01 September 2009

Arak Ibu Segala Maksiat

Email Oleh :newsforwarder®™
Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1. الخمر أم الخبائث
Khamar [ arak ] itu adalah ibu segala kejahatan

Riwayat At tabarani

Beza antara manusia dengan binatang ialah aqal . Kerana aqal manusia ditaklifkan dengan tanggungjawab pengabdian diri kepada Allah swt . Aqal jua meletakkan manusia waras bertindak dan merencana . Justeru itu , demi meletakkan manusia dalam kewarasan maka Islam mengharamkan arak dan segala perkara yang memabukkan

2. Pengharaman arak adalah bersifat ijma' dan qatei . Sabit dalil dari nas al quran [ surah al Maaidah : Ayat 90 - 91 ] sementara nas daripada hadis Nabi saw , antaranya ialah :

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya adalah haram.

Riwayat Ahmad , Abu Dawud , At Tarmizi , Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

ثلاثة قد حرم الله عليهم الجنة مدمن الخمر و العاق و الديوث الذي يقر الخبث في أهله

Tiga golongan orang yang telah diharamkan Allah memasuki syurga : iaitu penagih arak , orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya .

Riwayat Ahmad , al Haakim dan al Baihaqi

لعن النبي صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرة عاصرها و معتصرها و شاربها و حاملها
و المحمولة إليه وساقيها و بائعها و أكل ثمنها و المشترى لها و المشترى له

di riwayatkan dari Anas rha bahawa rasulullah saw bersabda : [ dalam hal arak ini ada sepuluh orang yang dilaknat oleh Allah swt : pembuatnya , pengedarnya , peminumnya , pembawanya , pengirimnya , penuangnya , penjualnya , pemakan wang hasilnya , pembayar dan pemesannya .]

Riwayat Ibnu Majah dan at Tarmizi

3. Hukuman atas pesalah arak .

Tiada khilaf dikalangan ulama' menegenai bentuk hukuman iaitu rotan atau sebatan yang wajib dijatuhkan ke atas mereka yang bersalah meminum arak , cuma yang di perselisihkan dikalangan ulama' ialah jumlah sebatan .

4. Asy Syafie berpendapat jumlah sebatan ialah 40 kali . Pendapat ini berdasarkan kepada hadis nabi yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Saidina Ali karramallahuwajhah merotan al walid bin Uqbah sebanyak 40 kali sebatan kemudian beliau [ Ali rha ] berkata :

جلد رسول الله صلى الله عليه وسلم أربعين و أبو بكر أربعين و عمر ثمانين و كل سنة و هذا أحب إلي

Rasulullah saw telah merotan 40 kali rotan , Abu Bakar merotan 40 kali dan Umar merotan 80 kali , semuanya berdasarkan sunnah dan saya lebih menyukai ini [ 40 kali rotan ]

Riwayat Imam Muslim

Hukuman 40 kali terhadap peminum arak ini disetujui oleh Dawud az Zahiri dan Abu Thaur . Sementara Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya , Imam Malik , al Laith , ahlil Bait dan satu pendapat lain dari Asy Syafie menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan . Mereka mengatakan hukuman 80 rotan adalah suatu yang telah diijma' oleh para sahabat rhm berdasarkan hadis Anas rha.

Telah dibawa kepada Rasulullah saw seorang peminum arak , maka rasulullah saw memukulnya dengan sandalnya [ selipar ] sebanyak lebih kurang 40 kali kemudian Abu Bakar dibawa kepada peminum arak , maka beliau berbuat seperti itu juga . Kemudian dibawa peminum arak kepada Umar , lalu beliau bermesyuarat mengenai hukuman had ini . Ibn Auf [ Abdur Rahman ] berkata : sekurang - kurang hukum hudud ialah 80 kali pukulan , maka Umar memukul peminum arak tadi 80 kali pukulan .

Riwayat Ahmad , Muslim , Abu Dawud dan At tarmizi

5. Alat untuk Merotan

Tidak sabit dalam dari Rasulullah saw bahawa baginda menetapkan alat - alat tertentu untuk memukul peminum Arak . kadang - kadang baginda memukul dengan selipar , kadang - kadang dengan pelepah tamar , kadang - kadang dengan rotan dan pelepah tamar , kadang - kadang dengan tangan dan selipar seperti di riwayat berikut .

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم جلد في الخمر بالجريد و النعال و جلد أبو بكر أربعين

Bahawa rasulullah saw memukul dalam hukuman meminum Arak dengan pelepah tamar dan selipar dan Abu Bakar memukul 40 pukulan .

Muttafaqun Alaih

Abu Said berkata : Pada zaman rasulullah saw , hukuman meminum arak dipukul 40 kali dengan dua selipar maka pada zaman Umar beliau menggunakan cemeti sebagai ganti tiap - tiap satu selipar.

Riwayat : Ahmad

6. Tindakan merotan sekuat - kuat dengan menggunakan rotan yang besar dan mencederakan dengan satu kecederaan yang parah adalah suatu yang bercanggah dengan kaedah sebatan dalam Islam .

7. Justeru itu ada 2 perkara yang perlu dilihat semula , pertama berkait dengan jumlah sebatan dan kedua ialah cara sebatan .

8. Walaupun Islam meletakkan meletakkan jumlah yang besar iaitu 40 hingga 80 , ia tidaklah membawa kecederaan sebagaimana hanya 6 sebatan mengikut undang - undang manusia di mahkamah sivil .[ rujuk gambar ]

9. Saya dapat satu info dari sahabat dengan membawa satu frasa yang menarik :

Islam kata , orang Islam yang didapati bersalah minum arak harus dirotan mengikut syariat Islam . Rotan tidak menyiksa tetapi untuk pengajaran . Sementara saintis bukan Islam pula kata merotan boleh merawat mereka yang ketagih arak .

Dr Marina Chuhrova [ saintis Rusia ] menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini . Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka kaedah ini tetapi apabila mereka merasai kebaikannya , mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini [ rotan ] . Malah mereka sanggup pula membayar sekitar RM 400 untuk satu sessi rawatan .

10. ...... Biologist Dr Sergei Speransky who led the research claims corporal punishment , similar to that doled out regularly in British Schools in the last century , helps people overcome addiction and depression. He confirms he is not a sadist even though he recommend caning and says the treatment work . A standard treatment course entails 30 sessions with 60 of the best .

....... The Russian team says they are now charging for caning sessions and are getting over U.S $ 100 per patient for a standard treatment .






1 MALAYSIA :RETORIK MENYATUKAN RAKYAT, TETAPI BN SENDIRI SEMAKIN BERPECAH – PJ PAS PERAK

Oleh : mohd hafez sabri

1 Malaysia adalah istilah yang digunapakai oleh Perdana Menteri hari ini. Sudah pasti ia akan terus berubah apabila berubahnya perdana menteri. Tetapi, apa yang dilihat hari ini, rancangan untuk menyatukan rakyat pelbagai bangsa ini, gagal dilaksanakan di peringkat dalaman BN itu sendiri. Sesama pimpinan BN sendiri sudah berpecah sesama sendiri.

Mengulas tentang hal ini, Ustaz Abu Bakar Hussain, Pesuruhjaya PAS Perak berkata, “BN mengajak kita supaya bersatu, tetapi mereka sendiri berpecah sesama mereka”.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan bahawa kesatuan dan perpaduan yang didakwa oleh BN hanyala retorik semata-mata. BN hanya pandai berkata dan berteori, tetapi mereka sendiri bertentangan dengan teori yang mereka bawa. Contohnya apa yang terjadi di kalangan pimpinan BN sendiri.

Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Yahudi di Madinah pada mulanya tinggal dalam keadaan berpuak-puak. Demikian juga apa yang diamalkan oleh orang Musyrikin Mekah. Mereka hidup berpuak-puak, dan berperang sesama mereka dan kerap berlaku persengketaan sesama mereka.

“Walaupun mereka itu Yahudi, mereka tetap mempunyai suku-suku tertentu. Begitu juga Kaum Musyrikin Mekah. Mereka kesemuanya berbangsa Arab, tetapi masih lagi mengamalkan puak”, katanya.

Beliau berkata lagi, walaupun mereka itu hidup berpuak dan berperang sesama mereka, namun mereka bersatu apabila menentang Islam. Contohnya ketika usaha pembunuhan Nabi Muhammad SAW. Seramai 10 wakil daripada pelbagai puak dipanggil untuk melaksanakan usaha membunuh Nabi SAW. Mereka sanggup bersatu untuk menghapuskan Islam, walaupun pada mulanya mereka bergaduh sesama mereka.

Demikian juga Yahudi di Madinah. Walaupun mereka hidup berpuak, tetapi mereka bersatu menentang Nabi Muhammad SAW ketika Perang Ahzab. Mereka berpecah sesama mereka, tetapi bersatu apabila cuba menjatuhkan Islam.

Beliau berkata lagi, hari ini kita perlu melihat bahawa di sana terdapat iktibar yang perlu diperhatikan. Saya tidak kata UMNO itu Yahudi atau Musyrikin Mekah, tetapi kesatuan yang dicanang oleh BN hari ini, adalah bertujuan menolak Islam terlaksana di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka sendiri bertelagah sesama sendiri.

Perpecahan yang terjadi di dalam BN semakin membarah hari ini. Tetapi apabila mereka cuba untuk menafikan kedudukan Islam di Malaysia, mereka boleh bersatu. Hari ini kita melihat bahawa perkara ini semakin terserlah. Kerajaan memperjuangkan 1 Malaysia, akan tetapi sesama pimpinan BN sendiri tidak sekepala. Mereka mengatakan PKR, DAP dan PAS mempunyai kepentingan masing-masing, sedangkan MCA, MIC dan UMNO sendiri yang berbuat demikian.

Beliau berkata lagi, memang benar, 1 Malaysia hari ini hanyalah retorik semata-mata, tidak lebih melainkan teori yang dicipta oleh PM semata-mata. Sedangkan sesama pimpinan mereka sendiri berpecah dan memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Selain itu, BN sering mendakwa bahawa PR semakin berpecah, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa PR hanya memperjuangkan kepentingan semata-mata, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka. Mereka memfitnah PR itu dan ini, sedangkan fitnah itu terpalit semula ke muka mereka sendiri.

Beliau memperingatkan bahawa Allah SWT Maha Adil. Kalau manusia hari ini menafikan keadilan Islam, maka mereka dipersilakan untuk mempersembahkan sebuah sistem yang lebih adil daripada Islam. Kalau mereka cuba mereka-reka fitnah, maka tunggulah fitnah yang lebih besar yang akan terpalit ke muka mereka semula. Kalau mereka cuba memecahbelahkan rakyat hari ini dengan perjuangan mereka, maka hari ini kita melihat mereka sendiri semakin berpecah.

Ramadan dan penghayatan al-Quran

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Tahun lalu, saya pernah menulis satu bingkisan bertajuk Orang Yaman tidak lekang daripada Al-Quran (Harakah-Fikrah, 12-14 Ramadan 1429H, m/s F14). Ramai yang memberikan respon positif dan melahirkan rasa sukacita sekiranya suasana yang sama boleh dihidupkan di tanah air kita.

Hari pertama Ramadan ini, saya berjalan kaki pulang dari kelas pengajian al-Quran. Seperti yang saya jangkakan, begitu ramai orang yang membaca al-Quran di mana-mana sahaja. Sempat juga saya merakam gambar seorang penjual stoking sedang membaca al-Quran di kaki lima jalan.

Di sini bukan suatu yang pelik jika anda melihat peniaga jalanan, penjaga kedai buku, pengawal keselamatan, doktor, guru sekolah, malah sesiapa sahaja sama ada tua atau muda, kecil atau dewasa, mereka akan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan lebih hebat berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Hal ini secara umumnya, kerana mereka adalah masyarakat yang begitu menghayati agama. Mereka memahami firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterang an mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)

Setiap kali menyambut bulan Ramadan, mereka diperingatkan dengan begitu banyak riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran. Para ulama dan pendakwah akan selalu menyeru dan memberikan galakan agar masyarakat di Yaman memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurut satu riwayat daripada Ibnu Abbas r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadan ketika mana Jibril a.s menemuinya. Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w) pada setiap malam di bulan Ramadan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibril, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril a.s. Pada setiap tahun, baginda s.a.w mengulangkaji (muraja’ah) ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya.

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah s.a.w memperdengarkan al-Quran kepada Jibril a.s sebanyak dua kali khatam. Berdasarkan ini juga, para ulama berpendapat bahawa mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini adalah sunat bagi setiap muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadan dengan sekali khatam atau pun lebih. Menurut riwayat Imam al-Tirmizi dan Ahmad bin Hanbal r.h, adalah sunat mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik r.h meriwayatkan dalam al-Muwatta’, bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan al-Quran seminggu sekali.

Imam Malik r.h sendiri apabila memasuki bulan Ramadan, beliau meninggalkan bacaan hadis sama ada untuk mengajar atau pun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Begitulah juga para ulama dari kalangan salaf as-solihin. Ada di kalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada 10 malam akhir Ramadan, mereka mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.

Namun bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu yang menjadi keutamaan. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan nabi s.a.w agar membacanya secara tartil iaitu dengan bacaan yang tertib dan perlahan-lahan.

Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran mendapat pelajaran.” (Shad: 29). FirmanNya lagi (bermaksud), “..dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.” (al-Muzammil: 4)

Seperti yang pernah saya persoalkan, di sebalik semua anjuran dan galakan ini, mengapakah masyarakat di negara kita agak kurang menghayatinya. Seingat saya, amalan bertadarus di masjid-masjid negara kita hanya dilakukan oleh golongan tua. Itu pun dengan penyertaan yang agak terhad. Jika ada pun golongan muda, hanyalah golongan pelajar tahfiz atau imam masjid.

Apabila memerhatikan masyarakat Yaman yang membaca al-Quran daripada segala lapisan umur dan kedudukan, saya dapat simpulkan di antara sebab utama yang membantunya ialah pengajian al-Quran begitu meluas di sini.

Rata-rata orang di sini mampu membaca al-Quran. Guru-guru al-Quran juga ramai dan mereka mengajar secara percuma di masjid-masjid. Kanak-kanak mereka telah dididik dengan al-Quran semenjak kecil. Mereka menghafalnya sekurang-kurangnya 2-3 juzuk.

Secara jujurnya, masyarakat di negara kita sangat kurang yang mampu membaca al-Quran dengan baik. Kerana itu, jika ketiadaan imam di mana-mana masjid atau surau, para jemaah sudah mula gelisah. Sambil meninjau ke kiri dan ke kanan, orang-orang yang berimej ‘lebai’ atau ‘haji’ juga berpeluh jika ditakdirkan mereka harus ke depan.

Apatah lagi jika dikeluarkan statisik golongan buta al-Quran di kalangan para pelajar peringkat sekolah menengah. Maka inilah yang menjadi penyebab utama mengapa suasana Ramadan di negara kita amat sepi daripada bacaan al-Quran. Ini bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan yang lain.

Saya suka mengingatkan bahawa apabila satu masyarakat ini jauh daripada al-Quran, maka banyaklah anasir-anasir luar yang akan mempengaruhi pemikiran, ideologi, akhlak dan keperibadian generasi mudanya (dan yang tua juga).

Kerana itu keruntuhan moral dan pelanggaran batas-batas kehidupan banyak berkait dengan hubungan masyarakat itu dengan kitab Allah yang merupakan petunjuk dan pembeza di antara perkara yang hak dan batil.

Bagi melahirkan umat yang membaca dan mentadabbur al-Quran, golongan yang berpendidikan agama perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak muslimin dengan al-Quran.

Penyakit yang melanda guru-guru al-Quran ialah terlalu berkira soal wang dalam mengajar kitab suci itu. Saya pernah mendengar betapa ramai ustaz dan ustazah yang menetapkan harga tertentu (dan lumayan) untuk mengajar al-Quran. Malah ilmu agama juga sudah boleh dijual beli secara pakej .

Sebenarnya masih ramai yang berminat untuk mempelajari al-Quran akan tetapi hasrat mereka terbantut apabila pengajian al-Quran sudah dikomersialkan sebagaimana pengajian sains dan matematik di kelas-kelas tuisyen dan intensif.

Saya sangat yakin keikhlasan adalah asas dalam dakwah kita untuk menyuburkan jiwa umat ini agar hidup dengan petunjuk Allah Ta'ala.

Perhatikan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang menjelaskan kaedah para nabi a.s ketika menyampaikan petunjuk Allah. Firman Allah Ta'ala (bermaksud): "..Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya." (Al-An'am: 90)

Firman Allah Ta'ala lagi (bermaksud): "Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk". (Yaa Siin: 21)

Harga Minyak Naik Berkuatkuasa Tengah Malam Ini..???

Oleh : Topeng Perak® Unmasked

Harga bagi minyak jenis RON95 dan RON97 dijangka naik berkuat kuasa tengah malam ini.

Minyak jenis RON95 dijangka dinaikkan 5 sen iaitu daripada RM1.75 seliter kepada RM1.80 seliter.

Sementara itu, RON97 pula akan dinaikkan daripada RM1.80 kini kepada RM2.00.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan kenaikan itu pada petang ini.


Bacalah sahabatku, jika kamu berpuasa..

Oleh :

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi) .

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharudd in.net/

Adun Lunas didesak letak jawatan

PADANG SERAI, 31 Ogos: Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas.

Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut.

Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.

"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.

"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.

Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.

"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.

"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.

"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."

Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.

Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah.

HarakahDaily.Net/-

Merdeka Itu Apa?

Oleh : Mohamed Fudzail

Aroma membusuk mencerna kesedaran
sejarah hitam dari topengan realiti
menghiasi bayangan imej-imej
babak-babak sandiwara nasional
jenuh kitar semula mewarnai suasana
setiap ogos merayakan simbol-simbol
sebagai perlambangan superfisial
sebuah negara bertuah yang tiba-tiba
menganjak ke belakang
dibawah demokrasi caca-merba

Terperangkap anak-anak generasi
menilai persaingan kehidupan
dari bawah tempurung kebangsaan
janji-janji lapuk pembangunan
serendah moral komersial
apabila kepimpinan rendah akhlak
terus bobrok dengan kuasa
demi survival politik
dan ketuanan elit
yang rakus dan haloba
membuncitkan kekayaan haram

Tanyakan pada tugu dan pusara
pahlawan silam tanpa nama
merdeka itu apa?
Apakah sekadar ulangtahun
perarakan satu pesta pembaziran
untuk terus diperbodohkan
demi 1Malaysia?

Fudzail
30 Ogos 2009
Dubai, UAE

Dari Masjidil Haram, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Merdeka

Kami seluruh warga pejabat ADUN Titi Serong dan Blog Cina Islam dengan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, negara yang kita cintai.

Sambutan Hari Kemerdekaan bagi seorang penganut Islam dan perjuangan Islam ternyata lebih bermakna dan bererti apabila pada hari ini kita menilai segala amal masing-masing sejauh mana telah merdeka dari unsur syirik dan kufur kepada Allah SWT.

Tiada guna walau pun ribuan kali kita menyambut berbagai perayaan termasuk Hari Kemerdekaan Negara sedangkan sebahagian besar hidup kita masih dibelenggu oleh hawa nafsu dan syaitan yang menggoda.

Justeru itu saya berseru kepada diri ini dan semua supaya meningkatkan kefahaman yang jitu kepada Islam. Merdekakan diri dari pelbagai fahaman karut. Marilah kembali kepada rujukan sebenar iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasul Mulia.

Semoga kedatangan Hari Besar begini membawa makna besar kepada kita. Khusus kepada rakyat Perak diharapkan sinar Kemerdekaan muncul dalam waktu yang dekat bila Dun Perak dibubarkan sebagai memenuhi hasrat yang selama ini kita sama-sama perjuangkan.


YB Drs. Khalil Idham Lim
Mekah

Ramadan tuntut ummah bermuhasabah, beramal

Email Oleh : mohd naim mohd zain
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


SETIAP Muslim perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat. sebelum ditakdirkan bertemu Allah bila-bila masa saja.

KEHADIRAN Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah persediaan serta amalan sebelum, ketika dan selepas Ramadan.

Muhasabah penting kerana Ramadan hanya setahun sekali, tambahan pula apakah kita yakin terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah Ramadan kali ini kita melaksanakan yang terbaik sebelum ditakdirkan bertemu Allah pada bila-bila masa saja. Muslim yang bijaksana juga memanfaatkan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa dan beribadat sunat.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan ialah terhadap jasmani dan rohani kerana ibadat sepanjang Ramadan berkait dengan amalan zahir dan batin. Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.

Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan Mukmin bertakwa tidak melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini untuk melipatgandakan amalan termasuk puasa sunat sebagai persediaan menghadapi penghulu segala bulan, Ramadan. Rasulullah berdoa setiap datang Rejab bermaksud: "Ya Allah! Berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan."

Begitulah amalan orang Mukmin bertakwa dan beristiqamah mempersiapkan diri sama ada fizikal dan rohani. Mereka membersihkan diri dan hati sebelum menyambut Ramadan yang agung agar ia bersedia menerima cahaya, rahmat dan kurnia Allah yang tidak terhingga pada bulan penuh rahmat.

Ahli hikmat berkata: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun segala dosa dan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar untuk mendekatkan diri kepada Allah."


Muslim juga dituntut mengulang kaji persoalan mengenai puasa seperti rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmahnya. Kesempurnaan puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung pada cara pelaksanaan ibadat berdasarkan sunah atau tidak. Mengetahui cara melakukan puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

Muslim diwajibkan mengekang diri daripada kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama ibadah ini ialah menahan diri daripada nafsu duniawi kecil atau besar dan nikmat jasmani (makan, minum dan seks) atau penyakit rohani (mengumpat, dengki dan sombong).

Muslim harus memperbanyakkan amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf. Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Tawaran istimewa Allah sediakan pada Ramadan wajar menjadi perangsang Muslim merebut ganjaran yang tiada pada bulan lain.

Ibadat puasa tidak patut menjadi penghalang melakukan kerja seharian ikhlas kerana Allah yang dianggap sebagai ibadat.

Ibadat diberikan Allah ganjaran berganda. Mengapa perlu disia-siakan detik berharga sepanjang Ramadan dengan tidur dan bermalas. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah janjikan sepanjang Ramadan.

Selamatkan beras negara, tarik AP Bernas- Mahfuz

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Kerajaan Malaysia digesa menarik balik Permit Import (AP) PADIBERAS Nasional Bhd. (Bernas) bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Pemberian AP kepada Bernas telah menyebabkan syarikat itu berkuasa melambakkan beras negara luar sekaligus mengancam pasaran beras tempatan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar berkata, Bernas sebuah syarikat perniagaan yang mengamalkan dasar monopoli yang seratus peratus mementingkan keuntunggan berbanding menjaga makanan utama rakyat di negara ini.

"Kerajaan perlu tarik balik permit import yang telah diberikan kepada Bernas. Mana boleh bagi kepada syarikat monopoli. Dasar monopoli hanya mementingkan keuntungan syarikat dan mana mungkin mereka akan menjaga kepentingan pengguna. Ianya sangat bahaya kepada keselamatan makanan negara," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Salah guna kebenaran eksport beras katanya sering berlaku contohnya di Sarawak pada satu ketika dahulu apabila sejumlah beras luar dibawa masuk kedalam negara tanpa AP dan ditahan oleh Kastam Diraja Malaysia. Kastam bagaimanapun membenarkan ia dibawa masuk selepas berlaku perundingan dengan kerajaan Malaysia.

"Di Sarawak contohnya, beras dibawa masuk tanpa permit ditahan Kastam, tapi kerajaan benarkan lepas berunding dengan Bernas. Maknanya bernas ada kuasa, boleh buat apa sahaja sebab mereka tahu kerajaan mesti akan benarkan mereka. Jadi bagaimana dengan nasib beras tempatan kita?," tegasnya.

Selain membatalkan AP, beliau juga mendesak kerajaan menarik balik kuasa Bernas menyimpan bekalan kecemasan. Menurut Mahfuz, Bernas tidak akan menyimpan stok kecemasan beras pada tempoh yang lama kerana tindakan itu akan merugikan mereka.

Sedangkan penyimpanan stok kecemasan penting bagi menjamin bekalan beras negara mencukupi untuk satu satu tempoh tertentu apabila dilanda masalah kekurangan beras dunia.

"Saya cabar beberapa kali di parlimen, mintak menteri berkaitan dedahkan berapa buah gudang yang menyimpan stok kecemasan. Saya mintak dia dedahkan di mana, tapi tak berani tunjuk sebab memang satu pun tidak ada gudang simpan stok kecemasan. Jadi bagaimana kita nak kata Bernas boleh jamin masa depan keselamatan makanan negara?," soalnya pula.

Sebelum ini Bernas dibidas kerana tindakan mereka yang hanya menyimpan stok simpanan berasnya selama sebulan berbanding tempoh lebih lama yang di amal negara lain. Tindakan Bernas itu telah mengakibatkan bekalan beras negara berkurangan dam mendedahkan negara kepada putus bekalan beras jika berlaku sebarang kecemasan.

Sehubungan itu, semua import beras katanya perlu dikawal selia pihak kerajaan sendiri termasuk juga penyimpanan stok kecemasan. Ianya penting bagi mengawal lambakan beras luar dan bagi memastikan keselamatan makanan negara terus terjamin.

" Saya tak kata Bernas tidak boleh berniaga beras, dia boleh berniaga beras, tapi jangan bagi permit import dan jangan bagi kuasa simpan stok kecemasan. Biar dia pun ambil beras dari kerajaan, berapa peratus dia nak, kerajaan pertimbangkan lah" ujarnya.

Mengulas tindakan kerajaan yang ingin mengambil balik milikan 31 peratus ekuiti di dalam Bernas yang dimiliki oleh syarikat dari Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. (Wang Tak), Mahfuz berkata ianya bukan jaminan sektor pemakanan utama negara akan selamat.

"Itu urusan bisnes biasa, soalnya apakah ambil balik itu beri jaminan masa depan kepada sektor makanan kita?," soalnya.

Mahfuz sebelum ini antara yang mempertikai pemilikan 31 peratus ekuiti Bernas oleh syarikat asing berkenaan. Antara yang dipersoal adalah bagaimana Wang Tak boleh mengumpul dan menaikkan pemilikannya daripada sekitar 18 peratus pada tahun 2007 kepada 31 peratus sekarang tanpa dikesan oleh agensi-agensi kawal selaras seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara mahupun Kementerian Kewangan.

Lebih menghairankan apabila tindakan Wang Tak itu juga 'tidak disedari' oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan, memegang saham pilihan yang boleh ditebus (redeemable preference share) atau lebih kenali sebagai saham emas di dalam Bernas. Saham istimewa itu memberikannya kuasa pembatal bagi melindungi kepentingan awam. Lazimnya kerajaan mempunyai dua orang wakil dalam Lembaga Pengarah Bernas.

Dan turut dipersoal adakah Bursa Malaysia tidak tahu atau tidak dimaklumkan sedangkan semua jual-beli saham yang melebihi lima peratus saham berbayar sesebuah syarikat wajib dimaklumkan kepadanya.

Mengikut laporan, selain wang Tak, pemegang saham utama Bernas adalah Budaya Generasi yang memiliki 30.8 peratus dan Serba Etika 6.46 peratus. Budaya Generasi juga dikaitkan dengan usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Namun apa yang menjadi kebimbangan pada waktu ini, adakah nasib sama seperti berlaku pada Khazanah Nasional sewaktu membeli balik operasi Pantai Holdings akan berulang.

Pembelian balik tersebut adalah dengan harga yang berganda tingginya daripada harga yang dibayar oleh Parkway untuk menguasai Pantai Holdings.

Inilah yang mungkin terjadi kepada Bernas yang terpaksa dibeli balik dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Wang Tak.

HarakahDaily.Net/-

31 Ogos 2009

BENDERA MALAYSIA

Oleh : Naninu Sakun

ASSALAMUALAIKUM YB!

MERDEKA INI USAH DILEPASKAN DARI GENGGAMAN
MERDEKA INI PERLUKAN PENGISIAN ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN
NAMUN KENAPA KINI IA MENJADI SUMPAH KEKOSONGAN?

Memang pelik fenomena kemerdekaan pada tahun ini. Kalau dulu sekolah2, bandar2, kampung2, kedai2 seluruh negara berlumba2 memasang bendera tetapi kini seperti ia tinggal memori sepi yang patut kerajaan mengambil berat akan hal ini. Bila ditinjau dapatlah saya simpulkan kepada beberapa sebab mengikut pandangan saya iaitu:

1) Perayaan kemerdekaan ini disambut di bulan Ramadan.
2) Harga semua barang telah melambung naik begitu juga dengan bendera.
3) Pada rakyat bendera tidaklah penting berbanding gula.
4) Tema hari kebangsaan menjadi kebencian pula pada sesetengah rakyat. Kenapa? Tepuk dada tanya minda.
5) Rata2 bendera yang nampak pada kenderaan ada stiker daulat tuanku itupun boleh dibilang dengan jari. Ini
menunjukkan ramai yang beralih ke Pakatan Rakyat. Program yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat banyak
tertumpu di masjid sahaja.Justeru, dengan tidak memasang bendera melahirkan tanda protes kepada kerajaan
terutama apa yang berlaku di Perak.
6) Pengisian merdeka sekarang lebih tertumpu pada aktiviti agama di masjid kerana itu lebih baik sebagai contoh
membaca Yasin disedekahkan kepada pejuang2 kemerdekaan.
7) Orang terlalu benci Bn.

Pandangan diatas hanya pandangan peribadi yang dapat dilihat di negeri Perak ini. Mungkin ada yang tertinggal atau tersalah harap dapat jadikan muhasabah sempena Ramadan Al-Mubarak ini.

DI SINI RUMAH KITA YANG TERCANTIK...
DI SINI RUMAH KITA YANG TERBAIK.....SALAM KEMERDEKAAN

ANAK KOMANDO REJIMEN 1

ADUN Kota Seputeh serah kepada SPR

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan nasib beliau sebagai wakil rakyat termasuk jika mahu mengadakan pilihan raya kecil di bahagian tersebut.

Wakil rakyat sejak 1995 itu berkata, beliau akan menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh suruhanjaya itu Selasa ini.

"Saya serah kepada SPR... kita serah kepada apa saja keputusan yang akan diputuskan oleh SPR... saya akan komen selepas keputusan SPR nanti," kata Ketua Umno Bahagian Jerlun ini ketika dihubungi petang tadi.

SPR akan bermesyuarat Selasa ini bagi menentukan sama ada perlu diisytharkan kerusi DUN Kota Seputeh sebagai kosong ataupun sebaliknya.

Ketika dihubungi mStar Online, beliau menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada anak-anak yatim yang turut disertai Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Ditanya sama ada beliau tertekan ekoran perkembangan tersebut, Abu Hassan berkata, "tidak, saya seperti biasa saja."

Beliau mengakui situasi yang dialaminya sekarang merupakan kali pertama sejak dipilih sebagai ADUN pada pilihan raya umum 1995.

Abu Hassan, 54, walaupun berhadapan dengan kemungkinan dilucutkan jawatannya sebagai ADUN Kota Seputeh, ekoran makluman Speaker kepada SPR tetapi terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya terus mengadakan pertemuan dengan penduduk kawasan saya... semalam saya hadiri majlis bulan Ramadan, pagi tadi mesyuarat agensi MADA dan sekarang di Kg. Siputeh (bersama Mukhriz)," katanya lagi.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Abu Hassan menjelaskan, beliau juga telah mengemukakan surat sakit bagi membuktikan sebab ketidakhadirannya pada sidang DUN tempoh hari.

mStarOnline/-

Menteri Besar Pakatan Rakyat : Sidang DUN Perak tetap diadakan Rabu ini

PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan tetap diadakan Rabu ini walaupun disifatkan sebagai tidak sah oleh Speaker diiktiraf Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Sidang DUN Perak akan diadakan seperti yang telah ditetapkan dan sebagaimana notis yang telah dikeluarkan sebelum ini," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Jelas Nizar, sidang DUN akan tetap diteruskan sebagimana telah dimaklumkan oleh V. Sivakumar "selaku Speaker yang sah" dalam notisnya.

"Sivakumar merupakan Speaker yang sah. (Datuk) Ganesan bukan Speaker," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang.

Oleh itu kata Nizar, Ganesan tidak boleh menghalang mana-mana ADUN daripada menghadiri sidang kali ini.

Ketika ditanya kemungkinan akan ada usaha menghalang sidang yang dimaksudkan itu sebagaimana pernah disaksikan 3 Mac lalu, Nizar memberitahu, usaha sedang diambil oleh Sivakumar untuk mengelakkan suasana sedemikian.

"YB Sivakumar sudah memohon kepada mahkamah agar dikeluarkan satu perintah bagi menghalang mana-mana pihak eksekutif daripada mengadakan halangan," katanya.

Permohonan itu telah dibuat baru-baru ini dan diharap keputusan akan diperoleh Selasa ini, katanya lagi.

Semalam, Datuk R. Ganesan, Speaker yang diiktitaf Barisan Nasional (BN) berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak perlu menghadiri persidangan dewan yang dipanggil pada Rabu ini kerana arahan yang dikeluarkan adalah daripada sumber tidak sah.

Ganesan menegaskan, tindakan Sivakumar yang juga ADUN Tronoh memanggil sidang itu adalah pelik kerana beliau bukan lagi Speaker.

Menurut Nizar, notis untuk mengadakan sidang DUN perlu dikeluarkan 14 hari sebelum persidangan dan ia "telah diterima lebih awal daripada itu."

Pada Mei lalu, Sivakumar mengeluarkan notis sidang DUN tergempar 11 hari lebih awal sebagaimana sah diperuntukkan undang-undang, Perintah Tetap Dewan Negeri (PT)8(1).

Bagaimanapun ia dihalang dan terpaksa mengadakan sidang di bawah pokok berhampiran DUN.

mStarOnline/-

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR putuskan Selasa ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah iaitu sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

SPR mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kita akan bincang semua aspek secara menyeluruh, mempertimbangkan dari segi perundangan dan dari segi moral tetapi lebih kepada soal undang-undang," katanya lagi.

Jika diputuskan wujud kekosongan sudah pasti pilihan raya kecil akan diadakan, kata beliau.

SPR telah mengadakan pilihan raya kecil yang kelapan pada 25 Ogos lalu - sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sehubungan itu, kata Aziz, pihaknya akan memaklumkan keputusan SPR kepada Speaker Kedah.

"Oleh kerana Speaker telah menulis surat kepada kami, kami akan memaklumkan Speaker hasil keputusan mesyuarat khas ini... mesyuarat ini hanya membincangkan isu kerusi Kota Seputeh," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi.

Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUNtanpa kebenaran Speaker.

Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melahirkan harapan agar SPR akan mempertimbangkan keadaan Abu Hassan yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad ketika dihubungi pagi tadi memberitahu mStar Online bahawa semua dokumen berkaitan dengan isu berkenaan sudah sedia ada.

"Semua dokumen, pandangan dan maklum balas sudah diterima. Kita hanya perlu mengadakan mesyuarat dan menentukan status kerusi ini," katanya.

mStarOnline/-

H1N1 ragut korban ke-72

Influenza A(H1N1) di negara ini meragut satu lagi korban, menjadi keseluruhan kematian akibat wabak tersebut meningkat kepada 72 orang.

Korban terbaru itu adalah seorang lelaki berumur 49 tahun dan bermasalah kesihatan hepar (hati).

Dia dimasukkan ke Hospital Melaka pada 13 Ogos kerana demam dan batuk selesema selama dua hari serta muntah.

Lelaki itu meninggal dunia pada 19 Ogos disebabkan oleh H1N1 dengan Sindrom Pernafasan Teruk Sistem Respiratori Strok
(ARDS).

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 202 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Manakala 285 kes telah dibenarkan pulang. Ini menjadikan baki 1,515 pesakit ILI sedang dirawat di 97 hospital termasuk lima di hospital swasta.

Daripada jumlah ini, katanya, hanya 280 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada kes yang disahkan H1N1, 44 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima kes merupakan kemasukan baru, sementara tujuh lagi kes keluar dari ICU.

Daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (82%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (3), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (4) asma (3) dan immuniti rendah (2).

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, beliau meminta ibu bapa supaya memastikan hanya menghantar anak mereka yang sihat sahaja ke sekolah.

"Manakala bagi anak-anak yang mengalami gejala demam atau batuk, dinasihatkan terus berehat di rumah sehingga benar-benar sembuh dan tiada lagi menunjukkan sebarang simptom.

"Ini kerana anak-anak yang ada simptom masih berisiko untuk menularkan virus tersebut kepada rakan-rakan mereka yang lain," tegasnya.

MalaysiaKini/-