03 April 2009

Imej rasuah bakal bayangi kepimpinan baru negara

SEREMBAN, 3 April : - Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan dengan penularan amalan rasuah dalam Umno hanya akan melahirkan kepimpinan negara yang sangat tidak berkredibiliti.

"Saya bimbang dengan beberapa pengakuan beberapa peimpin Umno yang kalah dalam pemilihan Umno yang lalu bahawa wabak rasuah membayangi pemilihan pada akhir Mac lalu," katanya ketika dihubungi Harakah sebentar tadi.

Pertamanya pengakuan yang dibuat oleh Dato' Shahrir Samad yang mahu melepaskan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berikutan kekalahan dalam pemilihan baru-baru ini.

Shahrir katanya kecewa dengan sikap perwakilan yang tidak memilih pemimpin berdasarkan rekod khidmat, sebaliknya faktor lain yang dijadikan sandaran, dakwa Mahfuz.

Begitu juga dengan pengakuan Dato' Seri Dr Rais Yatim yang kecewa barisan kepimpinan yang menang adalah barisan yang mencerminkan suara hati perwakilan dan bukan suara demokrasi ideal, katanya.

Kenyataan-kenyataan ini boleh dilihat sebagai kenyataan kecewa dengan apa yang berlaku dalam Umno kali ini di mana kata Mahfuz, ramai yang menang kerana politik wang dan bukan kerana mahu kepada perubahan.

"Paling dibimbangi barisan yang bakal menjadi pemimpin negara yang mana akan terbentuk selepas Dato' Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah pada jam 10.00 pagi 3 April adalah barisan yang dikhuatiri mempunyai persepsi rasuah," katanya.

Jika benar pemilihan lalu seperti telahan beberapa anggota Umno yang kalah,maknanya satu malapetaka besar akan berlaku ia adalah satu malapetaka kepada negara, ujarnya.

"Justeru hanya tangan rakyat sahaja yang dapat mengubahnya dengan menyuarakan bantahan di peti-peti undi," kata Mahfuz.Harakahdaily.

Tiada ulasan: