30 April 2012

OKU kudung kaki ugut tetak, bunuh ibu saudara

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Tidak kenang budi! Seorang lelaki yang kudung kedua belah kaki sanggup mengugut akan menetak dan membunuh ibu saudaranya yang memelihara sejak kecil dengan parang panjang semata-mata kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.

Bagaimanapun, perbuatan biadap tertuduh, Azhar Mohd Noor, 32, dari Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhi penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh yang datang dengan berkerusi roda dan memakai topeng muka kerana menghidap tibi itu mengaku melakukan ugutan jenayah terhadap ibu saudaranya, Midah Said, 58, dengan mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap mangsa.

Kejadian berlaku di rumah ibu saudaranya di Kampung Maras, Batu Rakit, 5.30 petang, Sabtu lalu.

Azhar mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum tertuduh balik dalam keadaan marah-marah serta memaksa mangsa memberikan sejumlah wang kepadanya.

Sebaik mangsa memberitahu tidak ada wang untuk diberikan, tertuduh terus naik angin dengan mengamuk dan membaling barang di dalam rumah sambil mengangkat sebilah parang panjang di tangan serta mengugut mahu menetak serta membunuh mangsa sekiranya tidak mahu menyerahkan wang.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa terus membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada hari sama kejadian kira-kira jam 8.40 malam di rumahnya.

Sementara itu, semalam, tertuduh mengundang perhatian orang ramai di galeri awam mahkamah apabila beberapa kali menukar pengakuan bersalah dan mohon dibicarakan, sebelum akhirnya mengaku bersalah selepas ditanya oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sinar Harian

Tiada ulasan: