19 Januari 2008

Tazkirah Jumaat : Ikhlas

Keikhlasan adalah sesuatu yang hanya terletak kepada penilaian dari Allah SWT semata-mata. Tidak ada hak dari sesiapapun dikalangan manusia untuk menentukannya. Ikhlas sangat berkait dengan hati, dan isi hati ini hanya Allah yang mengetahui.

قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِي اللّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati. (An-Nisaa`:125)

Di dalam hati ini lah timbulnya niat sebenar dalam melakukan sesuatu. Setiap amalan pula adalah dinilai oleh Allah bergantung kepada keihlasan niat .

Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.

Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja.

Oleh itu setiap amalan kita disamping tidak bercanggah dengan Islam hendaklah diiringkan dengan keihlasan supaya diterima oleh Allah SWT. Tidak ada gunanya sekiranya amalan yang bertimbun-timbun tanpa keiklasan kepada Allah SWT. Setiap amalan yang dilakukan bukannya mengharapkan balasan dari sesama manusia, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk dan mencari pujian. Apalagi pujian dan balasan manusia walaupun didapati ianya bersifat sementara dan terbatas sahaja. Sesungguhnya pembalasan dan pahala dari Allah adalah bersifat kekal abadi dan tidak ada tolak bandingnya, walaupun dinilai dengan dunia dan seisinya.

Tiada ulasan: