27 September 2009

Jamuan raya YDP Lenggong meriah.


Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Rumah terbuka Yang Dipertua Pas Lenggong, HajiRazman Zakaria baru-baru ini, mencatat sejarah apabila hampir 5,000 penduduk pelbagai kaum menghadirinya dan dianggap amat meriah walaupun tidak diselingi acara hiburan sepertimana program dianjur Umno.

Program bermula jam 2 petang hingga 10malam itu turut menerima kunjungan beberapa pimpinan Pas negeri, pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat, peringkat kawasan dan bahagian termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP selain dari Kelab Penyokong Pas (KPP) Perak.

Antara pimpinan Pas negeri yang hadir ialah Setiausaha Kerja Perhubungan Pas negeri, Saudara Khalilul Rahman Abdul Samad, AJK Perhubungan Pas negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, Ustaz Ramli Tusin, Ustaz Nor Azli Musa, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas negeri, Ustaz Zulkifli (Ibrahim) Zakaria.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya Muslimat Pas negeri, Ustazah Hamizah Baharuddin, Ketua Pemuda Pas negeri, Ustaz Zawawi Hassan dan Pengarah Kelab Penyokong Pas negeri (nama tak pasti).

Program yang mendapat sambutan hangat tanpa diselingi acara-acara hiburan dan ceramah itu turut dihadiri beratus-ratus kaum Cina dan India yang berebut-rebut untuk bergambar dengan Razman serta pimpinan lain.

Sebaik bermula rumah terbuka jam 2 petang, hadirin tidak putus-putus memenuhi khemah-khemah yang disediakan dengan sokongan kerja lebih 70 petugas hingga kepada penutup program jam 10.30 malam.

Haji Razman serta seluruh keluarganya sentiasa memberikan layanan mesra kepada yang hadir, sementara kepada kanak-kanak diberi duit raya.

Ketika program berlangsung, Haji Razman yang kerap mengalu-alukan kehadiran tetamu, turut mengucapkan selamat hari raya melalui DJ yang ditugaskan menceriakan sepanjang majlis itu.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang hadir serta mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada seluruh warga daerah Lenggong khususnya.

Katanya, beliau gembira dengan kehadiran ribuan tetamu sempena program itu dan berharap pada program rumah terbuka akan datang akan menerima kunjungan lebih ramai lagi.

"Saya sangat gembira dan bersyukur menerima kunjungan ramai warga Lenggong dan saya turut berterima kasih dengan kehadiran pimpinan peringkat negeri kawasan atau bahagian.

"Kepada semua petugas yang menjayakan serta mengendalikan program dengan baik, tidak saya lupakan, jutaan terima kasih kepada semuanya," katanya.

Program itu yang diserta seluruh keluarga serta sanak saudaranya, diberikan kerjasama sepenuhnya oleh Pas Cawangan Kampung Luat dan Pas Kawasan Lenggong serta beberapa cawangan berhampiran.

Tiada ulasan: