30 April 2012

Sumbat mayat dalam guni

8 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang kaki pancing menemui mayat terapung yang disangkanya bangkai binatang di Kolam Air Machap, di sini, tengah malam semalam.

Atim Semail, 21, yang juga penduduk Orang Asli, menemui mayat tanpa identiti itu, yang disumbatkan dalam guni dan berbalut dengan jaring ikan.

Menurutnya, dia ke kolam berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam dan sewaktu sibuk menyuluh kawasan persekitaran, dia terlihat satu objek di tepi kolam yang dihurung lalat.

“Kerana menyangka objek berkenaan bangkai haiwan, saya terus beredar dan pulang ke rumah tanpa memancing.

“Bagaimanapun, disebabkan rasa tidak sedap hati, saya mengajak rakan ke lokasi sama untuk melihat dengan lebih dekat objek yang saya temui dan memang terperanjat apabila mendapati ia adalah manusia,” katanya.

Atim berkata, dia segera ke Balai Polis Machap Baru, kira-kira jam 9.30 pagi untuk melaporkan penemuan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki, dipercayai berbangsa Cina, berusia dalam lingku­ngan 20-an hingga 30-an.

Menurutnya, sepasu­kan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, diketuai Asistan Superintendan Md Dom Dollah ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.

“Kami menemui mayat terapung kira-kira satu meter dari tebing kolam dengan tubuhnya dikerat dua, sementara tangannya diikat ke belakang.

“Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam kolam ini hampir seminggu lalu dan hasil pemeriksaan awal, kami turut menemui empat kesan tikaman di belakang badan mangsa serta luka di kepala,” katanya.

Umar Ali Shaifuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau ada maklumat mengenai kejadian ini, diminta menghubungi talian 06-5562222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: