08 Oktober 2008

Ketuanan Melayu Atau Ketuanan Islam?

Seorang sahabat memberi respon terhadap posting bertajuk “Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS”. Katanya,

“Bagaimana pula dengan hujah sesetengah pimpinan bahawa Melayu di Malaysia ibarat Quraisy di Tanah Arab? Bukankah nabi menjamin kepimpinan Quraisy? Bukankah semua Khulafa' al-Rasyidin pun suku kaum Quraisy, tatkala nabi bersabda, "AL A'IMMATU MIN QURAISY", bermaksud, "Pemimpin-pemimpin itu di kalangan Quraisy." Bagaimana pula kisah Saiyidina Abu Bakar ketika berhujjah bahawa Quraisylah yang paling berhak jadi khalifah selepas kewafatan nabi sallallahu alaihi wasallam?

Di Malaysia pula, sebahagian pemimpin politik Cina bersetuju bahawa Perdana Menteri mestilah di kalangan Melayu. Ini bagi menjamin ketenteraman antara kaum kerana Melayu adalah tuan di Tanah Melayu walaupun ada yang pertikaikannya”.

SATU

Dakwaan bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan kaum lain sebagai pendatang melahirkan konsep ketuanan Melayu. Orang Cina dan India terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara. Sebagai timbal balik maka diperuntukkan kepada orang Melayu apa yang dinamakan Hak Istimewa di dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini disebut sebagai Kontrak Sosial. Secara teorinya, orang Melayu hendaklah Islam tetapi realitinya ada orang Melayu yang tidak beragama Islam. Oleh itu, ketuanan Melayu adalah bersifat perkauman, sama seperti ketuanan Quraisy, ketuanan Arab, ketuanan India atau apa sahaja. Inilah modal Umno, dulu, kini dan selamanya.

Ketuanan Islam melangkaui sempadan bangsa, etnik dan geografi. Orang Islam adalah tuan kepada PTM, bahkan tuan kepada bumi ini semuanya. Konsep ini menepati kehendak al-Quran iaitu pewaris bumi ini ialah hamba-hamba Allah yang soleh (al-Anbiya’: 105). Konsep soleh tunjangnya ialah Islam.

Ketuanan Melayu tidak menjamin ketuanan Islam berdasarkan realiti, tetapi ketuanan Islam tidak mengorbankan etnik lain di atas prinsip keadilan Islam yang menyeluruh. Di negara kita, walau pun konsep ketuanan Melayu dilaungkan berdegar-degar, namun mangsanya adalah orang Melayu. Lihat sahaja, dimana orang Melayu hari ini? Sementara kaum lain pula, India misalnya bangun menuntut hak mereka melalui pelbagai pertubuhan halal dan haram. Ini bukti ketuanan Melayu gagal membela Melayu dan kaum lain.

Kalau kita menerima dengan terbuka seorang Ketua Menteri Cina non-Muslim di negeri tertentu yang menyatakan akan menerima konsep pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, maka apa salahnya kita menerima seorang Cina yang bukan sahaja menerima konsep tetapi menerima keseluruhan Islam.

DUA

Penegasan nabi di dalam hadis bahawa, “Para imam / pemimpin umat itu adalah Quraisy” merupakan penegasan terhadap realiti. Sama seperti larangan al-Quran supaya tidak boleh makan riba berlipat ganda seperti dalam Surah Ali Imran: 130. Adakah boleh makan riba sedikit, kerana larangan hanya makan riba berlipat ganda? Tidak, sedikit pun tidak boleh. Kenyataan tidak boleh makan riba berlipat ganda menjelaskan realiti riba yang memang berlipat ganda.

Antara periwayat hadis tersebut ialah Imam Ahmad dan al-Albany mensahihkannya. Hadis ini ada lanjutannya yang menjelaskan mengenai keistimewaan Quraisy iaitu mereka penyayang, menunaikan janji dan adil dalam menjatuhkan hukuman. Bahkan nabi menyebutkan bahawa sekiranya ketiga-tiga sifat tersebut terhakis daripada mereka, laknat Allah akan menimpa (Musnad Ahmad: 11859). Jelas, kepimpinan Quraisy bukan mutlak tetapi bersyarat bahkan mereka bukan sekadar kehilangan hak kepimpinan bahkan mendapat laknat sekiranya tidak melengkapi syarat itu.

Realitinya orang Quraisy memang memiliki kelayakan untuk memimpin umat pada zaman itu. Adakah orang lain tidak boleh? Boleh, dengan syarat memiliki kelayakan yang mengatasi kaum Quraisy dari segi peribadi dan pegangan agama. Sekiranya ada seorang Quraisy yang layak dan ada seorang lagi yang bukan Quraisy juga layak, maka keutamaan kepada Qurasiy kerana berpegang dengan hadis ini. Tetapi kalau ada Quraisy tetapi tidak layak, maka tidak boleh Quraisy.

Asasnya bukan ketuanan Quraisy tetapi ketuanan Islam. Dr Abd Karim Zaidan menghuraikan persolan ini dalam bukunya Usul ad-Dakwah.

TIGA

Bolehkah PM orang bukan Melayu? Secara konsepnya boleh berasaskan ketuanan Islam. Kalau diteliti secara jujur, PM yang sebelum ini bukan semuanya Melayu tulin pun. Mereka Melayu mengikut perlembagaan. Tunku Abdul Rahman, ibunya ialah Cik Menyelara anak kepada Luang Naraborirak (Kleb), seorang Pegawai Daerah Thailand. Tun Abdul Razak, ibunya keturunan Bugis. Tun Hussein Oon, berdarah Melayu sebenar. Tun Dr Mahathir, dia mengakui bahawa bapanya berketurunan India, wilayah Kerala, tempat asal suku Malayali, namun dia mengakui beliau melayu sejati. Abdullah pula bapanya ada Badawi di hujung nama, tak dapat dipastikan adakah Melayu tulin ada nama sebegitu.

Apa yang pasti mereka semuanya adalah Muslim (walau pun menganut Islam Hadhari). Kalau nak pertahankan juga ketuanan Melayu, tambah sikit lagi, KETUANAN MELAYU ISLAM.

1 ulasan:

Muhammad Fahmi berkata...

maaf ustaz kerana saya lama menyepi tapi saya tetap membaca blog ini setiap hari.
selamat hari raya, maaf zahir batin saya ucapkan.

berkenaan tajuk yg ustaz ulas ini saya telah terjumpa artikel menarik. antara petikannya ialah:

Hanya mereka yang tidak mengetahui sejarah sahaja memperjuangkan agenda ketuanan Melayu ini. Ketuanan Melayu adalah propaganda penjajah Inggeris untuk menyatupadukan pelbagai bangsa dalam wilayah penjajahannya, demi kepentingan mereka, padahal kita tahu kita terdiri dari pelbagai rumpun. Mereka tidak berbuat demikian di Sabah dan Sarawak, jadi pelbagai rumpunlah mereka di sana hingga ke hari ini. Nak kata Melayu pun tidak, tapi bumiputera Sabah dan Sarawak sahajalah.

Ada catatan yang kami temui mengatakan bahawa Melayu itu bahasa perdagangan di nusantara, bukannya bangsa atau kaum.

artikel penuh boleh dibaca dari entri di blog ini:
http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/2008/04/renungan.html

saya sendiri agak terkejut bila membaca blog http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/