30 Oktober 2009

PUASA SUNAT HARI KHAMIS, AMALAN AHLI PAS PERAK: PESURUHJAYA PAS PERAK

Email :mohd hafez sabri

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru agar semua ‘amilin gerakan Islam agar memperbanyakkan puasa sunat, terutamanya pada hari khamis. Beliau mengulas beberapa hadith Nabi Muhammad SAW antaranya:

1. Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis”- (Riwayat Imam Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

2. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” – (Riwayat Imam Tirmizi).

Menurut beliau, hadith-hadith tersebut menceritakan kepentingan para pejuang gerakan Islam memperbanyakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Menurutnya lagi, sebagai petugas gerakan Islam, kita bukan sahaja menjadi ahli politik, bahkan kita juga adalah ‘abid dan juga ahli sufi seperti yang telah dikemukakan dalam usul pertama di dalam usul ‘isyrin oleh asy-Syahid Imam Hassan al-Banna. “Ibadah puasa bukan sahaja melatih diri menahan lapar dan dahaga, malah lebih daripada itu,” ujar beliau menerangkan kelebihan berpuasa. Menurutnya, kelebihan Allah SWT memfadhilatkan ibadah puasa kepada orang Islam adalah untuk mentarbiyah diri. Ibadah puasa sunat membentuk keikhlasan dalam diri kita melakukan amal ibadah kepada Allah SWT kerana ketika kita berpuasa, tiada siapa yang tahu samada kita berpuasa ataupun tidak, hanya diri sendiri dan Allah SWT yang mengetahui hakikat kita berpuasa.

Selain itu, beliau juga menegaskan agar puasa bagi petugas gerakan Islam, PAS khususnya, sampai kepada matlamatnya iaitu mentarbiyah ruhiyyah dengan menjaga mata, telinga, mulut dan hati daripada perkara-perkara lagho (sia-sia) dan jauh sekali maksiat. “Dengan berpuasa secara fizikal sahaja tidak akan menjadikan hati kita tunduk kepada Allah SWT dan merendahkan hawa nafsu, tetapi iltizam dalam diri untuk mentarbiyah hawa nafsu akan menundukkan hati untuk mencapai natijah puasa tersebut,” katanya lagi menceritakan pentingnya untuk petugas PAS berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Beliau juga menyeru agar para seluruh ahli PAS di Perak khususnya sebolehnya berpuasa setiap hari khamis, menurut beliau puasa hari khamis bagi PAS Perak merupakan satu perkara yang sangat sinonim yang mana ibadah sunat ini adalah antara ibadah yang disarankan oleh kepimpinan PAS Perak sebelum ini lagi.

“InsyaALLAH jika seluruh ahli PAS Perak istiqamah berpuasa setiap hari khamis, jemaah kita akan sentiasa mendapat kerahmatan dari Allah SWT.”, jelas beliau.

Tiada ulasan: