11 September 2008

Ahmad digantung tiga tahun

Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan Datuk Ahmad Ismail digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun.

Keputusan itu dibuat selepas MT mengadakan mesyuarat khas selama tiga jam di ibupejabat Umno ibunegara di ibunegara hari ini.

MT yang mempunyai 48 anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi Umno itu, dijadual mula bermesyuarat jam 2.30 petang.Mesyuarat khas itu diadakan ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam memutuskan untuk menyerahkan kepada Umno untuk memutuskan tindakan terhadap Ahmad.

Ketika mengumumkan keputusan itu mesyuarat MT hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno berkata, MT memandang serius perkara itu kerana kenyataan dan tindakan Ahmad telah mencetuskan ketegangan dan menimbulkan bantahan.

Katanya, parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menjejaskan kesejahteraan kaum.Menurutnya, situasi hubungan kaum di Malaysia kini mula menunjukkan tanda-tanda yang kurang baik.Ditanya sama ada tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang membangkitkan isu perkauman, Abdullah berkata tindakan mungkin diambil melalui undang-undang.

Perdana menteri juga ditanya sama ada kerajaan akan mengguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang berbuat demikian.Menurut Abdullah, kerajaan akan berbuat demikian sekiranya ia perlu dan tindakan itu difikirkan wajar.Ditanya sama ada tindakan menggunakan ISA itu melanggarkan kebebasan bersuara, perdana menteri berkata tidak wujud kebebasan tanpa sekatan.Menurutnya, undang-undang mesti dihormati dan "kita tidak boleh buat apa sahaja atas nama kebebasan."

Boleh merayu
Abdullah juga berkata, Ahmad mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan MT itu.Beliau juga memberitahu pemberita bahawa anggota juga kabinet telah berbincang mengenai hubungan kaum dalam mesyuarat mingguannya pagi tadi.Menurutnya, kabinet berpendapat bahawa terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hubungan antara kaum tidak baik dan terdapat ketegangan antara kaum.

Keadaan itu, katanya, diburukkan dengan banyak isu-isu dan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan isu-isu yang kebiasaannya tidak dibangkitkan. Sehubungan itu, kata perdana menteri, kerajaan tidak akan membiarkan keadaan itu berterusan.

sumber : malaysiakini

Tiada ulasan: