10 Januari 2009

Dr. Mahathir minta umat Islam boikot dolar AS


KUALA LUMPUR 9 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini meminta umat Islam dan rakyat negara ini memboikot penggunaan mata wang dolar Amerika Asyarikat sebagai bantahan atas serangan rejim zionis Israel terhadap bumi Palestin.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyarankan kerajaan supaya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan tribunal khas untuk mendapat keadilan dan hak asasi bagi rakyat Palestin.

“Sebagai membantah kekejaman yang dilakukan puak Israel, kita boikot semua barangan Amerika termasuk jenama Starbuck, Coca-Cola dan Colgate,” katanya di perhimpunan membantah kekejaman puak Israel di pekarangan Masjid Negara di sini hari ini.

Perhimpunan itu disertai kira-kira 500 umat Islam yang baru selesai solat Jumaat di Masjid Negara.

Ia turut disertai oleh ahli-ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang melancarkan kempen memboikot barangan buatan Yahudi dan Amerika Syarikat.

Sebelum itu, mimbar di Masjid Negara turut menyampaikan khutbah yang mengutuk serangan Israel ke atas Palestin. Selepas itu, jemaah juga mengadakan solat hajat dan berdoa khusus untuk kesejahteraan rakyat Palestin. - Utusan