14 November 2008

Tahniah kepada rakan-rakan BBC

Setelah bersidang selama empat hari, sidang kelmarin menyaksikan Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat diluluskan.

Sebenarnya saya hampir menitiskan airmata dengan sejarah baru yang dilakar oleh DUN perak setelah berhasilnya Bajet itu dibentang dan diluluskan dewan semasa Pakatan Rakyat mengusai Perak.Sejarah ini dilakar semasa Allah mentakdirkan saya memikul amanah sebagai pengerusi BBC dan saya rasakan suatu yang sangat berat dipikul terutama semasa Bajet hampir diluluskan.

Semasa keluar untuk makan sekitar jam 2 saya menemui Exco Agama, YB. Zainuddin. Saya meluahkan rasa penghormatan kepada anak buah dalam BBC yang bertungkus lumus mempertahan Kerajaan yang disayangi dan didukunginya. Saya tegaskan kepadanya bahawa saya akan pastikan mereka akan mendapat pembelaan dan perhatian yang sewajarnya sesuai dengan jasa mereka yang telah dibuktikan.

Sempat saya katakan kepada Exco bahawa pejabat BBC yang terletak di Aras 2 yang akan beroperasi sepenuhnya selepas sidang akan menjadi nadi penggerak seterusnya untuk kami mempertahankan kerajaan ini.

Apakan tidak saya hampir menitiskan air mata ? Kelmarin saya menerima berita bahawa Bajet kita akan gagal dan tidak diluluskan sekiranya ada beberapa orang yang tidak hadir atas sebab yang direncanakan atau tidak. Ia mendapat beberapa ulasan dalam blog Al banjari termasuk jawapan dari saya dalam isu tersebut.

Kerana itu semasa mesyuarat pos-mortem setiap habis sidang pada 12 Nov,(selasa) saya menekankan kepada semua ahli BBC yang hadir untuk menjaga keselamatan diri masing-masing dan pastikan datang ke dewan lebih awal. kalau ada masalah tolong hubungi saya. Saya tegaskan kemuncak dari sidang dan perjuang Ahli-Ahli Yang Berhormat ialah Bajet diluluskan atau tidak.

Alhamdulillah pagi kelmarin saya cukup lega bila semua ahli BBC hadir walaupun sedikit gusar bila ada 3 orang yang hadir lewat sedikit, namun saya anggap atas alasan yang sangat wajar.

Sepanjang sidang saya mengarahkan mereka untuk sentiasa bersiap untuk mengundi sekiranya perlu, keluar dewan dalam masa sesingkat mungkin dan atas alasan yang sangat perlu.

Alhamdulillah semuanya mendapat rahmat dan keberkataan dari Allah. Doa-doa kita semua telah dikabulkan Allah. Cuma sekarang yang tinggal ialah langkah-langkah seterusnya untuk kita meneruskan agenda pembangunan yang menanti kita dengan satu cabaran dan harapan.