16 September 2009

Tiga nama tokoh PAS di Bagan Pinang

Bekas yang dipertua PAS Teluk Kemang, Dr Rosli Yaakob tidak termasuk dalam senarai pendek calon PAS yang akan bertanding di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, 11 Oktober ini.

Sebaliknya tiga nama yang dimajukan kepada kepimpinan PAS dalam mesyuarat jawatankuasa parti itu hujung minggu lalu merupakan pemimpin-pemimpin tempatan yang dapat dijangkakan dan disebut-sebut sebelumnya.

Mereka adalah pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar, yang dipertua PAS kawasan Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir, satu sumber parti itu memberitahu Malaysiakini.

Pemilihan calon yang sesuai akan dibuat dalam satu lagi mesyuarat yang akan diadakan tidak lama lagi, kata sumber lagi.

Pada Ahad lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS telah mengenal pasti tiga calon anak tempatan untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil DUN tersebut.

Katanya ketiga-tiga orang calon tersebut adalah pemimpin yang berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 3 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 11 Oktober sebagai tarikh pembuangan undi.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata jawatankuasa pusat PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi memuktamadkan calon parti itu.

"Ia akan diadakan dalam masa terdekat," katanya, yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya PAS bagi DUN tersebut sewaktu ditemui di hadapan Kedutaan Indonesia semalam.

Kerusi negeri itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Azman Mohamad Noor, 54 akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum lalu, bekas naib ketua bahagian Umno Teluk Kemang, menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan Ramli, antara tiga nama yang disenaraikan PAS untuk dipilih semula, yang memperolehi 4,097 undi.

Sumber : Malaysiakini/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

http://sangkluang.blogspot.com/

harap pemilihan d bulan ramdhan bertambah berkat!!!

SOLAWAT SEMBAHKAN...

Tanpa Nama berkata...

insyaalah menang....orang muda, askar, rakyat tolak UMNO/BN..