30 April 2012

Bersih 3.0: Anwar arah ke jalan TAR, bukan Dataran

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 April: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar tidak terpengaruh dengan mainan media Umno BN yang cuba mengalihkan isu sebenar mengenai perhimpunan Bersih 3.0.

Beliau berkata, lapan tuntutan rakyat ke arah pilihan raya bersih dan adil harus diutamakan dan semua pihak harus menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara.

"Semalam hari merdeka rakyat apabila 300,000 rakyat keluar menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Semua orang datang dengan harapan untuk berhimpun di Dataran (Merdeka) jadi jangan masuk dalam mainan media Umno BN untuk alih isu sebenar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Damansara, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seterusnya menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau dan timbalannya, Azmin Ali memberi arahan kepada peserta himpunan agar merempuh kawat berduri yang dipasang di sekeliling Dataran Merdeka.

Beliau sebaliknya menjelaskan, arahan dikeluarkan agar peserta bergerak ke kanan iaitu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), bukan ke Dataran Merdeka seperti yang ditulis dalam blog-bloh pro Umno.

"Saya sebut dan merayu kepada peserta, tolong bergerak ke kanan, kanan makna ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Tapi saya tidak menyalahkan peserta yang bergerak ke arah Dataran Merdeka kerana mereka datang bukan kerana Anwar, bukan kerana (Datuk S) Ambiga tapi kerana menuntut pilihan raya yang bersih dan mahu berhimpun secara aman di Dataran.

"Nak kata kita hilang kawalan, memang tidak benar," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Azmin pula menjelaskan, isyarat tangan kepada Anwar bukan bermaksud beliau mahu peserta merempuh Dataran Merdeka sebaliknya menunjukkan bahawa beliau mahu berunding dengan polis.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya berbincang dengan polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," jelasnya.

Beliau juga mempersoal polis yang bertindak melepaskan gas pemedih mata kepada semua peserta sedangkan tindakan boleh diambil ke atas sekumpulan yang didakwa merempuh penghadang.

"Kalau isu masuk ke Datara satu kesalahan, kenapa sembur air kimia dan gas pemedih ata kepada semua orang?

"Ambil sahaja tindakan kepada mereka yang merempuh masuk itu," katanya.

# Kepada pembaca, sila kongsikan pengalaman, gambar atau bukti sebarang provokasi yang dilakukan mana-mana pihak dalam himpunan Bersih 3.0 kepada Harakahdaily. Maklumat boleh disalurkan ke emel editorharakahdaily@gmail.com atau menghubungi talian kami 03-40233270/3275

Harakah Daily

Tiada ulasan: