29 Ogos 2009

Wanita Muslim mesti faham hak diperjuangkan Islam

Oleh : Zamri Keciks

SAMBUTAN Hari Wanita sejak 47 tahun lalu di negara ini menggemakan keupayaan wanita begitu lantang dan yakin. Tiada siapa berani menempelak, apatah lagi meragui rencana untuk wanita kerana umum mengetahui kecemerlangan mereka sudah terbukti. Hampir semua peruntukan undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf kesaksamaan gender dan menolak diskriminasi terhadap wanita, melainkan ada beberapa perkara perlu dimurnikan agar konsisten dengan peruntukan undang-undang Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Konvensyen Wanita) dan prinsip Syariah.

Wanita hari ini bukan seperti isteri yang dijual suami di Barat sebelum 1930-an, bukan juga seperti di Jazirah Arab pada era jahiliah yang menjadi objek hinaan serta punca keaiban keluarga. Wanita yang melahirkan bayi perempuan menanggung rasa bersalah tidak terhingga, begitu juga suaminya. Firman Allah dalam Surah An-Nahl: 58-59: “Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) mukanya dan ia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari khalayak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburnya ke dalam tanah (hidup-hidup) ? Ketahui alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.”

Paling utama dalam urusan kehidupan ialah sama ada seseorang mempunyai hak asas untuk mengatur hidupnya di dunia. Manusia lahir dengan hak untuk hidup dan bebas melakukan apa saja asalkan tidak menyusahkan orang lain. Kita juga harus ingat hak diri sendiri tidak terlalu penting berbanding hak masyarakat kerana tiada guna hak seseorang dipertahankan dengan mengorbankan hak orang ramai. Hak inilah digelar antara hak asasi ‘generasi pertama’ yang diletakkan sebagai hak paling asas dimiliki manusia.

Bagi wanita pula, apabila membicarakan hak, tentu kesaksamaan gender menjadi agenda utama sedangkan ‘kesaksamaan’ itu dihujahkan oleh ahli falsafah yang menyokong teori pilihan, bukan objek hak asasi yang boleh diminta dan dipertahankan. Sebaliknya, kesaksamaan ialah ‘hak yang sama antara satu sama lain’ ke atas setiap hak asasi (Orend, 2002). Maknanya, apabila ada hak ia termasuk kesaksamaan, sama ada kepada lelaki atau wanita, di Barat atau di Timur dan kecil atau dewasa.

Justeru, tuntutan untuk kesaksamaan tidak tepat, sebaliknya kesaksamaan wujud bersama hak asasi yang menjadi hak setiap manusia. Bahkan sejak 15 abad lalu al-Quran merakamkan nas qat’i yang menyamakan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam menjalankan kewajipan insani. Berbanding Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18 yang mendeklarasi piagam hak asasi manusia yang jelas mendiskriminasi wanita.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 195 bermaksud: “Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah turunan daripada sebahagian lain.” Allah juga berfirman dalam Surah An-Nahl yang mafhumnya: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”


Wanita yang memiliki ‘izzah, kemuliaan dan mampu berperanan dalam melaksanakan misi agama memahami ada ‘ketidaksamaan’ dalam hak disebabkan fitrah yang lahir bersama dirinya sebagai wanita dan perbezaan itu tersurat dalam al-Quran dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Bukan semua kuasa pemilikan dan kebebasan yang diberikan kepada lelaki layak kepada wanita dan bukan semua kelebihan yang dianugerahkan kepada lelaki tidak menguntungkan wanita.

Oleh itu, wanita tidak perlu terlalu berkeluh kesah jika tidak ‘disamakan’ kerana wanita diangkat lebih tinggi dalam Islam seperti ibu yang diangkat darjatnya lebih tinggi daripada ayah, tidak dibuang nasab keturunan selepas berkahwin malahan tidak menggalas tanggungjawab yang banyak dalam keluarga. Paling utama, jika hak sama difahami, tiada yang perlu dipertikai lagi, jika undang-undang dan peraturan sudah termeterai, jangan abaikan hak diri sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wanita islam dah menuntut sama hak, lelaki tak beranak, perempuan yang sihat sekarang pun dah tak mau beranak pinak....... masing-masing merancang keluarga untuk mendapatkan tubuh yang menawan, bukan mencari keredaan allah atau menambah umat s.a.w