19 November 2008

Shahrizat lawan Rafidah.

Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan membuat keputusan akan mencabar Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti, Mac depan. Berita ini nampaknya adalah kemuncak kepada masalah peralihan kuasa dalam pergerakan berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Shahrizat sudah membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua pergerakan itu dan dijangka mengumumkannya, Khamis ini.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, Shahrizat sudah memaklumkan keputusannya kepada Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat Exco Wanita sebelum ini memutuskan pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009, manakala jawatan Ketua dan Naib Ketua yang kini disandang Rafidah dan Shahrizat, tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mac depan.

Bagaimanapun, Shahrizat mempertahankan pendiriannya supaya pelan peralihan kuasa itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri pada Mac depan, manakala Kamilia tetap mahu bertanding Naib Ketua.

Shahrizat ketika dihubungi bagaimanapun berkata: “Tunggulah sehingga saya membuat pengumuman rasmi.”

Rafidah yang kini bercuti di Hong Kong, ketika dihubungi Bernama pula berkata beliau akan hanya mengulas perkara itu sekembalinya ke tanah air.

Abdullah dalam nada kecewa, berkata perebutan jawatan tertinggi dalam Wanita Umno mungkin berlaku berdasarkan perkembangan semasa pergerakan itu.

Sementara itu Najib pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Air Rantau Pasifik 2008, mahu sebarang keputusan yang diambil Wanita Umno kelak perlulah memastikan kewibawaannya tidak terjejas kerana ia akan turut memberi kesan kepada usaha pemulihan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Terdapat dua aliran dalam Wanita ketika ini iaitu ada yang mahu pelan peralihan kuasa dipercepatkan dan ada yang mahu ia kekal pada Jun 2009.

“Justeru, Wanita harus mencari penyelesaian melalui rundingan tetapi sekiranya tidak berjaya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk membuat keputusan.

“Bagaimanapun, apapun keputusan mereka kelak, diharap kewibawaan pergerakan Wanita Umno tidak akan tergugat kerana masalah ini,” katanya.

Kenyataan beliau nampaaknya sangat berhati-hati tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.cinaislam