18 April 2013

Tapak Pelupusan Sanitari Mencemar Air Sungai Di Sibuti

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

SIBUTI – Sebuah projek pelupusan sampah di Bekenu di sini yang masih
belum siap sepenuhnya telah mengganggu kehidupan penduduk kampung di
sekitar kawasan tersebut. Sepatutnya projek Tapak Pelupusan Sanitari
Sibuti itu siap pada 18 Disember 2012 tetapi sehingga kini ianya masih
sekitar 60% - 70% dalam kemajuan.

Sistem perawatan air sampah (leached) sudah tidak beroperasi lagi dan
air sisa sampah dilepaskan ke sungai yang berdekatan menyebabkan
penduduk Kg Subak di hilir tapak projek itu terpaksa menanggung derita
akibat air sungai yang tercemar.

Kata salah seorang dari penduduk kampung, Asit bin Hj Ahmad “Apabila
air sampah itu dilepaskan, air sungai Nibong yang melalui Kg Subak
akan menjadi hitam dan berbau busuk. Kawasan sekitar kampung akan
mengalami bau busuk yang amat dahsyat.”

Sebelum adanya projek pelupusan sampah wujud, air sungai Nibong sangat
jernih dan bersih. Penduduk kampung bergantung kepada air sungai untuk
mandi dan mencuci pakaian dan sebagainya. Ikan dan udang banyak
terdapat dalam sungai yang tidak tercemar. Kalau dulu mereka mandi
dalam sungai ini dengan selesa tetapi sekarang untuk meletak kaki pun
rasa takut.

Air sungai sudah kotor dan tercemar.  Anggota badan akan menjadi
gatal-gatal kalau mandi menggunakan air sungai tersebut kata Asit.
Taraf kesihatan penduduk kampung terjejas akibat Tapak Pelupusan
Sanitari Sibuti yang mencemar air sungai yang berdekatan.

Selain masalah pelupusan sampah, jalanraya rosak juga adalah masalah
utama yang dihadapi oleh penduduk kampung tersebut.  Salah seorang
penduduk kampung yang dikenali sebagai Dapor pernah mengadu kepada
wakil rakyat dalam kawasan tersebut tetapi ianya tidak menepati janji
untuk memperbaiki jalan masuk ke dalam kampung mereka. Jalan yang
sempit dan rosak menyukarkan pengerakan mereka terutama sekali waktu
musim hujan.

Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini oleh penduduk kampung,
tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang
berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut.

Kita mengesa pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan agar segera
mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk tersebut, jangan biarkan
kehidupan penduduk kampung tercemar dan kesihatan mereka terjejas
akibat pencermaran yang berpanjangan.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan amat dihargai, semoga masalah
ini dapat diatasi dengan segera oleh pihak yang berkenaan.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: