11 Jun 2008

Dewan Pemuda Pas mahu projek pembangunan koridor dihentikan

PUTRAJAYA, 10 Jun - Dewan Pemuda Pas meminta kerajaan menghentikan projek-projek mega termasuk koridor pembangunan wilayah yang didakwanya tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan ketuanya Nasrudin Hassan berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat khususnya di luar bandar kerana masih terdapat lagi kawasan kampung yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan Rabu lalu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini. Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Datuk Ahmad Yacob.

Nasrudin berkata projek berkenaan boleh dibatalkan atau ditangguhkan dengan memberi fokus kepada inisiatif menaikkan taraf hidup rakyat yang kini berdepan dengan kenaikan kos hidup.

Ketua Dewan Pemuda Pas Salahuddin Ayub dalam memorandum itu meminta kerajaan menarik balik semula keputusan menaikkan harga minyak.

Tiada ulasan: