05 Mac 2009

Renungan Hadits



‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله الإمام العادل وشاب نشأ بعبادة الله ورجل قلبه معلق في المساجد ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم يمينه ما تنفق شماله ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه


Dari Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid-masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan sembahyang berjemaah, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia berkata: Aku takut kepada Allah!, seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kanan tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata dari kedua matanya .

Hadits dia atas menjelaskan 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat iaitu

1. Pemimpin yang adil
Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang sentiasa menunaikan amanahnya sesuai dengan kemampuan yang ada padanya dengan mematuhi segala perintah Allah dan Rasul. Keadilan oleh seorang pemimpin mustahil ditegakkan tanpa berpandukan kepada Quran dan Sunnah. Oleh itu jika seorang pemimpin itu adil bermakna dia telah berlaku adil kepada Allah yakni dia telah menjadi khalifah yang telah memakmurkan muka bumi ini sesuai dengan sifat Allah SWT yang Maha Adil. Lawan kepada adil adalah Zalim, berlaku Zalim bermakna memusnahkan tali rantai Islam yang sangat indah dan sempurna itu.

2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya.
seorang pemuda yang telah menggunakan waktu muda belia untuk beribadah kepada Allah adalah contoh terbaik di kalangan manusia. Patutlah mereka mendapat lindungan dan rahmat Allah di akhirat kelak. Sedangkan manusia pada kelazimannya menggunakan waktu mudanya untuk berseronok dan bersuka ria. Tetapi golongan ini menggunakan untuk beribadah dan mendekatkan diiri kepada Allah.

3. Seorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid dan sentiasa mengerjakan sembahyang berjemaah.
Sembahyang jemaah yang sangat di tuntut sehingga lebih baik 27 darjat dari sembahyang sendirian. Sembahyang jemaah yang terbaik adalah di Rumah Allah. Seorang yang sentiasa berpaut dengan rumah Allah adalah manusia yang mencari kesempurnaan beribadah. Membesarkan Allah SWT dengan sembahyang berjemaah menggambarkan kekuatan umat Islam itu sendiri. Bila jemaah berkurang itulah gambaran lemahnya umat Islam.

2 orang yang saling mengasihi kerana Alah dengan bertemu dan berpisah kerana Allah.
Berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah dalam hadits yang lain diterangkan adalah ciri-ciri orang yang telah mendapat kemanisan Iman. Kemanisan Iman adalah kemuncak bagi segala yang diidamkan oleh orang yang beriman. Jika sekiranya air dan makan yang dimakan memerlukan rasa manis, begitulah keimanan yang memerlukan apa yang dikatakan suatu kelazatan

5. Seorang yang diundang melakukan maksiat tetapi menolaknya dengan mengatakan aku takut kepada Allah
Menolak maksiat artinya menolak untuk melakukan dosa besar dan masuk neraka Allah. bayangkan betapa kesedaran ini muncul tidak lain hanya kepada orang yang sangat takut kan Allah. Mustahil orang yang tidak takut kepada Allah dengan sebenarnya akan menolak peluang yang demikian rupa

6. Seorang yang memberi sedekah secara ikhlas senyap-senyap
Tonggak kepada Ibadah apa pun adalah dengan apa yang dinamakan keikhlasan. Dengan Ikhlas maka ibadah kita diterima di sisi Allah. Tanpa Ikhlas automatik ibadah kita ditolak malah mendapat dosa dan seksa Allah

7. dan Seorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga kedua matanya mengalirkan air mata
Demikianlah kemuncak kehidupan manusia, sanggup mengalirkan air mata kerana Allah. Kerana itu golongan ke 7 ini sangat istemewa dan menutup hadis yang sangat menyentuh jiwa-jiwa kita.

Bayangkan betapa cantiknya masyarakat Islam yang terbina dari 7 golongan di atas, dari pemimpin sehinggakan rakyat semuanya terbina oleh ketakwaan kepada Allah.

Tiada ulasan: