30 April 2012

Rompak pasar raya

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sebuah pasar raya mini yang hampir menutup operasinya, kerugian kira-kira RM7,000 selepas dirompak sekumpulan penjenayah bersenjata dalam kejadian di Jalan Hijau Nuri U9/1, Seksyen U9, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lapan perompak bertopeng yang membawa pelbagai senjata tajam, antaranya parang dan pisau pemotong daging, terus meluru masuk ke kaunter premis serta mengacukan senjata mereka ke arah empat juruwang wanita bertugas.

Seorang daripada juruwang yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku satu jam sebelum mereka menutup operasi premis.

Menurutnya, semua perompak itu tiba-tiba menyerbu masuk dan menjerit ke arah mereka, termasuk pelanggan yang berada dalam premis.

“Perompak terus mengacukan parang ke arah saya dan mengugut supaya tidak melawan.

“Perompak kemudiannya mengambil dua bekas simpanan wang dan satu unit pemprosesan komputer (CPU), sebelum melarikan diri dengan dua kereta jenis kereta Proton Gen 2 dan Proton Waja,” katanya mengesahkan kejadian berlaku dalam tempoh kurang dari dua minit.

Katanya, ketika kejadian, dia dan rakan-rakannya sangat takut kerana perompak turut meletakkan parang di leher pengawal keselamatan premis bertujuan menakut-nakutkan mereka.

“Ketika itu, saya hanya ingatkan tuhan dan berdoa agar semuanya selamat. Kejadian ini pertama kali berlaku sejak tiga tahun saya bekerja di sini,” katanya yang masih trauma.

Menurutnya, laporan dibuat di Balai Polis Bukit Jelutong, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya sedang memburu kumpulan penjenayah yang terlibat dalam rompakan tersebut.

Beliau berkata, semua perompak dipercayai berusia antara 20 ke 30-an dan pihaknya sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) premis bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati pelanggan pasar raya turut disamun dalam kejadian itu, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Kerugian melibatkan wang tunai dianggarkan kira-kira RM7,000 tidak termasuk peralatan lain yang dilarikan perompak,” katanya.

Zahedi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan menggunakan senjata.

Sinar Harian

Tiada ulasan: