18 April 2013

Musma bantah paksa pelajar tengok Tanda Putera

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Mahasiswa UiTM Sayang Malaysia (Musma) mempersoal kewajaran pihak pengurusan kampus UiTM Johor yang sanggup membatalkan kuliah pengajian dan mewajibkan pelajarnya menonton filem kontroversi Tanda Putera.

Pengerusinya Mohd Huzaifah Mokhtar berkata, seharusnya beberapa pertimbangan perlu dibuat pihak pengurusan universiti sebelum mengambil tindakan sedemikian kerana ia dilihat seperti satu langkah yang sangat terdesak.

"Seperti kita maklum, filem ini telah digantung penayangannya atas faktor perjalanan ceritanya yang boleh membangkitkan sentimen perkauman antara kaum yang ada di Malaysia ini. 

"Bagaimana filem yang digantung penayangannya seluruh negara, tetapi terlepas dan ditayangkan di universiti? Ia menjadi persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkenaan malah perlu ada tindakan sewajarnya atas perkara ini," katnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, mahasiswa sepatutnya dihidangkan dengan perbincangan politik yang lebih matang dan bukan dengan filem bersifat perkauman yang cuba merendah-rendahkan tahap pemikiran mereka.

"Kami tidak menolak politik untuk masuk ke kampus. Tetapi apa yang kami mahukan adalah politik yang matang, seimbang, bermaklumat dan adil.

"Hidangkanlah kami dengan perbincangan-perbincangan bernas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik kerana mahasiswa sudah cukup matang untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk demi negara ini," jelasnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: