03 April 2008

60,000 penduduk kampung baru dapat geran tanah

IPOH 2 April – Lebih 60,000 penduduk kampung baru di negeri ini akan memperoleh geran pemilikan kekal ke atas tanah yang didiami apabila kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan mereka memiliki tanah tersebut.


Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, selain penduduk kampung baru, peluang tersebut turut diberikan kepada mereka yang mendiami kampung tersusun sebagai ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri terhadap rakyat yang mengundi ketiga-tiga parti membentuk kerajaan campuran itu pada pilihan raya lalu.

“Ini adalah tawaran terbesar kami kepada rakyat di atas sokongan mereka terhadap kami pada pilihan raya lepas, apatah lagi peluang ini memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang sudah lama mendiami tanah tersebut.

‘‘Selama ini, mereka begitu bersabar menduduki tanah terbabit menggunakan geran tanah pemilikan sementara (tol) walaupun sudah tinggal di situ sejak 1948 iaitu sebelum merdeka lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada ketua-ketua jabatan di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Tiada ulasan: