13 Februari 2011

Kumpulan Terakhir 602 Warga M'sia di Jeddah Tiba Esok

Sebahagian daripada para pelajar Malaysia di Mesir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jeddah dengan menaiki pesawat penerbangan Malaysia MH 0151 di sini hari ini. Foto BERNAMA

10 Rabiul Awal 1432H.

SEPANG: Kumpulan terakhir 602 warga Malaysia yang masih lagi berada di Jeddah, Arab Saudi dijangka dibawa pulang ke tanahair esok.

Kumpulan itu akan dibawa pulang menaiki dua pesawat masing-masing Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Air yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar tengah hari.

Bercakap kepada Bernama di sini, pegawai Wisma Putra berkata pada hari ini terdapat empat penerbangan membawa pulang 1,010 warga Malaysia, dengan salah satu pesawat mendarat di Jakarta, Indonesia.

"Seramai 170 rakyat Malaysia yang terlibat akan dibawa pulang menaiki pesawat Hercules C-130 dari Jakarta dan dijangka tiba di Lapangan Tentera Udara Malaysia, Subang kira-kira pukul 6 petang," katanya.

Hadir di KLIA menyambut kepulangan pesawat pertama MAS yang tiba pada pukul 5.20 pagi dengan membawa 450 warga Malaysia hari ini ialah Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay.

Dua lagi pesawat MAS dan Saudi Air akan tiba di KLIA kira-kira pukul 11 pagi dan 1 petang ini, masing-masing membawa 150 orang dan 240 orang lagi rakyat Malaysia yang rata-rata merupakan pelajar. - BERNAMA

Orang Asli parah diserang harimau

10 Rabiul Awal 1432H.

IPOH 13 Feb. - Seorang penduduk Orang Asli cedera parah selepas diserang seekor harimau ketika dia sedang menyumpit di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Perkampung Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Gerik, 200 kilometer dari sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Tambun Gering, berusia 50-an, mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki kiri dalam kejadian pukul 9 pagi semalam.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan dan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut, katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Jamil berkata semasa kejadian, Tambun dikatakan pergi menyumpit tupai kira-kira 10 meter dari rumahnya.

"Tanpa disedari harimau berkenaan tiba-tiba menyerang mangsa dari arah belakang menyebabkan kedua-duanya bergelut,” katanya.

Isteri Tambun yang mendengar jeritan suaminya itu kemudian datang membantu dengan mengetuk kepala harimau itu beberapa kali dengan kayu sebelum haiwan liar itu meninggalkan mereka. - Bernama

Kekosongan kerusi DUN Kerdau akan dimaklum kepada SPR esok

10 Rabiul Awal 1432H.

TEMERLOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin akan memaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Kerdau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Beliau berkata, surat pemakluman itu akan dihantar kepada SPR sejurus pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Katanya, pemakluman secara tidak rasmi diberitahu beliau kepada pihak SPR semalam. Sementara itu, Pengarah SPR Pahang, Datuk Ismail Mohd Yusoff berkata, Wan Mohamed Razali akan menyerahkan notis mengisytiharkan kekosongan kerusi itu kepada SPR esok.

Beliau berkata, selepas itu SPR mempunyai masa sehingga dua minggu untuk membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil.

Zaharuddin, 64, dilaporkan terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di kediamannya dan dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 7.15 malam.

Allahyarham menjadi wakil rakyat kawasan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.
Pada pilihan raya umum itu, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi. - BERNAMA

8 cedera lori pikap berisi bom meletup di selatan Thailand

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran akibat letupan bom lori pikap di luar bank daerah Yala, selatan Thailand menyebabkan lapan orang awam termasuk empat anggota polis cedera. - Foto AFP

10 Rabiul Awal 1432H.

YALA: Sebuah lori pikap berisi bom meletup di luar sebuah bank selatan Thailand menyebabkan lapan orang awam tercedera, kata polis.

Letupan itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi waktu di Yala, satu daripada tiga wilayah berdekatan sempadan Malaysia yang diletakkan dalam keadaan darurat sejak 2005.

"TAda sebutir bom dalam alat pemadam kebakaran dalam sebuah lori pikap yang diletakkan di hadapan kedai runcit dekat Siam City Bank," kata polis tempatan. "Letupan it menyebabkan kebakaran di kedai berdekatan dan menyebabkan lapan orang cedera," katanya.

Pada Khamis lalu tiga orang termasuk seorang guru, ditembak mati dan mayat mereka dibakar di wilayah Pattan iaitu salah satu serangan bersenjata pada minggu lalu. - AF

Lebih 600 banduan lari dari penjara Kaherah

10 Rabiul Awal 1432H.


KAHERAH 13 Feb. - Lebih kurang 600 orang banduan melepaskan diri dari penjara di Kaherah selepas rusuhan berlaku, hari ini.

Menurut pegawai keselamatan, beberapa orang terbunuh dan cedera ketika banduan-banduan tersebut membuat rusuhan dan orang yang tidak dikenali di luar Penjara Marg menembak kearah pengawal.

Ia merupakan kali kedua banduan melarikan diri secara beramai-ramai sejak 28 januari lalu di Penjara Abu Zaabal ketika demonstrasi besar-besaran yang mahu Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Antara mereka yang berjaya melarikan diri ketika itu termasuk militan Pakistan dan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban. - AFP

Di sebalik pengunduran Hosni Mubarak

10 Rabiul Awal 1432H.
Ahmad Baei Jaafar

Memang wajar Umat Islam seluruh dunia mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang telah berjaya meruntuhkan tembok besi yang melindungi Hosni Mubarak. Mereka dilihat tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari walaupun dihalang oleh tentera Presiden Mesir itu.

Lautan manusia melahirkan kegembiraan

Kebangkitan rakyat Mesir tentu berpunca daripada detik-detik pemerintahan Hosni yang banyak mempenjarakan fikiran mereka. Ya, berapa lama manusia yang normal boleh dikongkong kebebasan mereka? Apabila sampai masanya, mereka boleh hilang sabar.

Sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun, bukan sahaja ulama tidak boleh bersuara dalam membetulkan pemerintahannya, universiti Al-Azhar berjalan tidak mengikut cita rasa ulama berwawasan Rasulullah. Akhirnya mahasiswa al-Azhar yang pulang berkhidmat di negara masing-masing berfikiran sempit. Tiada kreatif untuk membangunkan negara dan rakyat ke arah yang islami.

Saya tidak pasti apakah kebangkitan rakyat ini ada kaitan dengan kesusahan rakyat akibat kos sara hidup yang semakin melonjak dan kadar pengangguran yang tinggi, tetapi yang saya pasti rakyat sudah mual dengan keganasan pihak keselamatan. Apa sahaja yang diperintahkan oleh presiden, tentera pasti bertindak.

Antara keganasan tentera Mesir yang kita boleh lihat secara jelas ialah usaha bantuan kemanusian ke Gaza melalui Mesir dihalang. Mengapa? Tentu kerana tidak mendapat lampu hijau daripada Presiden. Dan yang terbaru, tentera bertindak tidak berperikemanusian terhadap penunjuk perasaan di Madinatul Tahrir. Ini tidak termasuk beberapa orang ulama yang hilang tanpa diketahui kuburnya.

Tetapi tahukah anda tentera yang ganas itu sebenar manusia yang hidup mereka seperti robot apabila di suruh itu, maka dibuatlah yang itu. Sebaliknya kalau mereka tidak diperintahkan itu dan ini oleh pihak yang berwajib, mereka mampu kembali kepada perikamanusian. Mereka juga tahu erti baik dan kebaikan.

Bukti yang jelas boleh anda lihat pada sikap tentera Mesir itu, setelah Mubarak meninggalkan pemerintahan, jiwa mereka kembali normal. Walaupun rakyat masih berkumpul di dataran tahrir, melakukan acara bagi menyambut kegembiraan menggulingkan presiden Mesir, tentera hanya melihat sahaja tanpa sebarang tindakan.

Tentera itu bukan sahaja tidak marah dengan sikap rakyat yang telah menjatuhkan majikannya, tetapi ada yang turut bersama mereka bergembira. Ertinya apa? Tentera juga tidak suka kepada keganasan, tidak suka juga kepada Mubarak. Mereka juga suka kepada kebaikan. Tetapi mereka telah dibisukan dan ditulikan pemerintah.

Itulah fitrah manusia apabila mereka kembali kepada normal. Manusia di manapun mereka adalah sama, mahukan kebaikan. Tetapi kalau mereka jahil malah apabila dikuasai nafu, syaitan sama ada syaitan manusia atau jin, fikiran mereka akan berubah. Jadi, berhati-hatilah agar anda tidak dikuasai semua makhluk itu.

Berbalik kepada peristiwa di atas, suka saya hendak ingatkan kepada orang-orang politik terutama mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara mahupun negeri, peristiwa yang sama boleh berlaku di sini. Maksud saya, kalau kebencian rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi, pelbagai usaha boleh mereka lakukan.

Jangan ingat, orang Melayu baik semua dan tidak suka berperang. Lihat sejarah orang Melayu masa silam. Mereka boleh bertindak apabila terdesak dan mendesak. Ketika itu boleh jadi, tentera yang selama ini bersikap “samikna waatakna” kami dengar dan taat, akan bertindak secara tidak ikhlas lagi. Boleh jadi mereka juga akan belot.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan negara kita tidak sama dengan Mesir, riak-riak kebencian rakyat sudah ada. Oleh sebab itu berpadalah dalam pemerintahan. Kalau sudah ada isyarat bahawa mereka tidak suka kepada anda, tukarlah kepada yang lebih baik. Tanyalah kepada yang pakar, ulama dan sebagainya. Jika anda masih rasa ego dengan cara anda, tunggulah kehancurananya.

BN mirip Rejim Hosni, Ada potensi digulingkan ?

10 Rabiul Awal 1432H.
Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 13 Feb : Suara rakyat Mesir akhirnya telah berhasil menggulingkan sebuah rejim setelah 18 hari berdemonstrasi di jalan raya dengan kehilangan ratusan nyawa warga marhein disebabkan keangkuhan seorang diktator menggunakan polis sebagai perisai.

Di Malaysia khususnya, terdapat satu parti yang mirip rejim Hosni, mereka sedang memerintah, serta sedang membelakangi suara rakyat, mereka ialah BN,” kata ADUN Titi serong, YB Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya, semasa rejim itu berkuasa, Hosni telah menolak penggunaan dakwat dalam PRU, dalam masa sama menggunakan undi pos dan hanya NDP boleh ada laporan media selain hanya NDP sahaja yang boleh membuat iklan di media.

Selain itu, Hosni juga memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya, Polis, SB dan juga tentera untuk menipu, mengancam dan menekan pengundi agar memilih NDP dalam setiap kali pilihanraya di Mesir.

Selain itu beliu juga berpandangan bahawa beberapa ulasan dari pimpinan BN bahawa Malaysia tidak sama dengan Mesir merupakan bukti bahawa pemimpin BN bimbang mereka akan digulingkan oleh rakyat.

“Di Malaysia BN juga sedang melakukan perkara yang sama seperti Hosni Mubarak, rakyat Malaysia khususnya digesa menilai perbuatan jahat BN di Negara ini” jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak mengulas revolusi yang telah berlaku di Mesir tidak mengambil masa yang lama seperti kerana kepesatan teknologi maklumat dalam era ICT.

“BN dinasihati jangan bertingkahlaku seperti Hosni dalam hal memerintah, rakyat tidak boleh ditipu, maklumat terkini negara mudah dicapai dengan kemudahan internet.” Ujarnya.

Dalam pada itu Khalil menyatakan, Berdasarkan rekod BN tidak pernah adil kepada rakyat dalam banyak hal serta isu, Khalil mengingatkan bahawa PRK di Merlimau dan yang terbaru akan berlaku di Kerdau merupakan suara rakyat yang wajib didengari oleh kerajaan.

Beliau menggesa rakyat perlu menyatakan suara protes terhadap BN dengan mengundi Pakatan Rakyat bagi memastikan gelombang Malaysia baru yang lebih selamat dapat diteruskan hingga menjelang PRU 13.

12 Februari 2011

(Update)Al Fatihah : ADUN Kerdau meninggal dunia

9 Rabiulawal 1432H.[MOD] -

ALFATIHAH-Adun BN Kerdau dalam bahagian Kuala Krau Pahang, Datuk Zaharudin Abu Kassim telah meninggal dunia - memungkinkan akan berlaku PRK ke 16. ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia pada jam 6 petang tadi, menurut siaran Buletin Utama, TV3.

Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya. Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

Kematian itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

TERKINI - 152 Ketua Bahagian Umno sembah Najib hari ini ?

KUALA LUMPUR 12 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan 152 ketua bahagian Umno bagi membincangkan masalah yang dihadapi dan kaedah untuk menyelesaikannya dengan segera. Pertemuan itu bermula pukul 8.30 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pertemuan 152 ketua bahagian UMNO dari seluruh negara itu tidak membabitkan Menteri Besar, Anggota Parlimen, Menteri dan Timbalan Menteri.

[MOD] - Pertemuan berkaitan undi hantu utk PRU13 ker?

Kejatuhan Mubarak iktibar bagi BN


9 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Ucapan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari sehingga menumbangkan Presiden Hosni Mubarak mula mencurah.

Di Malaysia, antara yang terawal berbuat demikian adalah pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi blognya berkata rakyat Mesir berjaya memastikan Hosni Mubarak, seorang diktator yang memerintah selama 30 tahun, berundur dari tampuk pemerintahan.

“Rakyat Mesir akhirnya berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini mengepung mereka.

“Dihimpit kesusahan akibat kos sara hidup yang semakin melonjak, kadar pengangguran yang tinggi dan mual dengan keganasan pihak keselamatan, rakyat Mesir memilih untuk berdepan dengan aparat pemerintah yang terkenal memerintah secara kuku besi,” tulis Anwar.

Katanya, beliau berharap pengorbanan rakyat Mesir itu tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Pilihanraya telus, adil

“Kebangkitan ini sewajarnya disusuli dengan usaha memulihkan Perlembagaan, sistem keadilan serta pilihanraya yang adil dan telus.

“Majlis Tertinggi Tentera yang kini mengambil alih kuasa dari Mubarak sewajarnya segera mengembalikan kuasa kepada rakyat,” akhiri ucapan tahniahnya itu.

PAS juga tidak terkecuali memuji keberanian rakyat Mesir untuk memaksa Hosni Mubarak berundur.

"Tahniah rakyat Mesir, 18 hari tak berganjak akhirnya Hosni Mubarak meletakkan jawatan, berakhirnya rejim Umno Mesir," kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di laman Twitter.

Sementara itu, lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata anak muda melahirkan rasa syukur dengan kejatuhan regim Mubarak itu.

Menular seluruh dunia

Beliau mengharapkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman menular ke seluruh dunia.

TV Selangor pula menyiarkan pandangan yang hampir senada daripada ketua pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

"Tahniah Rakyat Mesir. Tahrir Square menjadi saksi kejatuhan Hosni pemimpin yang korup dan menindas. Di Malaysia juga ada, Merdeka Square," kata Shamsul Iskandar.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berharap tentera yang mengambil alih kuasa tidak mengkhianati amanat rakyat dan membebaskan rakyat Mesir daripada dibelenggu pemerintahan yang zalim

Namun, menurutnya pengaruh Amerika ke atas tentera Mesir masih kuat.

Beliau mempersoalkan adakah pihak tentera akan membebaskan rakyat Mesir dan dibenar memilih pemimpin mereka atau terus dibelenggu demi Israel.

"Takbir! Mubarak dijatuhkan kuasa rakyat," katanya.

Turut menyambut kemenangan gerakan pro-demokrasi Mesir, yang dianggotai pelbagai golongan, termasuk belia, mahasiswa dan pensyarah adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Iktibar bagi BN

Katanya, sebagai warga dunia yang mencintai kebenaran, keadilan, keamanan sejagat, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.

“Kita yakin dan berdoa rakyat Mesir akan dapat menubuhkan kerajaan yang benar-benar demokratik, bebas daripada pengaruh kuasa besar dan mengamalkan politik baru yang berasaskan pemikiran progresif demi kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno berkata kejatuhan Mubarak harus memberi iktibar kepada BN.

“Ini contoh 'kalau kita tidak berubah, kita akan rebah', seperti yang selalu diingatkan oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak. Justeru, saya menyeru semua ahli BN supaya bersungguh-sungguh dan bersegera dalam mendokong sepenuhnya transformasi politik yang telah dimulakan oleh Najib,” katanya.

Lewat malam semalam, naib presiden Mesir, Omar Suleiman dalam siaran televisyen negara itu mengumumkan Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya dengan meletakkan jawatan.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.- mkini

Mubarak berundur, PAS ucap tahniah pada rakyat Mesir

09 Rabiul Awal 1431H

KUALA LUMPUR, 12 Feb: PAS mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari yang memaksa Presiden Hosni Mubarak melepaskan jawatan.

PAS mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari yang memaksa Presiden Hosni Mubarak melepaskan jawatan.

“Tahniah rakyat Mesir, 18 hari tak berganjak akhirnya Hosni Mubarak meletakkan jawatan, berakhirnya rejim Umno Mesir,” ulas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di laman Twitter.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi pula, anak muda melahirkan rasa syukur dengan kejatuhan regim Mubarak itu.

