18 April 2013

Terkilan tidak dapat mengundi

Terkilan tidak dapat mengundi7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BENTONG – Seorang pesara polis terkilan kerana namanya tidak tersenarai sebagai pengundi berdaftar menerusi semakan yang dibuat di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

V Supramaniam, 61, berkata, dia bersara dari perkhidmatan polis pada 2008 di Balai Polis Temerloh. Katanya, sebelum ini dia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi menerusi undi pos.

“Pada tahun lalu, saya ada membuat semakan di sebuah pejabat pos untuk mendaftar sebagai pengundi baru, namun dimaklumkan nama sudah berada di dalam sistem serta tidak perlu berdaftar.

“Namun begitu, minggu lalu, saya membuat semakan semula di laman web SPR dan mendapati nama tiada di dalam sistem,” katanya.
Menurutnya, susulan itu dia mengemukakan aduan kepada pihak SPR berhubung perkara itu menerusi emel.

Katanya, pada 15 April lalu, dia mendapat maklum balas daripada pihak SPR dan dimaklumkan namanya sebagai pengundi pos sudah dipotong pada September 2010.

“Dalam masa sama, mereka meminta saya mendaftar semula sebagai pemilih biasa di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos dan unit bergerak pejabat pilihan raya.

“Saya terkilan kerana nama sudah dipotong sejak 2010, namun saya tidak pernah menerima sebarang surat sepanjang tempoh itu dan diminta mendaftar sebagai pemilih biasa,” katanya.

Supramaniam berkata, dia amat berharap dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, satu undi adalah sangat penting bagi menentukan pemerintahan negara.

“Jadi saya amat berharap agar dapat diberi peluang mengundi pada kali ini,” katanya

sinar/-

Kempen: Ingatlah pengundi masyarakat bertamadun

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua calon PRU13 menunjukkan integriti yang tinggi ketika berkempen dengan menjauhkan diri dan mengawal jentera parti agar tidak menjalankan taktik kotor yang menegangkan suasana dan mencemari pilihanraya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mengguna kumpulan samseng, mengedar bahan lucah dan mengaibkan lawan serta menyerang peribadi lawan adalah sangat hina dalam budaya masyarakat yang bertamadun.

“Kami mengambil inisiatif ini dalam konteks mengharapkan pilihanraya ke-13 yang kini semakin panas agar semua calon mengambil daya usaha menjadikan pilihanraya ini sebagai proses demokrasi yang jernih, bersih dan penuh beradab,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Walaupun parti yang menentukan seorang itu dicalonkan untuk bertanding dalam PRU13 namun setiap calon bertanggungjawab langsung kepada rakyat apabila menampilkan diri untuk menang.

Lantaran itu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar setiap calon menginsafi betapa rakyat akan memberi tumpuan kepada tingkah laku, ucapan dan sikap yang ditunjukkan di sepanjang waktu kempen nanti.

Kami dengan itu memesan agar semua calon menunjukkan integriti yang tinggi ketika berkempen dengan menjauhkan diri dan mengawal jentera parti agar tidak menjalankan taktik kotor yang menegangkan suasana dan mencemari pilihanraya.

Mengguna kumpulan samseng, mengedar bahan lucah dan mengaibkan lawan serta menyerang peribadi lawan adalah sangat hina dalam budaya masyarakat yang bertamadun.

Kami mengambil inisiatif ini dalam konteks mengharapkan pilihanraya ke-13 yang kini semakin panas agar semua calon mengambil daya usaha menjadikan pilihanraya ini sebagai proses demokrasi yang jernih, bersih dan penuh beradab.

Kejadian menyerang markas parti lawan, mencederakan petugas parti, mengedar video lucah, merosakkan bendera parti lawan, menyalahguna premis awam ketika berkempen, mengganggu parti lawan ketika berceramah kini nampaknya sudahpun semakin berleluasa.

Kali ini ketika calon semua parti yang bertanding sudah diumumkan oleh parti masing-masing, adalah penting mereka segera berusaha agar jentera kempen setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh mereka mengamalkan disiplin dan adab yang tinggi ketika berkempen.

Para calon memikul tanggungjawab bukan sahaja menjaga imej parti masing-masing akan tetapi juga menjaga imej negara dan demokrasi serta keselamatan awam sepanjang pilihanraya ini berjalan.

Untuk itu kami menyarankan adalah paling wajar mengenengahkan hujah masing-masing dalam pentas debat secara sihat untuk mematangkan rakyat menikmati proses demokrasi yang bertamadun tinggi.

Adalah malang jika calon-calon menggunakan taktik kotor menyerang peribadi dan tidak menumpukan perhatian kepada isu-isu besar dalam urus tadbir negara. Sepatutnya isu-isu rakyat yang nyata dan polisi yang akan diutarakan menjadi bahan perbahasan anatara calon, bukan caci maki, memfitnah dan membuka aib lawan.

Calon harus mempunyai jiwa besar, minda yang jernih dan wawasan yang jauh untuk menarik sokongan pengundi.

Calon-calon hendaklah tidak berpura-pura dalam menampilkan diri ketika berkempen. Mereka sepatutnya benar-benar menunjukkan kesungguhan mereka menjadi bakal wakil rakyat yang jujur dan komited untuk membela rakyat jika menang nanti.

Kami mengingatkan bahawa wang rakyat yang diguna oleh SPR mencecah ratusan juta ringgit ketika mengendalikan PRU13 ini yang melibatkan juga peruntukan dari pelbagai agensi awam.

Ditambah  jutaan ringgit lagi diguna dalam proses kempen oleh parti yang bertanding yang melibatkan pelbagai kos yang diguna ketika berkempen.

Penggunaan wang mengikut had yang ditetapkan dalam peraturan SPR tidak pernah diikuti oleh parti yang memerintah selama ini kerana ia berselindung di sebalik program rasmi kerajaan. Pelbagai sogokan wang tunai di pelbagai acara sudah lama diamalkan, malangnya ia seolah dibenarkan tanpa apa-apa tindakan yang wajar.

Inilah masanya calon bersikap jujur untuk menghindari sebarang amalan politik wang kepada pengundi. Calon perlu mengambil inisiatif melarang jentera kempen mengguna taktik kotor dan mengingatkan agar tidak menjalankan sebarang pendekatan yang boleh mencemarkan kempen politik yang sihat.

Generasi muda yang kini sudah celik dan sangat mesra IT akan meneliti gelagat para calon dan bagaimana politik negara ini berjalan. Jika yang ditunjukkan ialah kegelojohan dalam berkempen dan agresif untuk menang dengan mengguna kaedah "matlamat menghalalkan cara", maka politik masa depan yang akan diwarisi oleh generasi muda akan malap.

harakahdaily/-

Hasrat berehat berakhir maut

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SERDANG – Kejam. Itulah situasi berlaku apabila seorang lelaki bukan sahaja ditembak dengan beberapa das tembakan, tetapi juga dikelar di bahagian leher sebelum mayatnya dibiarkan di depan sebuah kilang di Jalan 6/1 kawasan perindustrian Serdang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, P Raman, 34, dikatakan ke tebing sungai berkenaan untuk berehat bersama beberapa rakannya selepas menghadiri sebuah parti di tempat lain.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa yang baru dua minggu bekerja sebagai penghantar surat di Kajang, bersendirian ke tebing Sungai Kuyoh menaiki motosikal.
Menurutnya, mangsa dikatakan mahu berkumpul bersama rakan-rakannya untuk merehatkan diri, namun belum sempat dua lagi rakannya sampai, mangsa terlebih dahulu diserang suspek.

“Rakan mangsa yang tiba selepas itu, terkejut apabila mendapati dia terbaring di atas sofa depan sebuah kilang, lengkap berpakaian dalam keadaan darah masih mengalir di bahagian leher. Hasil pemeriksaan juga menemui lima kelongsong dan satu anak peluru,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan mangsa disahkan mati di tempat kejadian, malah suspek juga belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dengan kesan tikaman di leher dalam sebuah longkang berhampiran padang bola di Jalan Tiong 7, Bandar Puchong Jaya, kelmarin.

Abd Razak berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut, kelmarin dan pihaknya masih mengenal pasti motif kejadian.

Mangsa, Parhwine Lucia Mejia Kaur ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka kecil di tengah bahagian leher.

“Barangan peribadi mangsa ada di tepi padang berhampiran tempat mayat ditemui. Kes  disiasat di bawah Seskyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar/-

Lapan PDM Johol tutup operasi

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Lapan PDM Johol tutup operasi

Nuri antara lapan PDM yang ditutup sebagai tanda protes.
JOHOL – Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dun Johol, Mohd Fadzil Abu Kassim, 48, kelmarin mendapat bantahan hampir keseluruhan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Johol.
Sinar Harian difahamkan, lapan PDM tutup operasi, manakala dua PDM iaitu Dangi dan Inas beroperasi seperti biasa. Lapan PDM itu ialah, Malan Baru, Selaru, Kuala Johol, Padang Jual, Inas, Pekan Johol, Air Mawang, Nuri dan Kepis.

Lebih merumitkan keadaan, bilik gerakan kecil PDM Kepis bertempat di Kampung Sri Kepis ditutup dan bendera Umno dan BN diturun sebagai tanda protes di atas pengumuman tersebut.

Sebagai rekod, sebelum pengumuman calon BN seluruh Negeri Sembilan kelmarin, satu bantahan calon Dun Johol telah diadakan di PDM Air Mawang pada 10 April lalu selepas desas-desus menyatakan calon Dun Johol 'turun dari langit'.

Seramai 120 jentera PDM telah sebulat suara menentang calon berkenaan kerana tidak dikenali dan jarang berada di Johol meskipun calon berasal dari Kampung Simpang Air Mawang kerana tuntutan kerja.

Bagaimanapun, suara jentera PDM tidak mampu mempertahankan calon yang mereka kehendaki dan Mohd Fadzil diangkat sebagai calon Dun Johol menentang calon Pas, Nor Azman Mohamad.

Sinar/-

Rutin harian selamat mangsa

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Rutin harian selamat mangsa

Penduduk melihat api marak dalam kejadian kebakaran di Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/5.
TANJONG KARANG - Rutin harian menyiram bunga di hadapan rumah setiap petang menjadi penyelamat buat seorang warga emas, Taslim Nor, 62, daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di rumahnya di Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/5, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Taslim yang juga penghidap Parkinson, dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ketika kejadian, dia berada di luar rumah sebelum penduduk melaporkan kebakaran berpunca dari dalam rumah itu yang marak secara tiba-tiba.

Ketua Operasi, Pegawai Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Musa Masud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada jam 7.05 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Dua jentera dari Balai Bomba Tanjong Karang dan Sekinchan dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Keadaan api ketika itu sudah marak hingga memusnahkan keseluruhan rumah kelas C tersebut.

“Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran, namun punca dan kos kerugian termasuk sebuah kereta, masih dalam siasatan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Selangor, Mohd Zamri Kahar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa penduduk terbabit dan turut memberikan sumbangan kilat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

“Difahamkan, mangsa kebakaran kini ditempatkan sementara di rumah anaknya di Taman Desa Mawar,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri dan Lembaga Zakat Selangor turut tidak ketinggalan menziarahi mangsa dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Sinar/-


30 saja yang hadir majlis isytihar calon PAS Pahang?

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kerdau malam tadi)

KERDAU: Jikalau mengikut kaca mata media tradisional dan Rais Yatim, sambutan hangat majlis pengisytiharan calon PAS Pahang di Dataran Kerdau Pahang mungkin hanya 30 orang sahaja malam tadi.

Mungkin kerana masalah mengira inilah beliau tidak terpillih sebagai calon kali ini.


Harakahdaily tidak mampu mengira secara tepat berapa ramai yang hadir di Kerdau semalam, biar gambar sahaja bercerita.



(Tuan Ibrahim bersama calon-calon DUN PAS Pahang)

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam ucapannya memperkenal setiap calon PAS yang bertanding di DUN Pahang.

Setiap calon yang diperkenalkan tampil melambaikan tangan sambil diiringi laungan takbir yang kuat daripada para hadirin.

Ketika mengumumkan calon N29 DUN Jengka, yang ditandingi Tuan Ibrahim sendiri – para hadirin cukup terhibur dengan kesantaian beliau meninggalkan mikrofon, lalu melambaikan tangannya.

“Saya pun nak bergambar juga,” katanya dengan berseloroh disambut oleh gelak ketawa daripada para hadirin.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula diberi penghormatan untuk memperkenalkan calon parlimen PAS Pahang.

PAS Pahang bakal bertanding 6 daripada 14 kerusi parlimen dan 21 daripada 42 kerusi DUN negeri di PRU13 ini.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa para hadirin mulianya sifat jika memberi kepada yang perlu.

“Ada yang kita terpaksa korban. Dan ada yang kita dapat. Yang ada memberi, yang meminta janganlah tamak,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Tuan Ibrahim berkata seorang pemimpin yang baik kena sentiasa sedar keadaan pengikutnya di belakang.

“Tidak boleh terlalu cepat dan lambat. Lambat akan ada orang sepak kita. Cepat pula akan tertinggal pengikut,” tegurnya.


(Tuan Ibrahim bersama empat calon Parlimen PAS Pahang)

Mahfuz pula menyeru rakyat bersama PAS menolak kerajaan perkauman di negara ini. Beliau juga mempersendakan BN yang mendakwa PR menciplak manifesto mereka.

“Nak turunkan harga kereta? Mengapa letak dalam manifesto? Mengapa umum selepas bubar? Mengapa tak turun waktu jadi kerajaan? BR1M RM1,200 – yang RM500 tak habis bagi lagi, mengapa tak tambah RM700 lagi terus masa jadi kerajaan dulu?” soal beliau.

PRU13, katanya, adalah pilihanraya yang paling sengit dan beliau mengingatkan rakyat bahawa lebih banyak video seks pembangkang bakal didedahkan sebagai satu langkah taktik kotor untuk membunuh karektor pemimpin Pakatan Rakyat.

Majlis pengisytiharan majis yang dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Pahang Ustaz Suhaimi Saad berahkhir dengan ikrar baiah yang diketuai Tuan Ibrahim.


Manifesto Pakatan Rakyat peringkat Pahang turut dilancarkan malam semalam, di mana PR Pahang mengikut jejak Selangor untuk menawarkan bekalan air percuma untuk 20m3 yang pertama kepada warga Pahang.

Berikut adalah senarai calon PAS Pahang.

N.2 Jelai Abdul Karim Nor

P.79 Lipis: Mahyudin Ghazali
N.3 Padang Tengku: Roslan Zainal
N.8 Dong: Tengku Shah Amir Tengku Perang

P.81 Jerantut: Dr Hamzah Jaafar
N.9 Tahan: Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
N.11 Pulau Tawar: Yohanis Ahmad

N.12 Beserah: Andansura Rabu
N.15 Tanjung Lumpur: Rosli Abdul Jabar
N.16 Inderapura: Syed Anis Syed Husain

N.17 Sg. Lembing: Sulaiman Mohd Derus
N.19 Panching: Yusof Embong

N.20 Pulau Manis: Othman Bakar
N.21 Peramu Jaya: Abu Kassim Manaf

P.86 Maran: Mujiburrahman Ishak
N.24 Luit: Mohd Shahrul Nizam Abd Halif
N.26 Chenur: Hasenan Haron

P.87 Kuala Krau: Shahril Azman Abd Halim
N.28 Kerdau: Kamal Shaari
N.29 Jengka: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

P.88 Temerloh: Nasruddin Hassan
N.32 Kuala Semantan: Syed Hamid Syed Mohamad

N.36 Pelangai: Abd Hamid Bahatim
N.37 Guai: Musaniff Abd Rahman

P.91 Rompin: Nuridah Salleh
N.40 Bukit Ibam: Syukri Ahmad

N.42 Tioman: Mohd Fadzli Mohd Ramly


Harakahdaily/-

Aishah sudah sedia lawan Isa di Jempol

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Isa Samad dan Aishah

Isa Samad dan Aishah
SEREMBAN – Calon Pas kerusi Parlimen Jempol, Wan Aishah Wan Arifin menolak spekulasi yang mendakwa beliau akan menarik diri berikutan tidak sanggup berdepan dengan cabaran dalam dunia politik.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu, beliau memilih untuk bersama dalam dunia politik dan bersedia mengharungi apa jua keadaan.

“Kenapa saya nak undur diri, tiada sebab untuk saya tarik diri sedangkan saya baru sahaja diumumkan sebagai calon Pas di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya sedia dari segi mental dan fizikal, malah sanggup mengharungi cabaran  mendatang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tumpas pada PRU ini, sekali gus beri kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ceramah santai Pakatan Rakyat di Hotel Citykingdom, Taman AST, malam kelmarin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad yang akan menentangnya pada PRU ini, Wan Aishah berpendapat bahawa perkara tersebut tidak memeranjatkannya.

Katanya, pencalonan semula Mohd Isa di Jempol adalah sesuatu yang telah diramalkan pihaknya sejak dari awal dahulu.

“Saya hanya boleh cakap kita lihat sahaja, sama ada pengundi mahukan orang yang baru atau orang lama sebagai wakil rakyat mereka.

“Apa yang penting, saya akan lakukan yang terbaik dalam memastikan Parlimen Jempol jatuh ke tangan Pas,” katanya.

Sinar/-

Khalid Samad ingatkan pengundi tolak calon ‘perkauman’

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 18 April -- Khalid Abdul Samad malam tadi mengingatkan pengundi negeri Selangor supaya tidak memilih parti dan calon perkauman, serta menambah lawannya Datuk Zulkifli Noordin yang diumumkan sebagai calon di Shah Alam adalah seorang yang mengamalkan politik perkauman.
Khalid berkata para pengundi perlu menolak sebarang ideologi politik perkauman kerana ia hanya membawa kepada kebencian dan memecah belah rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Zul Noordin adalah Umno dan Umno pula adalah Zul Noordin... tuan-tuan jangan terpedaya, Umno boleh katakan calon mereka itu bebas dan bukan mewakili parti tersebut.
“Zul Noordin adalah seorang perkauman dan mewakili parti perkauman,” kata Khalid pada majlis kutipan dana anjuran DAP di Restoran Rashna, Klang.
Di samping itu, Khalid juga mengecam Zulkifli sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai adab kerana menghina penganut agama dan kaum lain di dalam negara sewenang-wenangnya.
“Rakyat harus menolak calon yang perkauman dan yang mengamalkan Islam ekstrem seperti Zulkifli ini.
“Umno tidak mementingkan kesatuan rakyat, sebaliknya hanya tahu mewujudkan kebencian,” katanya lagi.
Pengumuman Zulkifli sebagai calon di Shah Alam mengejutkan, tetapi BN tidak mempunyai pilihan selain menampilkan tokoh agama konservatif tersebut untuk merampas kerusi daripada penyandangnya Khalid (PAS) serta meletakkan ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga.
Zulkifli merupakan bekas ahli parlimen PKR di kerusi  Kulim-Bandar Baharu tetapi dipecat pada 2010 oleh jawatankuasa disiplin kerana perbezaan pandangan dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) dan kini beliau merupakan naib presiden NGO Perkasa.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Khalid mengalahkan calon dari BN, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin dengan majoriti sebanyak 9,314 undi.
Semalam S Vell Paari dari MIC mengatakan BN akan kalah di Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan Datuk Zulkifli Noordin di Shah Alam, dalam kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel.
Menurut pemimpin MIC itu, dengan meletakkan Zulkifli, BN berisiko untuk kehilangan undi India, yang beliau katakan akan menjadi faktor penentu di negeri seperti Selangor - kini diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).
Menurut SMS yang dihantar ke The Malaysian Insider dari sumber dalaman parti itu semalam, Vell mendesak Palanivel untuk menyampaikan kebimbangannya kepada Datuk Seri Najib Razak dan meminta tindakan dari pengerusi BN itu, memberi amaran “keadaan buruk” jika tiada tindakan diambil.
“Kepada Datuk Seri G Palanival, Zulkifli Noordin sebagai calon di Shah Alam adalah penghinaan kepada orang Hindu di Malaysia. Di mana-mana orang emosi mengenai perkara ini,” katanya dalam SMS tersebut yang turut dihantar kepada ahli jawatankuasa pusat MIC.
Anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu terdapat 15,000 pengundi India di Shah Alam, 31,000 di Kota Raja, 21,000 di Kapar dan 17,000 di Subang, kebanyakkannya menurut beliau marah dengan pemilihan Zulkifli oleh Najib.
Pilihan Raya 2013 akan berlangsung pada 5 Mei dan hari penamaan calon adalah pada 20 April menjadikan tempoh berkempen secara rasmi sepanjang 15 hari.
The Malaysian Insider/-

Bekas timbalan menteri kecewa, tanding Bebas di Tasek Gelugor

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bekas timbalan menteri kecewa, tanding Bebas di Tasek Gelugor

Dari kiri: Mustaffa yang bakal bertanding sebagai calon Bebas bagi Dun Telok Air Tawar; Azmi bakal calon Bebas Sungai Dua dan Adun Sungai Dua, Shariff (dua, kanan).
TASEK GELUGOR - Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar isytihar akan bertanding calon Bebas untuk merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum ini.

Beliau akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Shahbudin Yahya dan juga calon Pas, Datuk Seri Abdul Rahman Mydin yang juga seorang tokoh korporat terkenal.

Shariff membuat perisytiharan itu di hadapan kira-kira 2,000 penyokong yang berhimpun di pekarangan rumahnya di Pokok Machang, malam kelmarin.

Perhimpunan itu bertujuan menunjuk rasa kecewa dan simpati terhadap Shariff yang tidak dicalonkan oleh BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Shariff berkata, beliau buat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU12 setelah diminta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk beri laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang tamat perkhidmatan senator.

"Saya dijanjikan hanya untuk sementara, dan pada tahun ini, saya jangka akan dicalon semula, rupa-rupanya tidak," katanya.

Shariff berkata, beliau buat keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas bukan kerana kepentingan diri atau tidak sayang Umno.

Tujuannya, kata Shariff, pastikan kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang merupakan kubu BN, tidak jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya mahu selamatkan pengundi di kawasan ini, juga selamatkan BN sendiri yang letak calon tidak disukai ramai," katanya.

Selain beliau, turut sama isytihar akan bertanding sebagai calon Bebas ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Mustaffa Idros yang akan menentang calon BN, Datuk Jahara Hamid di kerusi Dun Telok Ayer Tawar.

Sementara itu, Pengerusi Perkasa Tasek Gelugor, Azmi Alang pula akan mencabar Mohamad Yusof Mohd Noor yang dicalonkan BN di kerusi Dun Sungai Dua.

Turut  hadir, bekas Adun Sungai Dua yang tidak dicalon semula, Datuk Jasmin Mohamad dan AJK Umno Bahagian Tasek Gelugor, Dr Mohd Rozi Yusoff.

Sinar/-

Senarai calon Pas dan PKR Kelantan

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BERIKUT senarai calon Pas dan PKR bagi 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 seperti yang diumum malam ini.   

Parlimen

P019.  Tumpat             : Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS)
P020.  Pengkalan Chepa       : Ezani Hussin (muka baharu)
P021.  Kota Baharu          : Datuk Takiyuddin Hassan
P022.  Pasir Mas          : Nik Abduh Nik Aziz (muka baharu)
P023.  Rantau Panjang     : Zailah Mohd Yusoff
P024.  Kubang Kerian      : Ahmad Baihaqi Atiqullah
P025.  Bachok             : Ahmad Marzukh Shaari
P026.  Ketereh             : Abdul Aziz Abdul Kadir (PKR)
P027.  Tanah Merah         : Nik Mahmood Nik Hassan (PKR)
P028.  Pasir Puteh         : Nik Mazian Nik Muhammad
P029.  Machang             : Wan Zawawi Wan Ismail (PKR)
P030.  Jeli                 : Afendi Muhammad
P031.  Kuala Krai         : Dr Muhammad Hatta Ramli
P032.  Gua Musang         : Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah     
 
Dewan Undangan Negeri

N01.  Pengkalan Kubor     : Shahrom Ibrahim (PKR)
N02.  Kelaboran             : Mohd Zaki Ibrahim
N03.  Pasir Pekan         : Datuk Ahmad Yacob
N04.  Wakaf Bharu         : Abdullah Mat Nawi
N05.  Kijang                 : Wan Ubaidah Omar
N06.  Chempaka             : Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
N07.  Panchor             : Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah
N08.  Tanjong Mas         : Wan Rohani Ibrahim
N09.  Kota Lama             : Datuk Anwar tan
N10.  Bunut Payong         : Dr Ramli Mamat (muka baharu)
N11.  Tendong             : Rozi Mamat (muka baharu)
N12.  Pengkalan Pasir     : Hanifah Ahmad
N13.  Chetok                 : Abdul Rahim Abdul Rahman
N14.  Meranti             : Datuk Nasuruddin Daud
N15.  Gual Periok         : Muhammad Awang
N16.  Bukit Tuku             : Rasul Muhammad (muka baharu)
N17.  Salor                 : Husam Musa
N18.  Pasir Tumboh        : Abdul Rahman Yunus (muka baharu)
N19.  Demit                 : Mumtaz Nawi (muka baharu)
N20.  Tawang                 : Hassan Mahmud
N21.  Perupok             : Ruzaimi Hussin (muka baharu)
N22.  Jelawat             : Abdul Aziz Fadli
N23.  Melor                 : Dr Yusman Yusuf (muka baharu)
N24.  Kadok                 : Azami Mohd Noor
N25.  Kok Lanas             : Nik Mahadi Nik Mahmud (muka baharu)
N26.  Bukit Panau            : Datuk Abdul Fattah Mahmud
N27.  Gual Ipoh             : Wan Yusof Wan Mustapha
N28.  Kemahang             : Mejar (B) Datuk Anizam Abdul Rahman
N29.  Selising             : Saiful Bahri Mohamad
N30.  Limbongan             : Mazlan Hasbullah (muka baharu)
N31.  Semerak             : Wan Hassan Wan Ibrahim
N32.  Gaal                 : Tuan Mazlan Tuan Mat (muka baharu)
N33.  Pulai Chondong         : Zulkifli Mamat
N34.  Temangan             : Fadhli Hassan
N35.  Kemuning             : Rosli Hassan (muka baharu)
N36.  Bukit Bunga         : Sufli Razak (muka baharu)
N37.  Air Lanas             : Abdullah Yaacob
N38.  Kuala Balah         : Ramlan Mat (muka baharu)
N39.  Mengkebang             : Abdul Latiff Abdul Rahman
N40.  Guchil                 : BELUM DIUMUM/ PKR
N41.  Manek Urai             : Fauzi Abdullah
N42.  Dabong                 : Ku Zaki Ku Hussin
N43.  Nenggiri             : Azihan Che Seman (muka baharu) (PKR)
N44.  Paloh                 : BELUM DIUMUM/ PKR
N45.  Galas                 : Abdullah Hussin
 
- Bernama

'Di mana slogan wanita disanjung?'

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


'Di mana slogan wanita disanjung?'

Aishah (kanan) bersama sebahagian daripada 40 ahli wanita yang hadir menghantar memorandum kepada MB semalam.
IPOH - Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar kecewa apabila Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim tidak dicalon bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Setiausaha Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Aishah Halid berkata, mereka terkejut apabila nama Kamilia tidak dicalon untuk mana-mana kerusi di Kuala Kangsar.

Menurutnya, mengikut heirarki, Kamilia turut menjawat jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar dan ia cukup untuk membuktikan beliau mampu memikul tanggungjawab.

“Kami berhasrat dan mahu beliau mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang ditinggalkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz.

“Di mana slogan wanita dipuji, disanjung? Semua itu tidak dihargai apabila kepimpinan terlepas pandang nama beliau (Kamilia). Kami mohon dipertimbangkan apa yang mereka katakan,” katanya.

Katanya, Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar menyokong semua calon Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini tetapi terkilan ketua mereka tidak dicalonkan.

Sinar/-

'50 tahun jadi kerajaan sudah tahap boleh nyanyuk'

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PUTRAJAYA: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN sudah diberi peluang lebih 50 tahun untuk mentadbir negara, namun peluang itu tidak digunakan dengan baik oleh parti itu.

Sebaliknya, peluang itu katanya digunakan untuk menindas rakyat dan pada masa sama mengambil kesempatan untuk mengkayakan segelintir kelompok mereka.

Rakyat katanya, boleh menilai beza pentadbiran 50 tahun BN dengan lima tahun di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat khsusnya Selangor, Kedah, Pulau Pinang.

Penilaian bukan sahaja boleh dilihat kepada bantuan dan isentif yang diberikan kepada rakyat, malah juga ketelusan dan integriti pengurusan sehingga mendapat pujian dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Lima puluh tahun (BN) tak tahu nak guna peluang, tak tahu nak buat perubahan, maka berlakulah apa berlaku hari ini.

"Lima puluh tahun bagi usia satu-satu kerajan sudah sampai pada taraf boleh nyanyuk, dan ini perlu dipulihkan," katanya sambil menyeru rakyat membuat perubahan.

Beliau berkata demikian pada ceramah Tawan Putrajaya 2013 di padang bola sepak di Desa Pinggiran Putra di sini malam tadi yang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 orang.

Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat perlu sedar dengan taktik umpanan yang sering dibuat parti pemerintah, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.

Pelbagai bantuan tersebut ujarnya bersifat sementara dan diumumkan semata-mata mahu mengaburi mata rakyat dari segala kepincangan pentadbiran yang berlaku supaya rakyat terus menyokong mereka.

"Kita diumpan dengan pelbagai umpan, disogok dengan pelbagai sogokan. Masa nak pilihan raya dia dinaikkan gaji, dinaikkan elaun, lepas pilihan raya dia naikkan harga barang, inflasi tidak terkawal. 

"Apa maknanya, menandakan mereka tidak boleh mengurus negara dengan baik," katanya lagi.

Sementara itu, ceramah Pakatan Rakyat di sini malam tadi adalah yang pertama selepas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa diisytihar sebagai calon PAS bertanding bagi kerusi Putrajaya.

Turut berucap pada ceramah ini termasuk Husam sendiri, calon PAS Sepang Hanipa Maidin serta calon Dengkil Borhan Aman Shah dari PKR.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dijadual hadir bagaimanapun diumumkan terpaksa membatalkan kehadirannya disaat akhir atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Mengulas kehadiran ramai malam tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata ianya mencerminkan semangat prubahan di kalangan rakyat dan beliau melahirkan keyakinan, bahawa tidak mustahil Putrajaya boleh dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

"Pada asalnya saya nak cakap sikit sahaja, bila tengok ramai ni naik semangat pulak.

"Dengan kehadiran ini saya yakin dan percaya, jumlah seramai ini mampu menggerakkan putrajaya," katanya.

Harakahdaily/-