16 September 2009

Nostalgia corat-coret Aidilfitri pimpinan PAS

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Mengacah meriam buluh dan bergasak mengumpul duit raya walaupun 10 sen cuma antara rakaman kehidupan yang tidak dilupakan mereka yang kini sudah bergelar pemimpin. Hakikatnya mereka juga orang biasa, yang punyai memori Aidilfitri sama seperti yang lain.

Seperti AJK PAS Pusat Haji Mohammad Sabu, yang ketika kanak-kanaknya terpaksa memakai baju sekolah sebagai baju raya kerana kemiskinan. Namun dalam serba kedaifan, mampu kumpul duit raya yang banyak lantas ke pekan berhampiran untuk menonton wayang.

Walaupun tika itu comot dan tidak bersikat, jauh sekali anak gadis jatuh minat namun baginya Syawal cukup seronok dan mengujakan!

Bagi Presiden Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) dan bekas AJK PAS Mazlan Aliman pula, tidak dapat dilupakan zaman kecilnya ketika demam dan sakit di bulan Ramadan.

Apa tidaknya, malu terasa apabila neneknya mengikat tali kasut di lehernya, sebagai petua mengelak muntah dan bayangkan apabila rakan-rakan menziarah. Tebal mukanya.

Lain pula kenakalan zaman budak-budak Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli terasa begitu berselera dan hampir berbuka puasa hanya semata-mata kerana melihat kerak kuih sepit.

Begitu juga 'kerajinan' Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar bermain mercun dan 'melawan' meriam buluh paling kuat tanpa menghirau bahaya dan sering mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah ketika zaman remajanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula tidak lupa kesusahan yang dilaluinya sehingga tidak mampu membeli baju raya untuk isteri tercinta dan istimewanya, kini isteri beliau masih menerima tempahan menjahit baju raya walaupun Salahuddin bergelar Ahli Parlimen.

Bagi Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamarudin Jaffar menceritakan pengalamannya kerana tuntutan masa dan pengajian memaksanya berhari raya di asrama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada.

"Zaman itu cuti pendek. Tak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom.

10 sen cukup tinggi nilainya

Beliau yang menganggotai Persatuan Pelajar Islam London pernah menganjurkan solat Hari Raya di Malaysian Hall dan dan melahirkan rasa pilu bila kedua-dua ayah bonda telah pergi kerahmatullah ketika menuntut di UK.

Kini beliau beraya bersama keluarga dan seorang cucu yang menjadi teman hiburnya.

Zaman kecilnya sama seperti yang lain, berjalan mengutip duit raya walaupun setiap rumah kadarnya sejumlah 10 sen cuma.

"10 sen boleh membeli bukan setakat ais krim tetapi macam-macam lagi.

"Dulu saya main meriam buluh pakai karbait tetapi taklah sampai putus tangan seperti sekarang ini. Dulu cerita putus-putus ni tak da...," katanya yang kini seorang Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berbuka puasa, bertarawikh dan solat subuh bersama penduduk di sekitar Parlimen Tumpat walaupun tidak dapat memenuhi semua jemputan kerana mempunyai 4 Dun dan kawasan yang cukup luas. Sungguhpun begitu ketua-ketua kampung dan pimpinan peringkat cawangan dapat beliau raikan.

Kali ini beliau akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan isterinya uzur dan akan memaklumkan kepada umum, Rumah Terbukanya di Tumpat.

"Saya ucapkan Salam Aidilfitri dan mahu rakyat menyambut hari lebaran dengan mendekatkan diri kepada Allah di samping memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat.

"Saya menyeru umat Islam akan terus bersama perjuangan Islam dan bersama PAS sebagai harapan rakyat untuk alternatif yang baru...dan parti ini mampu mengisi harapan rakyat itu," jelasnya mengakhiri perbualan.

Seiring dan senada ucapan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali juga turut merakamkan Selamat Hari Raya kepada semua pendokong dan ahli PAS kerana telah menjalani proses pentarbiyahan dalam bulan ujian penuh berkah ini

"Manfaatkan Ramadan dan Syawal yang menjelma dan jangan lupa tanggungjawab sebagai pejuang Islam di samping menjaga etika jemaah Islam.

"Menjadikan diri contoh Islam yang baik dan jangan lupa perjuangan yang terdekat ini di Bagan Pinang,"katanya ringkas akibat keterbatasan masa dan kesibukan tugas.

ImageBagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Wahid Endut yang berkongsi cerita dengan Harakahdaily berkata beliau menghadapi 'masalah' untuk pusing dan jelajah seluruh masjid di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 36 buah masjid termasuk DUN Wakaf Mempelam yang ada 15 buah masjid kesemuanya.

'Mereka sayang wakil rakyat'

Adakalanya sukar untuk memenuhi jemputan Iftar berbuka puasa dan solat tarawikh di masjid terbabit yang terlalu banyak dan mengambil sikap 'first come-first serve' iaitu mana yang menjemput lebih awal, itulah yang dipenuhi terlebih dahulu.

"Ada juga yang merajuk ...kata tahun lepas YB dah ke sana, bila nak datang sini pula...saya faham mereka sayang kepada wakil rakyat tetapi terpaksa mohon maaf," katanya sambil bergurau tentang tubuh fizikalnya yang semakin sihat di bulan Ramadan ini.

"Bulan Puasa ini terasa makin sihat kerana makan pun sedikit dan mana seluar yang ketat dah boleh pakai," katanya sesekali ketawa.

Beliau akan berhari raya di Seberang Baruh di Dun Wakaf Mempelam dan terpaksa 'menangguhkan' konsep rumah terbuka kerana lazimnya di Terengganu pada Hari Raya kedua, jemputan kenduri kahwin dan kesyukuran terlalu banyak sekaligus sukar untuk beliau membuat rumah terbuka kepada umum kerana perlu memenuhi jemputan.

"Selamat Hari Raya kepada para pengundi dan rakyat yang saya wakili di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempeleam.

"Kita selepas ini bukan sahaja nak menghadapi Hari Raya tetapi pilihan raya. Oleh itu, bersedialah untuk bekerja keras selain bergembira di Hari Raya,"katanya yang akan ke Negeri Sembilan esok bersama Presiden PAS untuk persiapan menghadapi pilihan raya DUN Bagan Pinang.

Lain pula cerita Mantan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin tentang pengalaman manisnya ketika Ramadan tahun lalu.

Pengalaman paling manis ialah ketika menjadi Menteri Besar Perak di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat sewaktu menganjurkan Majlis Iftar dan solat tarawikh di Dataran Bandaraya Ipoh.

"Cukup menyemarak Ramadan itu bilamana penduduk dan rakyat Perak berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah bandar Ipoh sambil menjamu selera juadah berbuka yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

"Seronok melihat orang bukan Islam, Mat-mat rempit, kutu rayau, remaja yang bersidai, lepak sampai bawa makwe datang berbuka sekali lepas itu mereka pun cabut...,"katanya ketawa.

Beliau menjelaskan setiap hari di bulan puasa, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah lebih 500 bungkusan makanan percuma kepada orang ramai yang datang berbuka puasa dan di samping itu, beliau turut diundang menjadi imam solat tarawikh dan menyampaikan tazkirah.

"Dalam bulan Ramadan, saya cuba penuhi jemputan di masjid-masjid di seluruh Perak. Hanya awal-awal dulu berbuka bersama keluarga selebihnya bersama rakyat di Perak

"Alhamdulillah stamina, Allah izinkan kekuatan diberikan untuk menjelajah.

"Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Perak, pendokong Islam dan PAS dan Salam Bubar DUN Perak !" katanya yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang.

Makan serdak, saki baki kuih raya

Biarpun sudah seminggu Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi demam dan berehat di rumah, namun beliau tetap gagah bercerita kepada Harakahdaily imbauan kenangan lama menyambut Aidilfitri di rantauan orang selama 10 tahun.

Ketika itu beliau melanjutkan pelajaran di Syria dan Mesir, dan hanya pada tahun 1997, kembali ke tanahair meraikan bersama keluarga dirindu.

Berbeza di negara timur tengah ini, katanya orang Arab berpesta hanya pada bulan Ramadan dan menjalani kehidupan seperti biasa dan 'sepi' kembali tatkala masuk hari raya kedua.

"Kenangan paling indah, apabila keluarga hantar kuih-kuih raya kepada kami di sini dan bila sampai semuanya sudah hancur... dan serdak kuih dan biskut raya itulah nikmat yang kami rasai di hari raya.

"Mana tidaknya, kuih raya ini berada dalam sebulan atau tiga minggu perjalanan sebelum sampai ke tangan kami.." katanya dengan nada yang serak akibat demam.

Sementara itu beliau menyeru pendokong gerakan Islam dan PAS agar benar-benar terima dan menghayati "Madrasah Ramadan" atau "University of Ramadan" supaya menjadi mujahid yang bertaqwa.

Pesannya bahawa kemenangan Islam itu pasti sebagai pernah dicapai oleh generasi terdahulu dan umat Islam mesti menang daripada ideologi yang dicipta oleh manusia.

"Jiwa yang menang, belenggu daripada sebarang ideologi yang kufur.

"Dengan kedatangan Syawal, lebih meningkatkan kualiti diri di samping memburu kemenangan Islam," jelasnya.

Bagi Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah, kenangan paling indah apabila melihat anak-anaknya seramai 10 orang bergembira di Hari Raya di samping menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

"Alhamdullilah, yang bongsu 6 tahun pun puasa penuh. Sungguhpun nak kejut sahur mereka merupakan satu perjuangan, tapi saya tetap gembira," katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat 'ganjaran hadiah' kepada anak-anaknya itu.

"Saya tanamkan kesedaran puasa kepada mereka dan mereka pun tak tanya ganjaran sebab akhirnya menjelang Syawal memang ada hadiah dan duit raya untuk mereka yang saya berikan," katanya yang akan berhari Raya di rumah mentua di Klang dan Pahang selepas itu.

Beliau juga turut memperuntukkan sejumlah duit raya untuk 'tetamu-tetamu kecil' yang bertandang ke rumahnya kelak kerana menjadi satu kepuasan melihat si kecil dan kanak-kanak gembira pada hari tersebut apatah lagi apabila mendapat duit raya.

Beli bunga api, gembirakan hati anak

Mencuit hati adalah soalan-soalan lazim yang ditanya oleh anak-anaknya yang sama seperti kanak-kanak lain antaranya "Berapa hari lagi nak puasa?" dan "Nak raya di mana?", yang katanya tidak pernah berubah biarpun saban tahun menyambut Ramadan dan Syawal.

"Saya beli juga baju-baju raya dan bunga api kat anak-anak saya yang kecil ni, sebab nak tengok mereka riang.

"Ada masa kita kena 'give and take' juga supaya mereka akan sentiasa mendengar cakap kita," katanya.

Sambil mengucapkan Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada muslimat seluruh negara khusnya pendokong PAS dan Pakatan Rakyat agar segala amalan baik di Bulan Ramadan diteruskan untuk memantapkan jiwa dan iman masing-masing.

"Banyakkan berdoa di akhir Ramadan dan di Hari Raya kerana waktu itu sangat mustajab.

"dan jangan lupa doakan kemenangan kita di Bagan Pinang akan datang di samping berkerja keras ke arahnya," katanya.

Bagi yang muslimat ingin bertamu ke rumahnya pada Hari Raya atau hari berikutnya, Ustazah Nuridah dengan senang hati menyisipkan nombor telefonnya untuk dihubungi untuk memastikan sama ada beliau ada di rumah atau sebaliknya.

"Tak pa, insya-allah beri nombor hp saya ni..013-9205012. Telefon dulu kalau nak datang ya. Dan Maaf Zahir Batin kepada semua," katanya dengan ramah dan mengakhiri perbualan.

HarakahDaily.Net/-


5 ulasan:

dol kakirempit berkata...

Salam YB

Ingat msa nak bbrbuka kat dataran Dbi, Salam ngan Yb Nizar. Orgnya baik dn lemah lembut. Very humble n friendly Mb. Pnuh ngan sopan santun. Siap tanya nama dn dari mana lagi...Wow bngganya masa tu... Mb Pk salam ngan gua. Gua siap cium tangan lagi

Tpi syng... kalau Yb Nizar ahli Umno... cform Mnteri penuh.... silap2 PM. Ini dok ngan puak2 tu... hancus mlyu. Habis tnah Pk beralih tngan kat Cina. Nsib baik Allah tak izinkan..Plik la... camana dia bleh trpngruh ngan bisikan syaaitan... sanggup jadi boneka dua mamt tu... Saudara dia kot

Tanpa Nama berkata...

Wujudnya makhluk macam "dol kakirempit" inilah yg sebenarnya menyebabkan kehancuran islam dan melayu.

Tanpa Nama berkata...

Wujudnya makhluk macam "dol kakirempit" ini juga yang menjadi perosak kepada umat akhir zaman ini. Kecil-kecil tak nak mampus dah beso menyesatkan orang.

Tanpa Nama berkata...

dol kakirempit ni.. hatinya dah rosak.. buang masa je melayan dia.. mmg dia x npak yg benar. yg melawan hukum Allah tu yang dia sanjung n anggap betul.. dunia dah di akhir zaman..

Tanpa Nama berkata...

suasana raya menuju kehancuran kerana dasar BN, lihatlah semua TV BN