Beliau mengharapkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman menular ke seluruh dunia.

“Tahniah Rakyat Mesir. Tahrir Square menjadi saksi kejatuhan Hosni pemimpin yang korup dan menindas. Di Malaysia juga ada, Merdeka Square,” ujar Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berharap tentera yang mengambil alih kuasa tidak mengkhianati amanat rakyat dan membebaskan rakyat Mesir daripada dibelenggu pemerintahan yang zalim

Namun, menurutnya pengaruh Amerika ke atas tentera Mesir masih kuat.

Beliau mempersoalkan adakah pihak tentera akan membebaskan rakyat Mesir dan dibenar memilih pemimpin mereka atau terus dibelenggu demi Israel.

“Takbir! Mubarak dijatuhkan kuasa rakyat,” ujarnya.

Naib Presiden, Omar Sulaimen dalam pengumuman menerusi televisyen malam tadi memberitahu Mubarak, 82, mengambil keputusan meletakkan jawatan dan Majlis Tertinggi Tentera mengambilalih pentadbiran negara.

Ekoran pengumuman tersebut, jutaan rakyat negara Afrika Utara itu yang membanjiri Dataran Tahrir melaungkan 'Allahu Akbar' dan bersorak gembira.

Dilaporkan, Mubarak yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Harakahdaily/-

Kebangkitan di Mesir akan menular seluruh dunia

09 Rabiul Awal 1432H

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berpendirian kemenangan rakyat Mesir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak bukan bermakna kebangkitan rakyat sudah tamat.

“Gamis yakin roh kebangkitan itu akan menular ke seluruh dunia,” ujar Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari kepada Harakahdaily.

Katanya, kejayaan itu bukan dicapai dengan mudah kerana mereka berjuang dengan nyawa dan darah.

Tambahnya, ribuan rakyat negara Afrika Utara itu mengalami pelbagai penderitaan dan penyiksaan, ada dipenjarakan serta ditahan tanpa bicara.

“Tidak kurang juga yang syahid sama ada di hujung senjata atau di tali gantung.

“Kebangkitan kuasa rakyat ini memberi isyarat cukup jelas kepada semua diktaktor yang masih berkuasa di serata dunia,” ujarnya.

Menurutnya, bukan mustahil walaupun dalam serba kekurangan, kuasa pemimpin yang zalim, menindas, rasuah, skandal, terlibat dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan dapat ditumbangkan.

“Saya mengucapkan penghargaan tahniah setinggi-tingginya buat seluruh rakyat Mesir yang tidak berganjak selama 18 hari,” ujarnya lagi.

Mereka, katanya bangun bersama semangat ratusan syuhada yang gugur terkorban bagi membebaskan Mesir yang penuh kebobrokan yang membuktikan komitmen dan istiqomah mereka berdepan ujian perit menumbangkan pemimpin yang zalim.

Hosni Mubarak yang memerintah selama lebih 30 tahun dalam usianya mencecah 82 tahun akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naibnya, Omar Suleiman.

Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.

Perletakan jawatan Hosni Mubarak disambut bagaikan pesta penuh kesyukuran oleh jutaan rakyat Mesir.

Harakahdaily/-

Perutusan PJ PAS Perak sempena Maulidur Rasul.

9 Rabiul Awal 1432H.

Setiap kali tiba bulan Rabiul Awal, umat Islam menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai majlis dan acara. Di Malaysia, pelbagai agensi dan institusi, terutamanya masjid dan surau, mengadakan ceramah, perarakan, forum, kenduri dan lain-lain, demi memperingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)

Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredhai Allah. Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.

Islam merupakan agama yang bernyawa dan dominan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar istiadat dan upacara kaku, sebagaimana agama-agama lain. Sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang dihayati dari tahap individu dalam kehidupan peribadi, sehinggalah ke tahap negara dalam hubungan antarabangsa. Islam pernah memerintah dan mentadbir urusan dunia. Umat Islam pernah menjadi pemimpin dan teladan bagi umat-umat yang lain. Pencapaian hebat itu adalah hasil apabila umat Islam mempraktikkan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Umat Islam mesti menjadi teladan bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah S.A.W. mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran “al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh baginda ketika melancarkan dakwahnya di bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayai aku?” Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu berdusta”.

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijrah ini, PAS Perak menyeru agar semua individu muslim, para pemimpin dan rakyat jelata, agar kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa akidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya. Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.

USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
(PESURUHJAYA PAS PERAK )

PAS Komited kukuhkan kerjasama antara kaum bersama PR.

9 Rabiul Awal 1432H.
Mohd Hafez Sabri.

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan bahawa PAS akan sentiasa komitmen dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kuasa umno BN yang sudah lama bertapak di Malaysia dan Perak khususnya.

Beliau menyatakan, perjuangan melalui landasan dimensi baru seperti Pakatan Rakyat adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa,pemimpin dan pendokong pakatan Rakyat tidak akan larut dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh UMNO menjelang pilihanraya akan datang. Idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.

Malah menurut beliau juga, pegangan kaum Muslim (ahli PAS) berkenaan konsep Agama Islam yang hanya diiktiraf oleh Allah (In Addin Indallah Al Islam) adalah perkara ‘tetap’ yang menjadi tulang belakang aqidah dan tidak akan merosakkan saranan agama untuk berinteraksi dan memakmurkan bumi ini secara adil dan mengajak ke arah kebaikan. Perinsip aqidah adalah teras agama dan ia bukan alasan untuk umat Islam menolak toleransi antara agama dalam negara ini.

Beliau menyatakan bahawa, PAS akan mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang digunakan umno selama ini dalam menghalang masyarakat bukan melayu melihat Islam sebagai suatu agama yang indah dan baik.

Menurut beliau lagi, pertautan kerja erat antara kaum dalam Pakatan Rakyat adalah perlu untuk mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Perak khususnya

Selain itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS ( DHPP ) yang terdiri dari masyarakat bukan Islam di dalam dewan ini akan menyemarakkan lagi agenda penerangan kepada kaum bukan islam dan menimbulkan kesedaran kepada kaum melayu betapa tegarnya sikap kaum bukan Melayu terhadap agenda perubahan kerajaan yang lebih baik, jelas beliau.

Justeru beliau mengingatkan agar Jentera PAS Perak sentiasa bekerja atas kesepaduan kerja antara kaum serta mengeratkan hubungan dengan parti Pakatan Rakyat yang lain untuk menghadapi jentera BN PRU-13 akan datang serta mengambil resolusi Konvensyen PR di Pulau Pinang sebagai landasan kefahaman kerja bagi mencipta kemenangan buat rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 ini.

Laungan 'berambus Mubarak' bergema seluruh Mesir


9 Rabiulawal 1432H.[MOD] -

KAHERAH 11 Feb. - Ilhal Mubarak! Ilhal Mubarak! Laungan yang bermakna 'Berambus, Mubarak, Barambus!' bergema bermula daripada kami memasuki pusat bandar raya sebelum meletak kereta kira-kira satu kilometer dari Dataran Tahrir, senja semalam.

Di laluan yang sama, puluhan orang lagi berduyun-duyun menghala ke satu destinasi sambil membawa bendera merah, putih dan hitam Mesir. Rata-ratanya golongan muda. Terdapat juga pasangan yang membawa anak-anak. Nampaknya potensi untuk bersesak di Dataran Tahrir, bukan penghalang.

Waktu hampir 8 malam dan momentum ketika itu ialah Presiden Hosni Mubarak akan meletak jawatan.

Di Dataran Tahrir tersebut, ratusan ribu sudah memenuhi kawasan sekitarnya. Laungan Ilhal, Ilhal lagi kuat, lagi nyaring. Sesekali pembesar suara memainkan lagu patriotik dan apabila tiba pada korus, hampir semua melaungkan 'Ya Mosr' (sebutan Arab untuk Mesir).

Jika hendak dibandingkan, pengalaman memasuki Dataran Tahrir ibarat memasuki stadium antara pasukan 'rakyat' dan 'Hosni Mubarak'. Ini kerana orang ramai yang sama-sama berjalan ke situ menyanyi lagu patriotik sambil mengibar bendera negara (bukan parti politik seperti yang kita biasa lihat di Malaysia) dan ada yang melukis bendera pada dahi atau pipi mereka.

''Malam ini dia undur. Malam ini dia berambus!" kata seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Muhamad. Desas-desus mengenai pengumuman tersebut telah bernyala sejak petang, mendorong orang ramai berduyun-duyun menuju ke Dataran Tahrir.

Malah, seorang diplomat yang Utusan Malaysia temui semalam turut memberitahu terdapat spekulasi mengatakan Mubarak akan berundur dan pergi ke Jerman atas alasan menjalani rawatan kesihatan. Ada juga lebih percaya beliau yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun akan mendapatkan perlindungan di Emiriah Arab Bersatu.

Pos kawalan pertama yang dilalui adalah pagar tentera tetapi pengawal peribadi yang diupah berkata, sesuatu yang menyaksikan saya dan dua lagi wakil media Malaysia dibenar masuk tanpa perlu diperiksa pasport atau beg.

Namun, kawalan kedua ialah kumpulan penunjuk perasaan. Mereka hendak memastikan tiada polis atau sesiapa yang disyaki pengacau memasuki kawasan dataran.

Melihat wajah saya yang mirip Chow Yuen Fatt, soalan pertama ditanya ''You, Chinese?''. ''No. Malaysia," saya jawab sambil menunjukkan pasport. ''Muslimin?'' soalnya lagi dan saya angguk kepala. ''Welcome!," kata pengawal yang menyuruh saya ke belakang untuk diperiksa badan pula.

Lagi sekali soalan sama ditanya. Keseluruhannya tiga pos kawalan penunjuk perasaan perlu dilalui sebelum betul-betul memasuki dataran. Secara umumnya, mereka yang menjadi pengawal adalah berdisiplin dan teratur. Untuk wanita, sekumpulan pemeriksa muslimah bersedia di sebelah.

Di satu sudut kelihatan gerai menyediakan stok-stok perubatan. Stok yang ada di situ mencukupi untuk rawatan puluhan orang. Jelas penunjuk perasaan di situ telah menyusun strategi dan persediaan secukupnya menghadapi kemungkinan berkampung di situ untuk tempoh yang panjang.

Apatah lagi pada mulanya momentum penunjuk perasaan disangka menurun beberapa hari lalu, telah meningkat kembali pada Selasa lalu dengan kemunculan seorang aktivis di khalayak setelah ditahan polis selama 10 hari.

Malam semalam ekoran desas-desus pengunduran Mubarak, dataran itu dipenuhi oleh segenap lapisan rakyat Mesir. Daripada kanak-kanak kepada golongan muda sehingga yang berpakaian imam Al-Azhar berkumpul di Dataran Tahrir tatkala suhu malam semakin sejuk.

Semuanya menanti pengumuman rasmi Mubarak yang dijangka dibuat pada pukul 11 malam tetapi beliau tampil pada kira-kira 10.45 malam dengan siaran televisyen dipancarkan ke paparan besar di dataran dan suara dipasang pada sistem audio di sekeliling dataran.

Secara tiba-tiba suasana di dataran menjadi tenang, dengan beberapa orang menyuruh semua diam, supaya dapat mendengar lebih jelas ucapan Mubarak. Sebenarnya, ucapan tersebut bukan saja ditunggu-tunggu oleh penunjuk perasaan di Dataran Tahrir tetapi juga di seluruh negara.

Anggota tentera yang berkawal di pintu-pintu masuk juga memasang telinga, ada yang membuka radio kecil dengan lima enam orang mengerumuni bagi mendengarnya.

Setelah jelas, Mubarak menegaskan dirinya tidak akan berundur, wajah orang ramai mula berubah daripada awal tadi yang penuh pengharapan menjadi masam. Ada yang menangis, ramai yang melepaskan kemarahan dengan sekali lagi melaung-laungkan cemuhan terhadap Mubarak.

''Dia tidak ada perasaan. Dia tidak sedar dirinya ditolak rakyat. Mesir akan kacau-bilau," kata seorang yang mengenalkan dirinya sebagai Sharif Askar.

Beberapa orang menanggalkan kasut dan menghayunkan ke imej Mubarak di paparan, suatu bentuk penghinaan pada bangsa Arab.

Pada ketika ini, pengawal peribadi menasihatkan kami keluar dari dataran kerana bimbang kumpulan tegar akan bertindak ganas dengan perkembangan tersebut.

Namun akhirnya impian kesemua penunjuk perasaan itu menjadi kenyataan apabila Mubarak mengumumkan peletakan jawatannya kira- kira pukul 6 petang ini (12 tengah malam waktu Malaysia).

Pengumuman oleh Naib Presiden, Omar Suleiman itu disambut dengan teriakan gembira dan penuh kesyukuran oleh mereka yang berhimpun di dataran tersebut. - Utusan