18 April 2013

Calon PAS setuju dialog hala tuju Kampung Baru

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Calon PAS Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bersedia untuk berdialog dengan calon BN, Datuk Johari Abdul Ghani berkaitan hala tuju Kampung Baru.

Beliau menyambut baik tindakan kumpulan Task Force Kampung Baru untuk menganjurkan dialog dan perbincangan terbuka antara penduduk Kampung Baru dengan calon kedua-dua parti.

"Saya menyahut cabaran Task Force Kampung Baru yang mahu melihat saya dan Datuk Johari duduk sepentas membincangkann isu tanah Kampung Baru," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Pengerusi Task Force Kampung Baru, Yusof Yahya berkata, Himpunan Penduduk Kampung Baru itu akan diadakan di kawasan parkir Surau Khatib Koyan, Kampung Baru pada 28 April ini.

Zamri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan turut berharap Johari akan memenuhi undangan tersebut agar penduduk dapat mendengar sendiri jaminan yang diberikan kedua-dua pihak.

"Saya harap lawan saya Datuk Johari sanggup menerima cabaran ini untuk kami berdialog selepas mendengar luahan dan persoalan penduduk yang merupakan pemilik dan pewaris Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, sebelum ini beliau sendiri pernah mengajak Johari berdialog mengenai isu tanah Kampung Baru namun tidak diterima.

"Dalam ceramah saya sebelum ini, sudah tiga kali saya mengajak Datuk Johari berdialog atau berdebat isu Kapung Baru tapi tidak pernah dipersetujui," katanya yang juga Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat.

Task force Kampung Baru ditubuhkan pada Februari lepas bertujuan membela nasib pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Ahli task force ini terdiri daripada anak-anak jati Kampung Baru dan ditubuhkan dengan sentimen semangat mahu memastikan setiap pemilik dan pewaris KampungBaru diberikan hak sebagai pemilik tanah asal.

Pada 2011, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Bharu 2011 (RUU PPKB) diluluskan oleh Dewan Negara walaupun mendapat tentangan daripada pewarisa dan pemilik tanah tersebut.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: