30 April 2012

Dua mayat hampir reput

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Misteri kehilangan suami isteri warga Indonesia selama beberapa hari terjawab apabila pasangan terbabit ditemui mati dibunuh di kediaman mereka di Jalan Camar 15, Taman Perling, di sini, petang kelmarin.

Pasangan berusia 50-an yang menjalankan perniagaan kedai makan berdekatan rumah mereka itu diberitahu tidak berniaga selama tiga hari sehingga menimbulkan rasa hairan di kalangan pekerja dan penduduk setempat.

Penemuan mayat pasangan itu disedari oleh jiran yang curiga dengan bau busuk daripada rumah berkenaan sebelum bertindak melaporkan kepada pasukan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, beberapa pekerja kemudiannya pergi ke rumah mangsa selepas gagal menghubungi majikan mereka menerusi telefon.

“Apabila sampai di rumah mangsa didapati pintu rumah dikunci dari luar, namun mereka mula syak ada sesuatu yang tidak kena apabila terhidu bau busuk dari dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, pekerja terbabit memanggil penduduk kampung yang kemudiannya bertindak memecahkan pintu rumah mangsa sebelum menemui mayat pasangan suami isteri itu dalam keadaan hampir reput di dalam bilik berasingan.

Eng Lai berkata, hasil daripada siasatan dilakukan mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala mangsa dipercayai dipukul.

“Kami percaya kes ini bermotifkan samun kerana sebahagian barang kemas mangsa didapati hilang selain beg duit mangsa yang kosong. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

Selain itu, katanya, polis percaya suspek lebih daripada dua orang dan mereka dipercayai masuk dari pintu depan berdasarkan tiada kesan pecah masuk pada rumah mangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: