara itu dan jika benar beliau melakukan campurtangan keterlaluan itu serta mengarahkan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Kali Ke-31 KPF yang bermesyuarat pada 20 Jun lalu diisytiharkan tidak sah, adakah keputusan itu bertepatan dengan keputusan dan amalan biasa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau juga meminta Ismail bercakap benar kepada peneroka bahawa keputusan beliau yang tidak selaras dengan keputusan dan amalan biasa SKM itu tidak dipengaruhi oleh kepentingan perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkeras mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) baru-baru ini.

"Kita difahamkan, dalam mesyuarat agung tersebut, beberapa perwakilan yang dikatakan pro (Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd) Isa (Abdul Samad) membuat bantahan dan meminta mesyuarat agung tersebut di batalkan dengan dakwaan kononnya penyata kewangan teraudit koperasi tersebut bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 lambat dihantar kepada mereka," kata Mahfuz.

Bantahan tersebut, kata beliau, akhirnya dirujuk kepada SKM yang kemudiannya melantik tiga ahli panel untuk menangani isu tersebut.

"Panel tersebut memanggil semua pihak yang terlibat dan akhirnya membuat keputusan bahawa tidak ada isu yang boleh menyebabkan mesyuarat agung tersebut diisytiharkan tidak sah kerana terlalu banyak koperasi lain juga lambat menghantar penyata dan mesyuarat agung mereka tetap sah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selepas panel itu membuat keputusan tersebut, kata Mahfuz, tiba-tiba Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin mengarahkan panel tersebut supaya menerima bantahan pihak yang mahu mesyuarat agung tersebut dibatalkan.

"Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat khususnya peneroka dan menjelaskan adakah beliau, kerana mematuhi kehendak Najib dan Isa, mengarahkan Pengerusi Eksekutif SKM berbuat demikian memandangkan sebelum ini Pengerusi Eksekutif SKM tidak pernah mengarahkan panel seumpamanya untuk berbuat demikian.

"Ismail juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat khususnya peneroka dan menjelaskan adakah arahan beliau itu dibuat ekoran ketakutan Najib dan Isa apabila mesyuarat agung KPF itu juga membuat keputusan untuk mengambil alih pengurusan Felda Holdings Berhad," kata Mahfuz (gambar).

KPF mempunyai 51 peratus pegangan saham dalam Felda Holdings.

"Jika KPF ambil alih, kedudukan Isa sebagai Pengerusi Felda Holdings akan terpelanting sedangkan Isa diibaratkan mata, telinga, tangan dan kaki Najib di dalam Felda. Akan rosaklah perancangan Najib," kata Mahfuz.

Beliau mengingatkan Ismail bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan beliau akan dikenang sehingga bila-bila sebagai tukang sabotaj peneroka Felda sebagaimana Najib dan Isa yang kini dilihat dan dituduh sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Felda yang mensabotaj peneroka Felda.

Mahfuz juga menggesa Ismail menghentikan tindakannya menyekat hasrat murni KPF untuk mengendalikan pengurusan Felda Holdings dan menjadi menteri koperasi yang pro-ahli koperasi dan pro-keputusan mesyuarat koperasi yang sah dan bukan menjadi menteri yang akhirnya mungkin dikenang sebagai menteri yang mensabotaj aspirasi peneroka Felda melalui koperasi mereka itu.

HARAKAHDAILY/-

Dua lelaki ditahan hisap rokok di tempat awam, minum di kedai makan bukan Islam

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KLUANG - Sungguh memalukan apabila dua lelaki ditahan pegawai Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang di lokasi berasingan kerana tidak menghormati Ramadan dalam operasi yang dijalankan, kelmarin.

Operasi sempena Ramadan itu, bermula kira-kira jam 10 pagi, dijalankan bagi menahan umat Islam yang tidak menunaikan ibadah puasa.

Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, seorang lelaki berusia 20-an berjaya ditangkap ketika sedang menghisap rokok di tempat awam iaitu di atas tembok di kawasan Perindustrian Mengkibol.

“Sewaktu tangkapan, lelaki berkenaan sedang asyik menghisap rokok tanpa berasa malu dengan per- buatannya itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut bekerja di sebuah bengkel terletak di kawasan berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, di lokasi berasingan, pihak JAJ daerah Kluang berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang sedang minum di sebuah kedai makan milik bukan Islam di Jalan Batu Pahat, di sini.

Mohd Khalil berkata, tanpa ada rasa segan silu lelaki tersebut makan dan minum di khalayak ramai pada Ramadan ini.

Menurutnya, lelaki tersebut sudah berkahwin dan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai di sekitar Kluang.

“Kedua-dua yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada seluruh umat Islam di daerah ini supaya tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan Ramadan yang mulia ini seperti menghisap rokok, makan dan minum di tempat awam,” katanya.

Mohd Khalil berkata, sepanjang Ramadan ini pihak penguat kuasa JAJ akan sentiasa menjalankan operasi di daerah ini bagi menangkap sesiapa sahaja yang tidak menghormati Ramadan.

SINAR HARIAN/-

Bayi Kepada Lelaki Cedera Ditembak Di Pawagam Selamat Dilahirkan

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DENVER: Apabila Katie Medley melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat di Hospital Universiti Colorado, suaminya Caleb, berada dalam keadaan koma akibat tercedera dalam tembakan di pawagam di Colorado.

Hugo Medley Jackson dilahirkan pada 7.11 pagi Selasa, dengan 18.5 inci (47 sentimeter) panjang dan seberat 3.29 kilogram, menurut kawan-kawannya.

Kedua-dua mereka, ibu dan bayi berada dalam keadaan baik, kata jurucakap hospital Dan Weaver.

Caleb telah menjalani tiga pembedahan selepas cedera ditembak pada Jumaat lepas semasa tayangan filem baru, Batman di Aurora yang telah mengakibatkan 12 orang mati dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Katie Medley bagaimanapun tidak cedera.

Caleb Medley bergantung pernafasan pada ventilator tetapi mula bernafas sendiri dan boleh memegang tangan mereka yang melawatnya, rakan kepada keluarganya Michael West berkata.

Kadar denyutan jantungnya mencecah sehingga 130 denyutan seminit apabila sesiapa sahaja bercakap tentang bayinya yang dinamakan sebelum kelahirannya, katanya.

"Dia menunjukkan tanda-tanda peningkatan," kata West, yang mengetuai satu usaha untuk mengumpul wang dalam talian bagi membantu keluarga muda, yang tidak mempunyai insurans kesihatan ini.

Katie Medley dan Hugo melawat Caleb Medley di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Rabu.

West berkata sebelum tembakan, Katie Medley telah dijadualkan akan melahirkan bayi pada hari Isnin tetapi dia menukar hospital kerana mahu lebih dekat dengan suaminya.

Pasangan itu pergi menonton tayangan tengah malam "The Dark Knight Rises" pada saat akhir sebelum bergelar ibu bapa.

Bapa Katie Medley Katie, David Sanchez, berkata anak perempuannya dan menantunya telah menunggu selama setahun untuk menonton tayangan perdana filem tersebut.

Katie Medley belum bercakap secara terbuka tentang tembakan itu tetapi Sanchez bercakap mengenai pengalaman pahit pasangan itu di luar mahkamah di mana suspek tampil pertama kali di mahkamah pertama Isnin.

Sejak itu, sumbangan kepada keluarga ini telah meningkat kepada lebih $100,000.

mstar/-

KGT tiada penyelewengan: Terima kasih polis - Nik Aziz

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Keratan berita Sinar Harian hari ini)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang telah membersihkan nama Kelantan Gold Trade (KGT) dari tuduhan penyelewengan sebelum ini.

"Terima kasih Polis Kelantan, kerana bersih sangkaan tidak baik pihak tertentu terhadap KGT," kata beliau melalui twitternya hari ini.

Media hari ini melaporkan, Polis Kelantan mengesahkan tiada unsur jenayah komersial yang dikaitkan dengan dalam isu penyelewengan KGT.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang mendakwa KGT terlibat dengan penyelewengan.

"Kita sudah menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang dibuat berhubung skandal KGT ini dan hasil siasatan mendapati tiada unsur penyelewengan dan tiada unsur jenayah komersial.

"Sehubungan itu, polis menutup kes ini," katanya kepada akhbar Sinar Harian semalam.

Sebelum ini NGO pro Umno dan seorang blogger Umno telah membuat laporan polis dan menulis dalam blognya kononnya berlaku penyelewengan dalam KGT.

(Husam menunjukkan laporan muka depan Utusan yang memfitnah KGT)

Ekoran itu, akhbar Umno Utusan Malaysia telah menjadikan cerita ini laporan muka depannya.

Laporan ini cuba mengaitkan Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa terlibat dalam penyelewengan ini.

Ekoran itu, Husam memaklumkan dua hari lepas, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Umno itu.

Turut bakal dikenakan tindakan yang sama adalah bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad, yang didakwa turut memfitnah KGT.

Husam Musa pada sidang media itu memberitahu tindakan berkenaan diambil bagi membersihkan nama baik KGT yang sering dijadikan sasaran fitnah oleh dua pihak tersebut di samping pihak lain.

Sementara itu Pengurus Besar KGT, Mahadi Mokhtar turut melahirkan rasa syukur kerana dakwaan tanpa asas terhadap anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu sudah berakhir.

"Biar pun ada laporan dibuat terhadap KGT, namun sehingga kini tidak ada pihak polis yang datang membuat siasatan, kemungkinannya dakwaan yang dilemparkan pihak terbabit tidak berasas," katanya di sni.

Menurutnya segala dakwaan tersebut jelas bermesej politik kerana mereka sengaja mengambil kesempatan memburuk-buruk kerajaan negeri dan pemimpinnya di atas isu yang tidak wujud.

Beliau juga berkata, pihaknya tetap meneruskan tindakan saman terhadap akhbar milik Umno iaitu Utusan dan Nik Mahani kerana segala dakwaan yang dilemparkan tidak betul.

harakahdaily/-

Pakatan Rakyat Sedia Hadapi PRU Pada Bila-Bila Masa

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata sehingga kini pakatan pembangkang telah selesai memutuskan hampir 95 peratus pembahagian kerusi untuk calon-calonnya yang bakal bertanding.

"Kemungkinan pilihan raya sekarang macam cuaca. Nampak dekat tapi jauh, macam panas tapi hujan.

"Bagaimanapun Pakatan Rakyat bersedia menghadapi PRU-13 pada bila-bila masa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat, dekat sini, Selasa.

Menurut Mustafa walaupun keputusan meletakkan calon bertanding masih belum selesai sepenuhnya, Pakatan Rakyat tidak menganggap ia sebagai masalah besar kepada parti.

"Pembahagian kerusi (keseluruhan) 95 peratus sudah selesai. Bagi kita kalau belum ada calon untuk satu kerusi pun dikira belum selesai.

"Tapi kalau parlimen bubar hari ini...hari ini juga kita akan selesaikan," katanya.

Mustafa turut mengakui terdapat calon yang terdiri daripada muka-muka baru akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Pun begitu katanya, pihaknya tidak akan mengumumkan nama calon-calon itu sekarang.

"Calon baru ada...tapi kita tak akan umum sekarang. Semua tak umum lagi, sampai masa baru kita akan umum," katanya.

Namun, Mustafa berkata pilihan raya yang diadakan pada musim haji akan menafikan hak rakyat Malaysia beragama Islam di negara ini.

Jelasnya, kerajaan perlu mengelak mengadakan proses mengundi yang menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia kepada negara dibuat ketika umat Islam menunaikan tanggungjawab kepada agama.

"Jangan buat masa musim haji...kerajaan kena elak. Biarlah mereka yang pergi haji tahun ini dapat tunaikan tanggungjawab kepada agama dan tanggungjawab kepada sistem demokrasi negara," katanya.

mstar/-

Wajah perompak RM3 juta

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Jika anda kenal atau pernah terlihat lelaki ini tolong salurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan segera.Kes samun bersenjata kedai emas di Carrefour Seberang Jaya.

BUTTERWORTH – Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya, di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Mohd Nasir Salleh berkata, tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada dalam kedai itu.

Katanya ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki kedai emas dan menyamar sebagai pelanggan dengan meminta pekerja kedai emas itu mengeluarkan rantai-rantai emas untuk dibeli oleh mereka.

“Selepas permintaan mereka dilayan, ketiga-tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol serta mengacukannya kepada pekerja dan seorang pelanggan tadi sambil memberi amaran jangan bergerak,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya perompak itu telah menjadikan salah seorang pekerja kedai emas itu sebagai tebusan dengan mengacu pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg dengan cepat sebelum mereka melarikan diri.

Mohd Nasir berkata perompak berusia antara 20 hingga 30 tahun terbabit dipercayai warga asing kerana bertutur dalam bahasa Hokkien dan bahasa Melayu yang agak pelat.

harakahdaily-/

Gempa: Gegaran turut dirasai di Pulau Pinang

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Gempa bumi yang menggegarkan Simeulue, Sumatera Utara, Indonesia pagi ini turut dirasai penduduk di negeri ini.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk terutama yang tinggal di pangsapuri, mengadu kediaman mereka bergegar selain mengalami rasa pening.

Manisah Hamid dari flat Taman Bukit Jambul berkata gegaran dirasai selama beberapa saat.

"Saya rasa pening dan lantai rumah macam bergegar tetapi sekejap sahaja," katanya yang tinggal di tingkat 12 flat tersebut, kepada Bernama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, berkata jabatan tersebut menerima tiga laporan gegaran daripada penduduk yang tinggal di Butterworth dan sekitar George Town.

Jabatan itu melaporkan gempa dengan kekuatan 6.6 pada skala Richter menggegarkan Simeulue pada pukul 8.27 pagi waktu Malaysia dan pusat gempa terletak 25 km dari tenggara Simeulue dan 547 km dari barat daya Lumut, Perak. - Bernama