18 April 2013

Kempen: Ingatlah pengundi masyarakat bertamadun

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua calon PRU13 menunjukkan integriti yang tinggi ketika berkempen dengan menjauhkan diri dan mengawal jentera parti agar tidak menjalankan taktik kotor yang menegangkan suasana dan mencemari pilihanraya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mengguna kumpulan samseng, mengedar bahan lucah dan mengaibkan lawan serta menyerang peribadi lawan adalah sangat hina dalam budaya masyarakat yang bertamadun.

“Kami mengambil inisiatif ini dalam konteks mengharapkan pilihanraya ke-13 yang kini semakin panas agar semua calon mengambil daya usaha menjadikan pilihanraya ini sebagai proses demokrasi yang jernih, bersih dan penuh beradab,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Walaupun parti yang menentukan seorang itu dicalonkan untuk bertanding dalam PRU13 namun setiap calon bertanggungjawab langsung kepada rakyat apabila menampilkan diri untuk menang.

Lantaran itu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar setiap calon menginsafi betapa rakyat akan memberi tumpuan kepada tingkah laku, ucapan dan sikap yang ditunjukkan di sepanjang waktu kempen nanti.

Kami dengan itu memesan agar semua calon menunjukkan integriti yang tinggi ketika berkempen dengan menjauhkan diri dan mengawal jentera parti agar tidak menjalankan taktik kotor yang menegangkan suasana dan mencemari pilihanraya.

Mengguna kumpulan samseng, mengedar bahan lucah dan mengaibkan lawan serta menyerang peribadi lawan adalah sangat hina dalam budaya masyarakat yang bertamadun.

Kami mengambil inisiatif ini dalam konteks mengharapkan pilihanraya ke-13 yang kini semakin panas agar semua calon mengambil daya usaha menjadikan pilihanraya ini sebagai proses demokrasi yang jernih, bersih dan penuh beradab.

Kejadian menyerang markas parti lawan, mencederakan petugas parti, mengedar video lucah, merosakkan bendera parti lawan, menyalahguna premis awam ketika berkempen, mengganggu parti lawan ketika berceramah kini nampaknya sudahpun semakin berleluasa.

Kali ini ketika calon semua parti yang bertanding sudah diumumkan oleh parti masing-masing, adalah penting mereka segera berusaha agar jentera kempen setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh mereka mengamalkan disiplin dan adab yang tinggi ketika berkempen.

Para calon memikul tanggungjawab bukan sahaja menjaga imej parti masing-masing akan tetapi juga menjaga imej negara dan demokrasi serta keselamatan awam sepanjang pilihanraya ini berjalan.

Untuk itu kami menyarankan adalah paling wajar mengenengahkan hujah masing-masing dalam pentas debat secara sihat untuk mematangkan rakyat menikmati proses demokrasi yang bertamadun tinggi.

Adalah malang jika calon-calon menggunakan taktik kotor menyerang peribadi dan tidak menumpukan perhatian kepada isu-isu besar dalam urus tadbir negara. Sepatutnya isu-isu rakyat yang nyata dan polisi yang akan diutarakan menjadi bahan perbahasan anatara calon, bukan caci maki, memfitnah dan membuka aib lawan.

Calon harus mempunyai jiwa besar, minda yang jernih dan wawasan yang jauh untuk menarik sokongan pengundi.

Calon-calon hendaklah tidak berpura-pura dalam menampilkan diri ketika berkempen. Mereka sepatutnya benar-benar menunjukkan kesungguhan mereka menjadi bakal wakil rakyat yang jujur dan komited untuk membela rakyat jika menang nanti.

Kami mengingatkan bahawa wang rakyat yang diguna oleh SPR mencecah ratusan juta ringgit ketika mengendalikan PRU13 ini yang melibatkan juga peruntukan dari pelbagai agensi awam.

Ditambah  jutaan ringgit lagi diguna dalam proses kempen oleh parti yang bertanding yang melibatkan pelbagai kos yang diguna ketika berkempen.

Penggunaan wang mengikut had yang ditetapkan dalam peraturan SPR tidak pernah diikuti oleh parti yang memerintah selama ini kerana ia berselindung di sebalik program rasmi kerajaan. Pelbagai sogokan wang tunai di pelbagai acara sudah lama diamalkan, malangnya ia seolah dibenarkan tanpa apa-apa tindakan yang wajar.

Inilah masanya calon bersikap jujur untuk menghindari sebarang amalan politik wang kepada pengundi. Calon perlu mengambil inisiatif melarang jentera kempen mengguna taktik kotor dan mengingatkan agar tidak menjalankan sebarang pendekatan yang boleh mencemarkan kempen politik yang sihat.

Generasi muda yang kini sudah celik dan sangat mesra IT akan meneliti gelagat para calon dan bagaimana politik negara ini berjalan. Jika yang ditunjukkan ialah kegelojohan dalam berkempen dan agresif untuk menang dengan mengguna kaedah "matlamat menghalalkan cara", maka politik masa depan yang akan diwarisi oleh generasi muda akan malap.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: