27 Mei 2008

Dialog bersama exco bincang pelbagai masalah penduduk

KUALA KANGSAR, 26 Mei:- Pelbagai masalah rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Rengas dekat sini telah dibangkitkan dalam perjumpaan bersama Exco Agama dan Kebajikan, Haji Mohd. Zainuddin Yusof semalam.

Antara masalah yang dibangkitkan ialah mengenai kedudukan kuil-kuil Hindu, pelajaran anak-anak India yang tinggal di ladang-ladang getah, keselamatan jalan raya murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) di Pekan Padang Rengas dan maslah ketiadaan jalan di Taman Perumahan Awam yang menghubungkan jalan raya utama.

"Semua masalah tersebut kita akan berusaha selesaikan bersama Kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Yang memerlukan rundingan dengan individu terbabit, ia akan dilakukan dengan cara terbaik di samping mendapat bantuan teknikalnya dari Pegawai Daerah di sini," katanya dalam perjumpaan dengan Kelab Penyokong PAS kaum India, Cina dan ahli parti Barisan Alternatif.

Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Perak akan membantu mendapatkan geran hak milik tanah kekal kepada penoroka kebun dan kampung di Hulu Sungai Kangsar dekat sini yang menunggu sejak 30 tahun lalu.

Mereka katanya, diharapkan dapat membayar premium dan perbelanjaan bersangkutan dengannya kepada Pejabat Daerah Dan Tanah disini secepat mungkin.

"Segala usaha yang dilakukan itu adalah tanda kerajaan sekarang tidak lupa kepada rakyat setelah menang dalam PRU-12 lalu, tetapi sentiasa berusaha mencari jalan memberikan keselesaan hidup kepada semua rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto ketika kempen dulu," katanya.

Tiada ulasan: