17 November 2009

Azmin dakwa orang dalam KSSB terlibat curi pasir

SHAH ALAM, 15 Nov: Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mendakwa beberapa pihak daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB:), syarikat diamanahkan Kerajaan Negeri menguruskan aktiviti melombong pasir dipercayai terlibat menjadi dalang kes curi pasir di negeri itu.

Mohamed Azmin sepeti dilapor akhbar Sinar Harian berkata berkata, laporan polis telah dilakukan berhubung perkara berkenaan dan kini beliau sedang mengumpul bukti bagi memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya menerima aduan mengenai kecurian pasir yang menggunakan lori KSSB. Jadi saya nak tahu siapa yang terlibat dan apa tindakan yang akan dikenakan.

“Saya akan dapatkan salinan dan serahkan Kerajaan Negeri untuk teruskan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Negeri ditangguhkan, semalam.

Beliau berkata, perkara ini harus ditangani berikutan kegiatan curi pasir semakin berleluasa dan hanya menjejaskan pendapatan dan hak rakyat negeri ini.

“Sama ada orang dalam atau orang luar curi tetap curi dan tindakan mesti diambil,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, beberapa wakil daripada KSSB telah dipanggil membuat penjelasan.

“Kita telah putuskan dan mengeluarkan notis bahawa mana-mana tanah persendirian yang didapati terlibat dalam kegiatan curi pasir akan dirampas.

“Notis 7A akan dikeluarkan supaya mereka menghentikan kegiatan berkenaan. Jika tiada sebarang tindakan, kita akan rampas tanah mereka,” katanya.

Yaakob berkata, setakat ini terdapat beberapa kes kecil kegiatan curi pasir telah dikenal pasti manakala terdapat empat tanah persendirian di kawasan Dengkil dirampas Kerajaan Negeri.

“Terdapat kes-kes kecil yang sudah dikawal tetapi tidak banyak.

“Setakat ini empat kawasan di Dengkil telah dirampas semula. Saya akan terus jalankan siasatan dan berharap supaya Azmin dapat bantu saya,” katanya.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: