10 Januari 2009

Ulasan kepada Kenyataan Akhbar Pangkor dan Sungai Rapat

Kehangatan Isu mengenai penutupan Tadika KEMAS yang berpunca dari Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebenarnya agak reda beberapa ketika. Namun saya merasa terpanggil untuk mengulasnya kembali apabila dua ADUN Pembangkang di Perak iaitu Pangkor dan Sungai Rapat membuat kenyataan media mengenai isu berkaitan .

ADUN Pangkor seperti yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian mengatakan kerajaan negeri Perak menuduh kononnya isu dewan orang ramai dan balai raya sengaja dibangkitkan BN bagi meraih undi bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

"Semua tuduhan itu tidak berasas, kerana kelas Kemas di Perak adalah isu tempatan membabitkan kepentingan rakyat dan tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil di Kuala Terengganu," kata ADUN tersebut.

Pangkor berharap kerajaan negeri PR yang sering melaungkan slogan sebagai kerajaan negeri yang mengamalkan sikap prihatin, bertanggungjawab dan telus mengakui kelemahan dan segera memperbaikinya.

Sementara itu ADUN Sungai Rapat , Hamidah Osman berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung arahan kerajaan negeri tidak membenarkan Kemas menggunakan dewan orang ramai dan balai raya sebagai kelas tabika di negeri ini.

Persoalan dalam masalah ini sangat jelas dan apa yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Perak adalah hak nya sendiri yang saya pasti tidak ada pihak yang perlu mempertikai kannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Pangkor.

Setiap isu yang dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dan pada anggapan kami tidak ada asas dan kebenarannya wajib kami jawab dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan.

Siapapun ada hak dan dalam konteks sebuah Kerajaan yang dimanahkan oleh Rakyat adalah berhak untuk menjelaskan kepada rakyat kedudukan yang sebenar.

Dalam persoalan tuduhan kepada Kerajaan Perak yang disifatkan tanpa segan silu terus menuduh BN kononnya wujud konspirasi atau ia mainan politik BN yang berniat jahat untuk memburukkan pentadbiran kerajaan negeri. Saya ingin bertanya siapakah Zahid Hamidi yang pertama membuat tuduhan tidak berasas itu dan sesudah itu diulas oleh Muhd Taib ? adakah mereka berdua bukan pemimpim UMNO dan BN.

Tidak tahulah kalau Pangkor dan Sungai Rapat tidak mengiktiraf dia sebagai pemimpin BN ?

Saya mencabar Sungai Rapat yang mula terkenal dengan isu "ular"nya itu untuk mengemukakan bukti yang didakwanya. Jangan sekadar bercakap kosong dan syok sendiri. Zahid Hamidi belum mengemukakan buktinya kenapa beria-ia sangat YB buat kenyataan.

Persoalan saya, kenapa pada sidang kelmarin YB. tidak mengemukakan bukti yang didakwa. Atau ianya sedang di rekacipta termasuk skripnya sekali ? sebelum ianya disiarkan di drama TV yang BN kuasai ?

Janganlah buat kerja yang bukan-bukan, pelajar dan guru Kemas sedang belajar seperti biasa dan sekaligus tuduhan tidak berasas itu tidak wujud.